Selasa, 19 April 2022 | 3:00pm
Khalil menjelaskan keutamaan mengisi jawatan pengendali dron serta pegawai keselamatan dan kesihatan pekerja akan diberi kepada bekas pegawai PPP. Foto Ihsan PROFIMA
Khalil menjelaskan keutamaan mengisi jawatan pengendali dron serta pegawai keselamatan dan kesihatan pekerja akan diberi kepada bekas pegawai PPP. Foto Ihsan PROFIMA

Pegawai pantau keselamatan, kesihatan kru di lokasi

KUALA LUMPUR: Nasib lebih 60 penyelia protokol penggambaran (PPP) yang hilang punca pendapatan selepas jawatan mereka dimansuhkan akibat peralihan fasa endemik, terbela apabila Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) memperkenalkan dua tugas baharu yang dijangka bermula selepas Aidilfitri.

Presiden PROFIMA, Khalil Salleh, berkata dua tugasan baharu itu adalah pengendali dron serta pegawai keselamatan dan kesihatan pekerja di set penggambaran.

"PROFIMA sudah mengutarakan cadangan memperkenalkan tugasan baharu itu kepada Kementerian Sumber Manusia dan kami mendapat maklum balas positif.

"Kita juga akan mengatur pertemuan dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi memperhalusi skop tugas pegawai terbabit," katanya kepada BH Online.

Khalil berkata, idea mewujudkan bahagian keselamatan dan kesihatan di lokasi penggambaran timbul selepas melihat

keberkesanan pelantikan pegawai PPP.

"Bagi kami, keputusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mewujudkan jawatan itu adalah suatu tindakan bagus.

"Soal keselamatan dan kesihatan kru serta artis terjamin dengan adanya pengawasan pegawai khusus.

"Jadi, melihatkan keberkesanan itu, timbul idea PROFIMA mewujudkan jawatan baharu dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerja.

"Bagaimanapun untuk peringkat permulaan, pelaksanaan itu hanya diwajibkan kepada syarikat produksi filem kerana produksi drama tidak memiliki bajet besar," katanya.

Khalil berkata, PROFIMA mahu memperkenalkan jawatan terbabit demi mewujudkan persekitaran pekerjaan yang lebih kondusif.

"Dengan adanya pegawai yang memantau keselamatan dan kesihatan pekerja di set penggambaran, secara tidak langsung kita dapat mengelak berlakunya kecederaan atau kemalangan.

"Penerbit juga boleh mengelak daripada mengeluarkan bajet lebih besar jika berlaku kecelakaan di lokasi 'shooting'," katanya.

Khalil berkata, keutamaan mengisi jawatan pengendali dron serta pegawai keselamatan dan kesihatan pekerja akan diberi kepada bekas pegawai PPP.

"Namun, pemilihan tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya sebaliknya perlu melalui proses saringan daripada agensi kerajaan.

"Malah, mereka yang terpilih diwajibkan menghadiri kursus serta mendapatkan sijil kelulusan agar dapat mewujudkan

prospek lebih bagus selain memberi peluang kepada mereka untuk mencuba sektor lain.

"Difahamkan, sebelum ini ada bahagian keselamatan dan kesihatan pekerja dalam produksi tetapi perkara itu tidak diwartakan.

"Melihatkan keberkesanan bahagian itu, PROFIMA menganggap jawatan terbabit perlu diwujudkan semula dan diwajibkan kepada semua produksi filem.

"Keutamaan diberi kepada pegawai PPP. Sebenarnya, selepas jawatan PPP dimansuhkan, bukanlah bermakna mereka tiada kerja.

"Boleh dikatakan hampir semua pegawai PPP merangkumi penggiat industri. Mereka boleh kembali kepada pekerjaan asal tapi mungkin mengambil masa.

"Jadi, apabila PROFIMA mewujudkan dua bidang tugas baharu iaitu pengendali dron serta pegawai keselamatan dan

kesihatan, sekurang-kurangnya mereka ada pilihan lain.

"Apa yang lebih penting lagi, mereka juga lebih terlatih dan diiktiraf.

"Sekiranya selepas ini mereka tidak mahu terus bekerja dalam bidang seni, mereka boleh beralih ke sektor lain kerana mereka sudah ada sijil yang dikeluarkan agensi kerajaan," katanya.

Khalil turut merakamkan penghargaannya kepada FINAS kerana mengambil inisiatif mewujudkan jawatan pegawai PPP, Ogos lalu.

Andai program seumpama itu tidak diperkenalkan, tambah Khalil, tiada siapa mahu mengiktiraf PROFIMA.

"Kami berterima kasih kepada pegawai PPP kerana menjalankan tugas dengan baik tanpa merungut.

"Ini suatu usaha baik dan sepatutnya jawatan itu diteruskan kerana setidak-tidaknya soal keselamatan dan kesihatan pekerja produksi dan pelakon terjamin pada musim pandemik.

"Namun, persatuan faham. Perkara ini membebankan penerbit apabila terpaksa mengeluarkan kos lebih apabila mengupah pegawai PPP," katanya sambil menambah penerbit perlu mengeluarkan kos antara RM150 hingga RM200 sehari untuk membayar pegawai PPP.

Pelantikan pegawai PPP dibuat sebagai syarat tambahan dalam Sijil Perakuan Penggambaran (SSP) Khas untuk

memantau suhu kru dan pelakon terbabit dalam projek penggambaran drama atau filem.

Selain itu, mereka juga bertanggungjawab memantau aktiviti keluar masuk di lokasi serta menjaga pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di set penggambaran.

Berita Harian X