Khamis, 14 April 2022 | 1:00pm
Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Annuar mengalu-alukan golongan selebriti menjadi hos bagi Majlis Iftar Rumah Prihatin selama 21 hari yang berakhir 1 Mei depan. - NSTP/Amirudin Sahib
Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Annuar mengalu-alukan golongan selebriti menjadi hos bagi Majlis Iftar Rumah Prihatin selama 21 hari yang berakhir 1 Mei depan. - NSTP/Amirudin Sahib

Annuar ajak selebriti sertai Majlis Iftar Rumah Prihatin

KUALA LUMPUR: Golongan selebriti disarankan memeriahkan Majlis Iftar Rumah Prihatin @ Grand Seasons bagi menyantuni golongan asnaf.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata seseorang anak seni harus mempunyai sentuhan manusiawi dan tidak mengasingkan diri walaupun hidup dalam kerdipan populariti.

Sehubungan itu, mengambil keberkatan bulan Ramadan, Annuar mengalu-alukan golongan selebriti menjadi hos bagi program berbuka puasa anjuran Rumah Prihatin selama 21 hari yang berakhir 1 Mei depan.

Annuar berkata, penyertaan golongan selebriti adalah atas dasar sukarela bagi memberi kegembiraan kepada golongan asnaf, gelandangan, anak yatim dan pelajar tahfiz untuk merasai keseronokan berbuka puasa ala-hotel.

"Objektif kami menggalak dan memupuk semangat manusiawi di kalangan golongan seni. Saya mahu golongan selebriti mengambil peluang bergaul dengan masyarakat pada Ramadan ini.

"Walaupun glamor dan sering tampil cantik di depan kamera, golongan selebriti tetap orang biasa. Jadi, saya berharap pembabitan mereka dalam program seperti ini akan menimbulkan semangat Keluarga Malaysia.

"Selain ingin melihat pembabitan golongan selebriti sebagai tuan rumah, setiap hari. Saya juga menyeru orang ramai yang berkemampuan tampil sebagai penaja untuk majlis berbuka puasa ini.

"Harga yang ditawarkan sangat murah dengan serendah RM3 sahaja. Tetamu boleh menikmati menu berbuka puasa yang disediakan oleh sukarelawan daripada Rumah Prihatin tanpa perlu berbelanja besar," katanya kepada BH Online.

Annuar (dua dari kanan) beramah mesra dan melayan tetamu yang hadir pada Majlis Iftar Rumah Prihatin
Annuar (dua dari kanan) beramah mesra dan melayan tetamu yang hadir pada Majlis Iftar Rumah Prihatin

Katanya, beliau amat berbesar hati apabila ada penyanyi yang menawar diri menyanyi secara percuma untuk menghiburkan tetamu yang hadir.

"Ada beberapa artis sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi hos pada program berbuka puasa ini. Difahamkan, penyanyi legenda, Datuk Khadijah Ibrahim antara yang menawarkan diri untuk menghiburkan tetamu.

"Kami juga mengalu-alukan penyanyi yang mahu mengadakan persembahan secara percuma untuk menghiburkan tetamu, tetapi perlulah menjaga adab seperti berpakaian mengikut kesesuaian serta mendendangkan lagu yang bersesuaian untuk bulan mulia ini.

"Saya mengharapkan lebih ramai artis popular menyertainya kerana ia dapat mempengaruhi masyarakat ke arah yang positif seperti kebajikan, keprihatinan dan ke arah sifat manusiawi, bukan hiburan semata-mata," katanya.

Terdahulu, seramai 305 pengunjung yang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz diraikan pada majlis berkenaan.

Lebih 30 selebriti hadir termasuklah Datuk A Aida, Puteri Sarah Liyana, Zoey Rahman, Ako Mustafa, Jasper Supiah dan ramai lagi.

Pada majlis berkenaan, Annuar turut menyampaikan sumbangan kepada 18 pelajar dan dua penjaga Maahad Tahfiz Dhiya'ul Islah.

Bagi golongan korporat dan individu yang berminat menyertai atau menaja program berkenaan boleh menghubungi talian bebas tol Rumah Prihatin, 1800887997.

Berita Harian X