Isnin, 18 April 2022 | 3:00pm
Zahidi mengumumkan FIMI yang diteruskan sebagai projek sambungan menerusi RMK-12 sudah mencatat nilai pelaburan RM1.2 billion. Foto NSTP
Zahidi mengumumkan FIMI yang diteruskan sebagai projek sambungan menerusi RMK-12 sudah mencatat nilai pelaburan RM1.2 billion. Foto NSTP

FIMI tawar 10,000 peluang kerja

KUALA LUMPUR: Selepas terjejas teruk akibat penularan COVID-19, industri kreatif tempatan perlahan-lahan bangkit semula atas inisiatif kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan penggerak industri seni.

Buktinya, program Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) yang diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menawarkan 10,000 peluang kerja kepada penggiat seni termasuk kru belakang tabir seperti diumumkan

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Memperhalusi perkara itu, Zahidi berkata, FIMI digerakkan bagi menarik pelabur dalam penerbitan filem dan televisyen (TV) menjalankan aktiviti perfileman di Malaysia.

"FIMI yang diteruskan sebagai projek sambungan menerusi RMK-12 sudah mencatat nilai pelaburan RM1.2 billion.

"Setakat ini, sebanyak 90 projek FIMI dikendalikan FINAS membabitkan 54 projek antarabangsa dan 36 projek tempatan.

"Saya dimaklumkan, sehingga Januari lalu, sebanyak 10,000 peluang pekerjaan dijana menerusi program FIMI yang jelas bertepatan dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengurangkan peratusan pengangguran yang terkesan akibat pandemik COVID-19," katanya.

Zahidi berkata demikian ketika merasmikan forum ConnectASIA 2022 - Filming In Malaysia and International Marketing di Kompleks FINAS, Hulu Kelang, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Mohammad Mentek; Ketua Pegawai

Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim serta CEO Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios (PWS) merangkap Pengerusi Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM), Datuk Khairul Anwar Salleh.

Selain itu, CEO CCAM, Datuk Mahyidin Mustakim dan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Panchacharam P Nalliah atau Pansha.

Zahidi berkata, insentif FIMI memberi banyak manfaat kepada produksi tempatan dan antarabangsa terutama daripada segi penjimatan kos penerbitan.

"Insentif FIMI akan menjadikan Malaysia sebagai pusat destinasi penggambaran yang menawarkan 30 peratus rebat tunai atas perbelanjaan kos produksi di Malaysia yang meliputi aktiviti produksi dan pasca produksi tempatan serta antarabangsa.

"Tambahan lima peratus rebat tunai pula diberi kepada produksi yang mempunyai nilai ujian kebudayaan," katanya.

Zahidi turut memaklumkan kerajaan akan meneruskan misi membawa filem tempatan yang berpotensi untuk bersaing di peringkat global menerusi projek Road To Oscar yang mula digerakkan sejak Januari, tahun lalu.

Sehubungan itu, Zahidi berkata, FINAS digalak menyertai festival filem antarabangsa bagi membuka pelbagai ruang untuk memantapkan lagi industri kreatif tempatan.

"Kerajaan hari ini sentiasa komited untuk membawa industri perfileman ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru, polisi dan pelbagai dasar sudah pun dirangka untuk tujuan itu.

"Langkah itu juga bertujuan mengenal pasti tahap kualiti keluaran filem tempatan agar Malaysia mampu menembusi pentas Oscar.

"Kajian ini juga membolehkan FINAS mengumpul data daripada agensi berkaitan, penggiat industri dan komuniti filem untuk meneruskan aspirasi Road to Oscar khas untuk Keluarga Filem Malaysia.

"Menerusi kajian ini, kerajaan akan mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran dalam mencapai misi, aspirasi serta strategi untuk memenangi Anugerah Akademi (Oscars) untuk Malaysia," katanya.

ConnectAsia 2022 anjuran CCAM membincangkan dua topik utama yang cukup relevan dengan industri perfileman

pembikinan filem di Malaysia serta pemasaran, jualan dan penyertaan dalam pasaran antarabangsa.

Forum sehari yang dijalankan dalam dua sesi itu dikendalikan barisan penceramah jemputan yang juga pemain utama industri kandungan kreatif tempatan.

Berita Harian X