Khamis, 21 April 2022 | 8:50pm
Syafiq tidak berniat menyorokkan berita pernikahan, sebaliknya menunggu waktu yang sesuai untuk berkongsi. - Foto IG Syafiq Farhain
Syafiq tidak berniat menyorokkan berita pernikahan, sebaliknya menunggu waktu yang sesuai untuk berkongsi. - Foto IG Syafiq Farhain

Syafiq nikahi pengurus

KUALA LUMPUR: Penyanyi Syafiq Farhain, 28, mengesahkannya sudah mendirikan rumah tangga bersama pengurusnya.

Bagaimanapun, anak kepada penyanyi legenda, Allahyarham Saleem itu enggan mendedahkan tarikh pernikahannya.

Syafiq atau nama sebenarnya, Nursyafiq Farhain AM Salim berkata, dia tidak pernah merahsiakan berita pernikahannya.

"Saya tidak berniat menyorokkan berita pernikahan. Saya juga tiada beza dengan orang lain, siapa yang tahu, tahulah.

"Jika ada datang berjumpa dan bertanya, benarkah saya sudah berkahwin, saya akan jawab dengan jujur," katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan MVM dan Rusa Music.

Penyanyi lagu Sakit Hati itu hadir dengan ditemani isteri.

Mengenai lokasi pernikahan, Syafiq berkata, majlis berlangsung di negeri kelahirannya di Terengganu.

Syafiq membuat pengakuan sudah bergelar suami pada majlis berbuka puasa MVM dan Rusa Music, hari ini.
Syafiq membuat pengakuan sudah bergelar suami pada majlis berbuka puasa MVM dan Rusa Music, hari ini.

Ditanya siapakah wanita bertuah yang menjadi pilihan hati, Syafiq berkata, wanita itu adalah rakan sekampungnya.

"Kami sebaya dan rakan sekampung. Kami berkenalan sebelum saya bergelar artis lagi," katanya lagi.

Mengulas apakah tindakan merahsiakan berita pernikahan disebabkan bimbang populariti merudum, Syafiq menafikannya.

"Saya tidak fikir populariti merudum, tetapi sedikit sebanyak perkara ini memberikan kesan kepada kerjaya.

"Saya merancang mengumumkan berita pernikahan dalam satu majlis, tetapi nampaknya tidak sempat berbuat demikian apabila ia terlebih dahulu berjaya dihidu media," katanya.

Berita Harian X