Jumaat, 29 April 2022 | 11:00am
Banyak lagu ciptaan S Atas kekal menjadi malar segar dan diputarkan setiap kali menjelang Syawal. - NSTP/Rohanis Shukri
Banyak lagu ciptaan S Atas kekal menjadi malar segar dan diputarkan setiap kali menjelang Syawal. - NSTP/Rohanis Shukri

S Atan 'dominasi' lagu raya malar segar

KUALA LUMPUR: Lebih empat dekad berjuang sebagai pejuang seni, maestro muzik legenda, S Atan, 73, sudah mencipta lebih 1,000 lagu hit untuk penyanyi lama dan baharu.

Malah, kalau dikecilkan skop lagu itu kepada naskhah raya sekalipun, S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said tetap mendominasi carta antara komposer memiliki banyak lagu raya.

Hingga kini, karya ciptaannya kekal menjadi malar segar dan diputarkan setiap kali menjelang Syawal.

Antaranya, lagu Menjelang Hari Raya dendangan Datuk DJ Dave, Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Allahyarham Datuk Sudirman Arshad), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz).

Lagu generasi terkini pula, termasuk Rindu Di Anjung Lebaran (Haiza), Seru Hari Lebaran (duet Syamel dan Ernie Zakri), Rindu Lebaran (E1 Band) dan terbaru, Nikmat Di Hari Raya (duet Kelly Azman dan Ismaliza Ismail).

Atas trek rekod itu, S Atan diberi penghormatan ke pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) menjayakan konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute To S Atan pada 14 Mei ini, jam 8.30 malam. Malah, ia menjadi konsert bertemakan Syawal pertama dianjurkan DFP.

S Atan mengakui terharu dan teruja dengan usaha DFP dalam konsert yang menampilkan penyanyi Jay Jay, Jamal dan Azlina.

"Saya menghargai usaha DFP, termasuk Chef Yang Jamil yang mengetengahkan inisiatif berkenaan.

"Saya tidak pernah mengharapkan atau bermimpi untuk ada acara khusus sebegini mengangkat karya sendiri, termasuk lagu raya dialunkan di pentas berprestij.

"Selama ini, jika ada yang suka dan terhibur dengan lagu ciptaan saya sudah besar rahmat. Saya berkarya bukan untuk mengharapkan nama diagungkan, cukup sekadar ia meninggalkan impak.

"Jika ada yang masih memerlukan karya sentuhan, saya menerima dengan tangan terbuka," kata S Atan yang ditemui BH Online pada sidang media konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute To S Atan, baru-baru ini.

S Atan turut dikenali sebagai pencipta lagu Melayu Deli yang pernah dirakamkan penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Sudirman Noorkumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.

Secara peribadi, beliau tidak menyangka karya lagu raya ciptaannya masih dikenang.

"Orang menganggap muzik bercabang atau sifatnya susah. Tetapi, saya melihat terma muzik sangat senang, cuma ramai tidak faham.

"Bagi saya, penghasilan lagu tanda kecintaan saya. Jadi, barangkali ia tidak merumitkan diri sendiri.

"Cuma sering dirumitkan atau diambil mudah segelintir orang sahaja. Saya buat muzik apabila diminta dan ambil tahu apa yang penyanyi mahukan isi dalam lagu.

"Dahulu ada yang gerun dengan saya. Ada mengandaikan saya garang dan tegas, tetapi ia bertempat. Dahulu nak jadi artis dilihat susah, namun berbeza zaman sekarang," kata S Atan.

Mengulas lagu Hari Mulia dendangan Sheila, S Atan sendiri tidak menyangka lagu berkenaan mampu menjadi malar segar hingga kini.

"Ada yang tidak menyangka lagu Hari Mulia ciptaan saya. Saya cuba sesuaikan lagu ini dengan genre Sheila yang mempunyai sentuhan Jazz.

