Sabtu, 23 April 2022 | 11:00am
Walaupun bangun sahur, Mei Fen belum pernah berpuasa disebabkan menghidap gastrik. -
Walaupun bangun sahur, Mei Fen belum pernah berpuasa disebabkan menghidap gastrik. -

Rindu suasana Ramadan di ASWARA

KUALA LUMPUR: Pelakon berbangsa Tionghoa, Lim Mei Fen, 35, merindui suasana Ramadan selepas tamat pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), empat tahun lalu.

Mei Fen berkata, dia tidak pernah ketinggalan mengikut rakan beragama Islam membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan ketika menuntut di ASWARA.

Paling digemari wanita bertubuh tinggi lampai itu adalah puding yang dibeli di Bazar RamadanTaman Tun Dr Ismail.

"Setiap kali Ramadan, berat badan saya pasti bertambah. Saya gemar mengikut rakan-rakan berkunjung daripada satu bazar ke bazar lain. Sehingga kami sanggup masuk kampung untuk mencari juadah menarik.

"Ada kalanya, ada rakan mengundang saya berbuka puasa bersama keluarga mereka di rumah. Setiap kali Ramadan, ini adalah perkara yang amat saya nantikan.

"Selain itu, saya turut sibuk setiap waktu sahur. Saya tinggal di asrama, jadi saya pun ikut serta apabila rakan-rakan bangun sahur. Biasanya, saya akan membantu apa yang patut seperti memotong bawang," kata pelakon filem Prebet Sapu itu.

Oleh kerana sudah hampir empat tahun tamat pengajian, Mei Fen berkata, dia cukup rindukan aktiviti yang sering dilakukan pada Ramadan.

Disebabkan pandemik COVID-19, kata Mei Fen, dia tidak dapat bertemu dengan rakan untuk berbuka puasa bersama.

"Namun, saya seronok kerana akhirnya dapat bertemu dengan rakan ASWARA dan rakan seperjuangan dalam bidang seni apabila diundang menjayakan program berbuka puasa.

"Saya teringin memeluk mereka bagi melepaskan rindu, tetapi terpaksa akur yang masih perlu menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan COVID-19," katanya yang ditemui pada Majlis Jalinan Iftar bersama Pertubuhan Pendidikan dan Kebajikan Cahaya Kasih, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Mei Fen seronok akhirnya dapat bertemu rakan-rakan ASWARA dan berbuka puasa bersama selepas dua tahun terhalang disebabkan pandemik COVID-19. - Foto IG Lim Mei Fen
Mei Fen seronok akhirnya dapat bertemu rakan-rakan ASWARA dan berbuka puasa bersama selepas dua tahun terhalang disebabkan pandemik COVID-19. - Foto IG Lim Mei Fen

Walaupun ikut bersahur, namun sehingga kini kata Mei Fen, dia belum pernah cuba berpuasa disebabkan menghidap gastrik, dia tidak boleh memaksa diri.

Mengulas soal lakonannya, Mei Fen berkata, dia bersyukur apabila namanya kini mula menjadi pilihan produser drama.

Sebelum ini, Mei Fen pernah berhasrat mengundur diri kerana kecewa apabila namanya sering ditolak stesen televisyen.

Namun, katanya, selepas filem Prebet Sapu, dia pula terpaksa menolak hampir lima tawaran drama.

"Saya anggap itu episod 'drama pandemik'. Ketika itu bukan saya seorang yang susah, tetapi semua orang pun susah akibat pandemik.

"Namun, saya agak emosional hingga ambil keputusan untuk mengundur diri.

"Sekarang saya pula terpaksa menolak hampir lima drama kerana perlu memberikan komitmen kepada dua drama yang sudah dipersetujui iaitu Ratu Tenpin 2 dan Rindu Darul Iman.

"Menariknya, saya dipilih membawakan watak Nasha Aziz sewaktu muda dalam Rindu Darul Iman.

"Kami saling mengenali kerana Nasha pernah datang menonton teater terbitan saya. Cuma, dalam drama ini, tiada babak kami bersama kerana saya membawa wataknya ketika muda," katanya.

Berita Harian X