Isnin, 25 April 2022 | 8:30am
Barisan penyampai radio Hot FM muncul dengan lagu Hangat Beraya bersama beberapa penyanyi popular. - Foto Ihsan MPA
Barisan penyampai radio Hot FM muncul dengan lagu Hangat Beraya bersama beberapa penyanyi popular. - Foto Ihsan MPA

Program, lagu raya hangatkan Lebaran

KUALA LUMPUR: Bagi memeriahkan sambutan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi, stesen radio Hot FM dan Molek FM menyediakan pelbagai rancangan menarik, bukan sahaja menghiburkan, namun sarat dengan pengisian positif buat pendengar setia.

Selain dihiburkan celoteh penyampai, pendengar juga bakal disajikan dengan persembahan artis popular dan berpeluang untuk memenangi hadiah menarik menerusi peraduan dianjurkan.

Menerusi stesen Hot FM, antara program raya yang akan menghangatkan suasana Aidilfitri, termasuklah Salam Aidilfitri Hot bersama penyampai Ayu, Imran Aqil dan Riena Diana. Program ini menyaksikan mereka menyampaikan ucapan raya pendengar secara live.

Program raya Hot FM diserikan ucapan raya daripada rakyat Malaysia di perantauan menerusi #SeikhlasHati Hot.

Kemeriahan Aidilfitri diteruskan dengan sesi Akustik Raya Hot FM bersama penyanyi terkenal, Shila Amzah dan SOG, Afieq Shazwan, Tajul Arif, Nikki Palikat dan Amylea Azizan.

Dalam pada bergelak ketawa, stesen yang dikenali dengan taglie Kini Lebih Muzik Yang Hangat turut menyajikan program menyentuh hati, iaitu Belum Siap Kehilangan bersama AG dan Fad.

Menerusi program ini, AG dan Fad akan menyelami perasaan rakan artis yang menyambut Aidilfitri tanpa orang tersayang.

Turut disajikan kepada pendengar, gelagat Fara Fauzana beraya bersama selebriti cilik dan viral iaitu Yaya, Haziq dan Alyssa Dezek menerusi Fara & Friends Beraya.

Meneruskan tradisi, Hot FM sekali lagi bekerjasama dengan syarikat rakaman menghasilkan lagu raya bersama barisan penyampai dan rakan artis berjudul Hangat Beraya hasil kolaborasi bersama Alternate Records & Talents.

Lagu ciptaan komposer dan penulis lirik, Omar K, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh berjudul Hangat Beraya ini dinyanyikan oleh Fara, AG, Fad, Marsha Milan, Ayu, Naqiu, Haziq, Riena, Hazama, Imran dan Daniesh Suffian.

Sudah pun ke udara sejak 17 April lalu, iaitu pada Ramadan ke-15, lagu Hangat Beraya juga boleh distrim dan didengari di semua pelantar digital.

Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran bersama barisan penyampai radio Molek FM. - Foto Ihsan MPA
Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran bersama barisan penyampai radio Molek FM. - Foto Ihsan MPA

Sementara itu, stesen Molek FM pula tidak ketinggalan memberi hiburan kepada pendengar dengan mempertaruhkan program hiburan bervariasi. Antaranya, Rumah Terbuka Raya Molek dan Busking Raya Molek.

Rumah Terbuka Raya Molek FM mengajak pendengar mengikuti sesi bual bicara bersama artis jemputan dan menikmati persembahan istimewa, manakala Busking Raya Molek FM pula menggabungkan kumpulan busking untuk menyanyikan kembali lagu-lagu raya evergreen.

Pengisian, perkongsian pengalaman dan perjalanan 'Mat Salleh' menyambut Aidilfitri di Malaysia boleh didengar menerusi program Mat Salleh Beraya yang akan dikendalikan oleh Mat Dan. Tetamu lain turut diundang untuk menjayakan program itu ialah Rhys William dan Aiman Nasir.

Program Pantun Molek menyaksikan penyampai Kai Hassan dicabar ke udara dengan berpantun secara berterusan sama ada secara berseorangan, bersama pendengar atau artis jemputan. Menariknya, celoteh mereka menggunakan pendekatan pantun ini berkisarkan mengenai kisah hari raya.

Program dedikasi raya, khas buat anak-anak Pantai Timur di perantauan bakal menemui pendengar menerusi Salam Rantau Molek. Mereka boleh menzahirkan rasa rindu dan menyampaikan ucapan hari raya kepada insan tersayang.

Ia tidak terhad kepada anak perantauan berada di luar negara, malah, terbuka mereka yang berada dalam negara, namun, sudah lama tidak pulang ke kampung halaman.

Di samping itu, Molek FM bakal tampil dengan dua lagu raya berjudul Moleklah Beraya ciptaan dan nyanyian Eddie Hamid bersama Rosalinda, adik Akid dan penyampai radio Molek FM, Mek Zura, Fizie Roslan serta Kamilia.

Bagi lagu kedua, Raya Raya ciptaan Rudy Nastia dan dinyanyikan oleh Amir Masdi, Adira, DJ Nazz, Mat Dan dan Kai diterbitkan dengan kerjasama Nova Music Malaysia.

Berita Harian X