Selasa, 3 Mei 2022 | 11:00am
Setiap kali raya, Haiza tidak dibenarkan memasak, sebaliknya hanya membantu menyediakan bahan-bahan masakan. - Foto IG Haiza
Setiap kali raya, Haiza tidak dibenarkan memasak, sebaliknya hanya membantu menyediakan bahan-bahan masakan. - Foto IG Haiza

Haiza terkenang peminat datang beraya enggan balik

KUALA LUMPUR: Selama dua tahun meraikan Syawal umpama dalam kurungan dalam era pandemik COVID-19, namun, sambutan Aidilfitri kembali kepada situasi asal sejajar dengan fasa peralihan ke endemik.

Jika sebelum ini aktiviti merentas negeri tidak dibenarkan, namun, kali ini Aidilfitri disambut meriah apabila rakyat Malaysia boleh pulang ke kampung halaman menyambut ketibaan 1 Syawal bersama keluarga, sanak-saudara dan rakan taulan.

Ia termasuklah penyanyi dan penyampai radio Buletin FM, Haiza Hanafi.

Walaupun ada berpendapat kebebasan diberi kerajaan menyambut lebaran bersama keluarga tercinta perlu diraikan dengan penuh kegembiraan termasuk berbelanja sakan, namun, Haiza pula melihatnya daripada aspek berbeza.

Pesan Haiza, dalam keterujaan menyambut Syawal, perkara utama yang harus disemai dalam fikiran adalah perlulah sentiasa bersederhana kerana tidak tahu apakah yang bakal berlaku pada masa depan.

"Seperti tahun sebelumnya, bajet raya saya sederhana sahaja. Tidak adalah mahu bermewah-mewah sangat.

"Corak sambutan Aidilfitri pula agak berbeza selepas penularan pandemik COVID-19. Selama dua tahun kita tidak dibenarkan merentas negeri, hanya beraya di perantauan.

"Lagipun keadaan ekonomi dan poket sendiri baru hendak pulih selepas banyak aktiviti seni diberi kelonggaran untuk kembali beroperasi. Kalau dahulu biasanya saya beli baju raya hingga enam pasang, tetapi kali ini saya hanya menempah sehelai sahaja.

"Saya melihat pandemik ini sebagai satu peringatan untuk kita sentiasa berhati-hati dalam berbelanja. Walaupun ada duit untuk berbelanja besar, namun, janganlah sampai tahap membazir," katanya kepada BH Online.

Haiza bersama suami, Norhanaphe Omar dan Nur Iman Syafie meraikan 1 Syawal di Benut, sebelum pulang ke Melaka. - Foto IG Haiza
Haiza bersama suami, Norhanaphe Omar dan Nur Iman Syafie meraikan 1 Syawal di Benut, sebelum pulang ke Melaka. - Foto IG Haiza

Penyanyi kelahiran Benut, Pontian, Johor itu berkata, tiada siapa dapat meramal masa depan.

"Kita tidak tahu menjangka apa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Ia juga peringatan sama yang saya terapkan pada anak, Nur Iman Syafie.

"Mujur Nur Iman memahami dan tidak pernah meminta-minta. Cuma, kalau berbelanja besar pun untuk makanan mahupun kuih.

"Bab ini saya memang tidak berkira kerana kita kena jamu tetamu pada Syawal," katanya kepada BH Online.

Ditanya apakah risau dengan kelonggaran diberikan kerajaan untuk beraya dalam situasi bebas, sedangkan kes penularan masih tinggi, penyanyi lagu Dag Dig Dug itu berkata, dia berharap semua pihak patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi kebaikan bersama.

"Kalau nak ikutkan, perasaan bimbang tetap ada. Tetapi, tidak terfikir pula mengehadkan bilangan tetamu datang beraya ke rumah. Tak mahulah nanti ada pihak yang berkecil hati.

"Namun, saya akan cuba patuh SOP ditetapkan dan pada masa sama, tidak mahu kemanisan sambutan Syawal itu hilang. Jadi, kita jaga kita," ujarnya.

Berkongsi pengalaman lucu tatkala meraikan Aidilfitri, Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin ini terus mengimbau kejadian berlaku ketika peringkat awal pembabitan dalam bidang nyanyian.

"Waktu itu, ada dua peminat lelaki berkunjung ke rumah di kampung untuk beraya. Cuma, apa yang tak sedapnya, nak beraya hingga sampai tak ingat nak balik walaupun hari sudah jauh malam.

"Nak suruh balik, saya tak sampai hati. Mujurlah, sepupu mencadangkan supaya menutup tingkap rumah, seolah-olah nak keluar beraya sambil bercakap di telefon menghubungi sanak-saudara yang mahu diziarahi.

"Idea itu nampaknya berjaya. Hingga hari ini, setiap kali saya teringatkan insiden lucu ini, saya mesti ketawa. Saya harap insiden ini tidak berulang, tahun ini.

"Maklumlah beraya dalam situasi pandemik, tak bolehlah nak beraya lama-lama," ujar Haiza sambil ketawa.

Berita Harian X