Sabtu, 30 April 2022 | 11:00am
Neelofa tidak berhasrat kembali dalam bidang lakonan berikutan enggan Bilal ditinggalkan bersama pembantu dalam tempoh lama. - Foto Ihsan Neelofa
Neelofa tidak berhasrat kembali dalam bidang lakonan berikutan enggan Bilal ditinggalkan bersama pembantu dalam tempoh lama. - Foto Ihsan Neelofa

Suami izin Neelofa kembali aktif mengacara

KUALA LUMPUR: Selepas mencetuskan beberapa kontroversi ketika penularan pandemik COVID-19 dan tiga bulan melahirkan bayi pertama, Neelofa bakal aktif semula dengan memilih mengacarakan program bual bicara, tidak lama lagi.

Namun, ibu kepada Muhammad Bilal itu tidak berhasrat kembali dalam bidang lakonan.

"Lakonan, rasanya tidak. Insya-Allah, selepas berbincang dengan suami, mungkin saya akan muncul dalam program bual bicara, tidak lama lagi.

"Sekarang masih dalam proses perbincangan. Selepas Aidilfitri ini, saya akan berkongsi mengenai program ini.

"Dalam pada itu, walaupun sibuk dengan bisnes, keutamaan tetap Bilal. Saya tidak mahu Bilal lama-lama bersama pembantu. Saya nak menjalankan rutin sebagai ibu, lebih daripada lain.

"Bisnes pun mudah, boleh buat di rumah sahaja. Saya jarang-jarang kena pergi mesyuarat atau sesi fotografi. Sama juga dengan industri seni, kalau boleh saya juga tak mahu program yang mengambil masa yang lama," katanya kepada BH Online.

Neelofa ditemui bersama suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz pada majlis berbuka puasa bersama media di Restoran Cili Kampung Hartamas, minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, Neelofa berkata, dia dan suami sememangnya mahukan anak yang ramai, justeru, terbuka dalam menerima rezeki dan kurniaan Allah.

"Perancangan anak seterusnya, memang kami mahukan cahaya mata lagi. Kami berpendapat, apa yang Allah beri, kami terima," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai Bilal, Neelofa berkata, dia gembira melihat perkembangan positif anaknya yang kini menjangkau usia tiga bulan.

"Saya ada lima kawan rapat yang melahirkan anak dalam tempoh sama. Jadi, kami banyak berkongsi dan membandingkan perkembangan anak-anak.

"Boleh dikatakan pada awal dua bulan, Bilal sangat senang dijaga dan tidak banyak menangis. Cuma bahagian nak menyesuaikannya untuk lebih banyak tidur malam berbanding siang agak mencabar.

"Sekarang Bilal hampir boleh meniarap, sudah boleh gelak, senyum dan mengecam muka-muka orang yang menjaganya.

"Bila usik sikit, sudah boleh gelak nampak gusi. Alhamdulillah, Bilal membesar dengan sihat," katanya.

Neelofa dan PU Riz mahukan anak yang ramai, justeru, terbuka menerima rezeki kurniaan Allah. - Foto Ihsan Neelofa
Neelofa dan PU Riz mahukan anak yang ramai, justeru, terbuka menerima rezeki kurniaan Allah. - Foto Ihsan Neelofa

Dalam pada itu, Neelofa mengakui, PU Riz ada membantunya menguruskan Bilal, di mana suaminya turut bangun malam menemaninya.

"Alhamdulillah, suami sangat membantu, ada kala suami bangun malam memberikan saya semangat.

"Walaupun suami tidak banyak membantu melakukan seperti apa yang kita buat, tetapi kehadirannya yang turut bangun malam memberikan saya kekuatan," katanya.

Sementara itu, mengulas soal batasan Neelofa dalam kerjaya seni, PU Riz berkata, mereka sudah pun berbincang soal berkenaan secara terperinci.

Katanya, dia percaya isterinya dapat membawa imej agama dengan baik dalam industri seni.

"Alhamdulillah, kami sudah diskusi perkara ini dengan begitu terperinci, dari setiap perkara. Dengan imej agama dibawa, kena banyak berhati-hati.

"Dan saya percaya Neelofa boleh ikut. Dalam soal berpakaian pun, dia taat pada perintah Allah SWT. Jadi, saya perlu memberikannya ruang untuk berkarya dan melakukan perkara yang sudah biasa dibuat.

"Soal lakonan, kami tidaklah cakap enggan terbabit langsung, tetapi itu bukanlah keutamaan. Sebab juga kami sibuk dengan urusan bisnes, memang berdepan kekangan masa, apatah lagi, ada produk baru nak lancar.

"Macam saya soal lakonan pun tiada apa-apa perancangan lagi," katanya.

Tambah PU Riz, dia mencuba menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dan suami dengan sebaik mungkin.

"Saya ada membantu, tetapi tidak sebanyak ibunya. Saya ucap tahniah kepada semua ibu-ibu yang sangat cekal menjaga anak kecil.

"Namun, sebagai suami, sekali sekala kena cuba. Alhamdulillah, kehadiran saya dirasai," katanya.

Selain itu, istimewa untuk putera kesayangan, PU Riz turut tampil dengan video zikir, selawat dan pesan untuk Bilal.

Video single nasyid pertamanya yang dihasilkan bersama Faithful Music itu sudah pun dimuatkan dalam laman YouTube.

Kata PU Riz, single itu dihasilkan bagi memberi manfaat kepada Bilal dengan mengajak orang ramai mendoakan yang baik-baik buat anaknya.

"Sebenarnya, saya mahu merakamkan zikir dan selawat sempena Ramadan. Tetapi, saya fikir alang-alang mengapa tidak saya ajak semua orang mendoakan anak kami.

"Pembikinan zikir ini dilakukan sebulan lalu selepas berjumpa Faizal Tahir untuk melaksanakannya.

"Alhamdulillah, proses rakaman berjalan dengan lancar, apatah lagi, Faizal seorang yang terbuka dan pernah merakamkan lagu nasyid, jadi bersesuaian dengan Faithful Music," katanya.

Single nasyid itu turut boleh didengari di pelbagai platform muzik seperti Spotify dan Joox.

Berita Harian X