Ahad, 24 April 2022 | 11:00am
Hael menyapa Dolla dalam media sosial, sebelum melamar untuk berkolaborasi menerusi single raya, Suara Lebaran Kita.
Hael menyapa Dolla dalam media sosial, sebelum melamar untuk berkolaborasi menerusi single raya, Suara Lebaran Kita.

Hael lamar Dolla dalam media sosial

KUALA LUMPUR: Syawal kali ini tentunya berbeza ketika negara memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.

Dua label hiburan terkenal, Rocketfuel Entertainment dan Universal Music Malaysia bergabung sekali lagi mempersembahkan single raya istimewa berjudul Suara Lebaran Kita, kolaborasi mantap penyanyi popular, Hael Husaini dengan kumpulan sensasi, Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya.

"Jika sebelum ini saya menyanyi seorang diri menerusi lagu-lagu raya, tetapi kali ini saya hendak 'berteman' pula.

"Jadi, saya menyapa Dolla dalam media sosial dan tak sangka, mereka memberi respon baik. Jadi, saya terus saya katakan 'hello, jom masuk studio'," kata Hael berkongsi kisah bagaimana kolaborasi bermula.

Hael berkata, lagu Suara Lebaran Kita berentak rancak dalam nuansa pop ini mempunyai feel moden, namun, masih mengekalkan nada kemeriahan sambutan Syawal.

"Lagu ini saya cipta bersama Ezra Kong. Kami memasukkan elemen K-Pop yang sememangnya sinonim dengan Dolla, namun, masih tidak mengetepikan unsur kemelayuan.

"Pendengar harus mendengarnya sendiri," katanya.

Walaupun sibuk dengan tuntutan jadual yang padat, Dolla masih sempat merakamkan single Suara Lebaran Kita bersama Hael.

Bagi Dolla, peluang tidak akan datang selalu, apatah lagi, lamaran datangnya daripada penyanyi dan komposer hebat seperti Hael.

"Sudah tentunya Dolla sangat teruja dan terkejut apabila penyanyi sehebat, Hael ingin berkolaborasi dengan kami.

"Single ini adalah lagu raya kedua Dolla. Kali pertama kami berkolaborasi dengan penyanyi lain.

"Kami seronok bekerjasama dengan Hael dan Ezra. Kami mudah mendapat keserasian, jadi proses rakaman di studio hanya mengambil masa selama lima jam sahaja.

"Ini disebabkan bimbingan Hael dan Ezra yang sangat profesional. Walaupun lagu ini agak berbeza dengan genre biasa yang dibawakan, namun, melodinya sangat mengasyikkan, unik, dan 'quirky'," kongsi Sabronzo.

Hael dan Dolla mudah mendapat keserasian, hanya mengambil masa selama lima jam.
Hael dan Dolla mudah mendapat keserasian, hanya mengambil masa selama lima jam.

Tabby berkata, single Suara Lebaran Kita menceritakan kisah perasaan rakyat Malaysia yang mendambakan kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama keluarga dan teman-teman, sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

"Akhirnya, kita dapat bersua semula dengan wajah yang dirindui, tahun ini," katanya.

Mengulas video muzik, Tabby berkata, apabila dua nama besar bergabung, tentunya video muzik yang bakal dilancarkan menarik.

"Konsep video muzik single ini sangat comel dan segar dalam suasana retro yang diselitkan dengan elemen fantasi. Kami menjadi sebuah lukisan yang kemudiannya dihidupkan.

"Jika hendak tahu, kenalah tonton," katanya.

Syasya berkata, dia dan Sabronzo bercadang mengajak Tabby dan Angel meraikan Syawal di rumah mereka kerana tidak dapat berbuat sedemikian sebelum ini.

"Selain itu, Dolla dan Hael berharap peminat kami #iDOLLA dan #Haelers sukakan single Suara Lebaran Kita kerana kerana mesej kegembiraan dan kebersamaan yang ada dalamnya.

"Semoga Syawal kali ini memberi seribu keberkatan dan makna buat kita," katanya.

Single Suara Lebaran Kita boleh dimuat turun menerusi iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman dalam talian seperti Joox, KKBOX, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube.

Manakala, video muzik boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Berita Harian X