Ahad, 8 Mei 2022 | 6:02pm
Kunci utama kebahagiaan Mawi dan Ekin adalah bertolak ansur dan sentiasa berterus-terang agar tidak timbul salah faham. - Foto IG Mawi
Kunci utama kebahagiaan Mawi dan Ekin adalah bertolak ansur dan sentiasa berterus-terang agar tidak timbul salah faham. - Foto IG Mawi

Mawi tak kisah dilabel 'takut bini'

KUALA LUMPUR: Fasa rumah tangga pasangan bahagia, Mawi dan Ekin Rahmat juga melalui pasang surut selepas hampir 14 tahun menjalani kehidupan bersama.

Bakal meraikan ulang tahun perkahwinan ke-14 pada 20 Disember depan, Mawi mengakui, ujian silih ganti, namun mereka berjaya mengharungi dengan sebaik mungkin.

Malah, Mawi tidak kisah dilabel 'takut bini' seperti yang diperkatakan.

"Penggunaan terma 'takut bini' lebih membahagiakan kerana ia menyerlahkan rasa hormat suami kepada isteri.

"Malah, isteri sangat menyokong kerjaya saya terutama ketika menerbit dan mengarahkan filem serta program televisyen.

"Ekin dan saudara kembarnya, Aenn Rahmat memiliki peratusan kerana bertindak sebagai pemberi dana.

"Bagi saya, duit saya ibarat perkongsian bersama isteri, duit dia (Ekin)... miliknya sahajalah," selorohnya.

Mawi ditemui pada majlis pelancaran filem ketiga arahannya berjudul Zim Zim Ala Kazim yang mengangkat kehidupan pendakwah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias, baru-baru ini.

Tegas penyanyi Aduh Saliha itu, kunci utama bukan hanya bertolak ansur, malah, sentiasa berterus-terang agar tidak timbul salah faham.

"Saya percaya setiap pasangan suami isteri pasti berdepan ujian hidup. Tetapi, apa yang lebih penting, bagaimana kita mahu menempuh ujian.

"Saya pun melalui ujian hidup berkeluarga, tetapi bukanlah membabitkan orang ketiga.

"Ujian hadir dalam banyak bentuk. Sebagai suami isteri, ketelusan dan berterus-terang amat penting.

"Kita boleh simpan-simpan kerana ia boleh mengundang sangsi dan buruk sangka. Apapun terjadi, berterus-terang sahajalah," katanya.

Mawi dan Ekin juga berdepan ujian rumah tangga silih ganti, namun berjaya mengharungi dengan sebaik mungkin. - Foto IG Mawi
Mawi dan Ekin juga berdepan ujian rumah tangga silih ganti, namun berjaya mengharungi dengan sebaik mungkin. - Foto IG Mawi

Baru sahaja muncul dengan lagu duet, Qasidah Untuk Qamila bersama dengan Shahir Zawawi, Mawi diajukan persoalan kontroversi rumah tangga rakan baiknya, Syamsul Yusof dan isterinya, Puteri Sarah Liyana yang didakwa diganggu oleh orang ketiga.

"Saya tidak pernah isu peribadi Syamsul. Selama ini, kami cakap soal kerja termasuk projek seni jika berjumpa.

"Syamsul pun tidak pernah berkongsi kisah peribadinya. Cuma, Syamsul ini sangat kreatif orangnya.

"Saya banyak lihat sudut sebegitu untuk menimba pengalaman. Pandangannya bernas jika bersembang mengenai pembikinan dan hala tuju filem.

"Dia ada pendirian dan tahu apa yang diinginkan," kata pengarah filem Tiada Tajuk dan Hantu Kuat Ketawa ini.

Menerusi filem ketiga, Zim Zim Ala Kazim, Mawi turut berlakon dalam naskhah terbitan Mawi World Entertainment Sdn Bhd dan AH 77.

Selain Ustaz Kazim, filem yang bakal menjalani penggambaran sekitar Perak, hujung bulan ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Anas Tahir, Santesh, Along Cham, Zarina Anjoulie, Syanie Hisham dan ramai lagi.

Berita Harian X