Jumaat, 13 Mei 2022 | 11:00am
Sebahagian daripada penyanyi era 1980-an dan 1990-an yang akan menjayakan Showcase Amal Keluarga Malaysia : Artis Legenda 3.0 di Bangi Resort Hotel pada 4 Jun depan. Foto Ihsan Nizam Laksamana
Sebahagian daripada penyanyi era 1980-an dan 1990-an yang akan menjayakan Showcase Amal Keluarga Malaysia : Artis Legenda 3.0 di Bangi Resort Hotel pada 4 Jun depan. Foto Ihsan Nizam Laksamana

Nizam Laksamana lali janji palsu

KUALA LUMPUR: Lebih banyak 'tabur' janji daripada hulur bantuan biarpun atas tujuan amal.

Itulah pengalaman dilalui penyanyi, Nizam Laksamana setiap kali mengambil inisiatif menganjurkan showcase amal yang bakal memasuki siri ketiga, bulan depan.

Nizam yang mengusahakan Nizam Laksamana Production, lali dengan sikap segelintir pihak yang sekadar berjanji untuk memberi sumbangan amal, namun akhirnya berdiam diri.

Tidak cukup itu, Nizam mendakwa terpaksa tebalkan muka memohon tajaan daripada individu atau badan korporat yang difikirkan sesuai untuk menjalin kerjasama dalam merealisasikan program amal itu.

"Mungkin disebabkan saya bukan nama besar dalam industri atau tiada gelaran dan berpangkat tinggi, maka kepercayaan itu tiada.

"Jenuh saya 'panjat' sana-sini jumpa orang besar, hulur kertas cadangan. Namun, banyak yang berjanji daripada menepati kata diberi.

"Akhirnya, saya sampai ke tahap reda dan membiarkannya sahaja. Saya buat apa yang termampu dan serah kepada Allah.

Nizam lali berdepan individu yang suka ‘tabur’ janji dalam usahanya mencari penaja bagi mementaskan showcase amal membantu pesakit kanser. Foto Ihsan Nizam Laksamana
Nizam lali berdepan individu yang suka ‘tabur’ janji dalam usahanya mencari penaja bagi mementaskan showcase amal membantu pesakit kanser. Foto Ihsan Nizam Laksamana

"Kerja amal ini tiada keuntungan di dunia, tetapi insya-Allah besar ganjarannya di sana," katanya kepada BH Online.

Untuk edisi ketiga, Showcase Amal Keluarga Malaysia : Artis Legenda 3.0 akan dianjurkan di Bangi Resort Hotel pada 4 Jun depan.

Persembahan itu akan dijayakan Ezad Lazim, Zarul Husin, Baggio Damasutra, Tam Spider, Ibnor Riza, Rahmad Mega, Daqmie dan Ramlah Ram.

Nizam berkata, showcase berkenaan dianjurkan bagi menyantuni pesakit dan bekas penghidap kanser.

"Isteri saya sendiri pesakit kanser. Isteri disahkan menghidap kanser akhir Mac, tahun lalu. Saya sangat terkesan dengan keadaan isteri melawan kanser.

"Saya dan keluarga melalui fasa hidup sangat mendebarkan apabila isteri disahkan menghidap barah payudara tahap dua.

"Isteri melalui proses rawatan yang sangat sakit iaitu kimoterapi dan pembedahan mastectomy.

"Semangat isteri sangat kuat untuk sihat. Alhamdulillah, dalam tempoh setahun selepas melalui proses rawatan, isteri saya bebas daripada kanser," katanya.

Mengambil semangat isteri, Nizam menjalin kerjasama Cancer Survivors Malaysia iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu pesakit kanser untuk menganjurkan showcase berkenaan.

Berkongsi butiran Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0, Nizam berkata, 48 meja disediakan termasuk 10 meja VIP.

"Harga tiket untuk seorang adalah antara RM200 hingga RM300 dengan 28 meja sudah terjual.

"Saya berharap ada individu atau syarikat yang sudi membantu dengan menghulurkan sumbangan atau menjadi penaja menjelang acara ini berlangsung.

"Bagi syarikat korporat atau persendirian yang menaja majlis ini, mereka boleh mendapatkan pengecualian cukai," katanya.

Berita Harian X