"Akhirnya, saya jadi kagum dengan diri sendiri apabila lagu Hari Mulia diterima. Karya ini sebenarnya saya cuba melawan arus kerana forte saya lebih kepada lenggok Melayu," katanya.

Ditanya mengenai senario kini melihat kelahiran penyanyi generasi baharu, termasuk usahawan produk menyanyikan karya yang dilihat tidak berjiwa atau asal boleh, S Atan ada alasan tersendiri.

Malah, S Atan tidak menolak sekiranya ditawarkan menghasilkan lagu untuk penyanyi generasi baharu.

"Saya tak kisah mahu menghasilkan lagu sekiranya kena dengan harga berpatutan. Dahulu pun saya pernah mencipta lagu raya untuk pereka fesyen, Ezuwan Ismail bersama kumpulannya, E1 berjudul Rindu Lebaran.

"Tahun ini, saya menghasilkan lagu raya untuk Kelly Azman dan Ismaliza Ismail. Dalam situasi sebegini, saya terpaksa cari makan. Sekarang usahawan produk adalah bos dan kita pula cari makan," kata S Atan.

S Atan (tengah) dan Jay Jay (kanan) menjayakan konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute To S Atandipimpin konduktor Ahmad Muhriz (kiri) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 14 Mei ini. -
S Atan (tengah) dan Jay Jay (kanan) menjayakan konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute To S Atandipimpin konduktor Ahmad Muhriz (kiri) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 14 Mei ini. -

Tambahnya, dahulu komposer mempunyai kuasa dan kelebihan memberikan lagu kepada penyanyi berkualiti, namun keadaan sekarang cukup berbeza.

"Sesiapa sahaja pun boleh mempunyai lagu sekarang. Walaupun bertentangan dengan prinsip saya, kena ingat saya cari makan.

"Saya tak boleh menafikan perkara ini. Sekarang zaman music tune. Misalnya suara tak bagus, music tune mampu baguskan nyanyian jadi 'auto tune'.

"Orang pun tahu bagaimana seseorang penyanyi boleh menyanyi. Apabila menyanyi secara langsung jadi hancur. Memang mereka tidak digalakkan menyanyi 'live'," kata S Atan.

Sementara itu, Jay Jay mengakui, sudah tiba masanya konsert penghargaan itu dianjurkan bagi menghargai sumbangan komposer berpengalaman seperti S Atan.

"Persembahan dalam DFP ini amat dinantikan seseorang penyanyi. Ibaratnya, sebelum ditarik nyawa, lengkaplah perjalanan seni jika dapat menyanyi di pentas berprestij seperti DFP.

"Begitu juga usaha dan penghormatan kepada S Atan ini. Beliau mempunyai banyak karya, termasuk lagu raya yang sedap dan hits berbanding komposer lain.

"Saya sendiri belum ada rezeki menyanyikan lagu raya ciptaannya. Tetapi, saya pernah merakamkan lagu ciptaannya berjudul Kini Baru Ku Sedar.

"Saya pernah membuat persembahan tribute untuk S Atan bagi lagu bergenre pop di Singapura, beberapa tahun lalu," kata Jay Jay yang kali pertama membuat persembahan di DFP pada 2012.

Sementara itu, konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute To S Atan mempersembahkan 11 karya malar segar, termasuk lagu medley bakal dipimpin konduktor, Ahmad Muriz Che Rose.

"Ia menjadi satu keterujaan buat DFP untuk konsert ini. Tambah pula, selepas dua tahun melalui fasa pandemik COVID-19.

"Jualan tiket konsert ini juga memberangsangkan kerana mungkin ramai sudah lama tidak menghadiri konsert seumpama ini. Mereka masih boleh mendapatkannya menerusi www.dfp.com.my/cahayaaidilfitri.

"Kapasiti DFP boleh memuatkan 920 penonton. Namun, dengan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) hanya 500 sahaja tetamu.

"Jika dapat sambutan hebat, mungkin boleh dilanjutkan satu malam lagi," kata Ahmad Muriz.

Berita Harian X