Khamis, 21 April 2022 | 1:00pm
Aktiviti melukis dan mewarna antara yang boleh dilakukan kanak-kanak dalam program Upin & Ipin Kampung In The City di Grand Hyatt Kuala Lumpur. Foto IG Upin Ipin Official
Aktiviti melukis dan mewarna antara yang boleh dilakukan kanak-kanak dalam program Upin & Ipin Kampung In The City di Grand Hyatt Kuala Lumpur. Foto IG Upin Ipin Official

Berbuka dengan Upin & Ipin

KUALA LUMPUR: Terus memperkasakan jenama kartun animasi popularnya, Les' Copaque Production bekerjasama dengan syarikat hospitaliti terkemuka, Grand Hyatt Kuala Lumpur menyediakan makan malam berkonsepkan mesra keluarga dan pengalaman pembelajaran menyeronokkan melalui projek Upin & Ipin Kampung In The City.

Inisiatif ini menjadi tarikan terbaru di HYdeout Grand Hyatt Kuala Lumpur yang menawarkan pengalaman berbuka puasa bertemakan Kampung Upin & Ipin.

Pengarah Urusan dan Penerbit Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, berkata projek Upin & Ipin Kampung In The City adalah kerjasama istimewa yang mengangkat tema baharu HYdeout kerana mampu menghidupkan elemen Upin dan Ipin di luar skrin.

Ini secara tidak langsung mengiktiraf jenama Upin & Ipin di peringkat lebih tinggi.

"Kebanyakan syarikat perhotelan di Malaysia bekerjasama dengan jenama antarabangsa. Contohnya, Barbie, Hello Kitty dan sebagainya. Ini adalah kali pertama mereka mengiktiraf kartun tempatan.

"Jadi, sudah tentu kerjasama ini membanggakan kami. Ini bermakna kami setaraf dengan jenama antarabangsa seperti Barbie dan Hello Kitty.

"Saya fikir, sekiranya kerjasama ini berjaya, mungkin kami boleh bekerjasama dengan Grand Hyatt di Jakarta pula.

Upin dan Ipin melayan kanak-kanak yang berkunjung ke Grand Hyatt Kuala Lumpur untuk mengikuti aktiviti dalam program Upin & Ipin Kampung In The City. Foto Ihsan Upin Ipin Official
Upin dan Ipin melayan kanak-kanak yang berkunjung ke Grand Hyatt Kuala Lumpur untuk mengikuti aktiviti dalam program Upin & Ipin Kampung In The City. Foto Ihsan Upin Ipin Official

"Ini adalah batu loncatan untuk kami menerima peluang sebesar itu di luar negara. Disebabkan itu, jujurnya, saya berbesar hati apabila Grand Hyatt Kuala Lumpur menghubungi kami dan memohon untuk menjalin kerjasama," katanya kepada BH Online.

Burhanuddin ditemui pada majlis previu media Upin & Ipin Kampung In The City di Grand Hyatt Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Upin & Ipin Kampung In The City menawarkan bufet makan, permainan interaktif dan hiburan seperti permainan tradisional, lukisan wau, gerai carnival, dinding 3D, tayangan filem dan banyak lagi.

Lebih istimewa, peminat dapat bertemu dengan Upin dan Ipin secara langsung.

Burhanuddin berkata, Upin & Ipin Kampung In The City yang berlangsung sepanjang Ramadan hingga Julai depan, mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat berbilang kaum.

"Saya difahamkan, ramai yang sudah membuat tempahan untuk berbuka puasa. Selain itu, ramai peminat berbangsa Cina membuat tempahan untuk sambutan hari jadi dan sebagainya.

"Jadi, boleh dilihat peminat Upin & Ipin adalah universal, tidak hanya Melayu. Sebaliknya, kaum Cina dan India turut meminati. Sambutan ini secara tidak langsung membuka mata pihak lain yang mahu bekerjasama dengan kami.

"Diharapkan, impian kami seterusnya iaitu merealisasikan taman tema juga menjadi kenyataan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Burhanuddin berkongsi hasrat bekerjasama dengan jenama global menerusi filem terbitan Les' Copaque Production.

Tambahnya, Les' Copaque bakal tampil dengan dua filem animasi baharu iaitu Dongeng Sang Kancil dan Puteri Kasturi, seperti sedutan pendek yang sudah dikongsi, bulan lalu.

"Kami menayangkan 'teaser' sebagai pancingan untuk sesiapa yang mahu bekerjasama dengan kami. Sebab kami ada impian, iaitu kami mahu menerbitkan dan melancarkan filem di pasaran global.

"Tidak dinafikan, selepas 'teaser' itu dilancarkan, ada beberapa pihak tempatan dan antarabangsa yang berminat untuk bekerjasama. Tapi semuanya masih dalam perbincangan," katanya.

Bagaimanapun, projek merealisasikan filem terbabit mengambil masa berikutan sibuk dengan penghasilan siri penerbitan Les' Copaque yang lain.

"Secara teknikal, kami sudah bersedia untuk penghasilan seterusnya. Cuma dari segi skrip belum ada. Seperti lazimnya, skrip akhir dinilai isteri saya.

"Sekarang, kami menerbitkan siri Upin & Ipin sebanyak 42 episod setiap tahun. Ini disusuli Upin & Ipin Iqra, Pada Zaman Dahulu dan Upin & Ipin Helping Heroes. Tidakkah banyak skrip yang perlu dihasilkan untuk semua itu?

"Disebabkan itu, untuk menghasilkan skrip filem, ia mengambil masa. Individu yang ada magis untuk mengolah skrip hanyalah isteri saya. Dia ada anugerah Tuhan yang tidak ramai ada," katanya.

Selain itu, Burhanuddin berkata, mereka mengambil masa bagi menghasilkan filem berkualiti tinggi, iaitu selaras dengan penerbitan kandungan animasi di peringkat antarabangsa.

"Kami mahu filem seterusnya mendapat sambutan baik seperti filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! yang ditayangkan enam tahun lalu.

"Filem ini masih mendapat sambutan hingga menduduki tangga pertama di Netflix," katanya.

Berita Harian X