Selasa, 12 April 2022 | 8:30am
FINAS menggugurkan tiga syarat utama demi membantu mempermudahkan kerja produksi selepas hampir dua tahun terjejas akibat pandemik. - Foto IG FINAS
FINAS menggugurkan tiga syarat utama demi membantu mempermudahkan kerja produksi selepas hampir dua tahun terjejas akibat pandemik. - Foto IG FINAS

'Tiga syarat utama aktiviti penggambaran dimansuhkan'

KUALA LUMPUR: Bahagian Pelesenan Dan Penguatkuasaan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melonggarkan syarat utama penggambaran bagi meringankan beban yang ditanggung produser sempena fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.

Antara syarat utama digugurkan, termasuk produser tidak perlu lagi mengemukakan sijil vaksinasi lengkap dua dos untuk kru produksi, artis dan pelakon tambahan.

Turut digugurkan, tidak perlu mengemukakan nama dan sijil Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) dilantik syarikat yang dahulu menjadi syarat tambahan Sijil Perakuan Penggambaran (SSP) Khas dan keputusan calitan COVID-19 tiga hari sebelum aktiviti penggambaran bermula.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, berkata perkara itu diusulkan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), sebelum mencapai kata sepakat bagi memenuhi permintaan berkenaan.

"Tiga syarat utama dimansuhkan amat membebankan produser. Jadi, menggugurkan tiga syarat ini membantu mempermudahkan kerja selepas hampir dua tahun terjejas akibat pandemik.

"Walaupun tiga syarat utama digugurkan, FINAS menerusi badan penguatkuasaan tetap melakukan pemantauan agar syarikat produksi tidak sambil lewa bagi memastikan COVID-19 tidak menular dalam kalangan pekerja filem.

"Namun, syarikat produksi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan sejak 1 April lalu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 seperti menjaga penjarakan fizikal dan mengenakan pelitup muka ketika di lokasi penggambaran," katanya kepada BH Online.

Selain itu, Md Nasir berkata, oleh kerana terdapat pemansuhan beberapa syarat, syarikat produksi dikehendaki mengisi buku log aktiviti penggambaran.

Md Nasir menegaskan, FINAS tetap melakukan pemantauan agar syarikat produksi tidak sambil lewa bagi memastikan COVID-19 tidak menular dalam kalangan pekerja filem. - Foto FINAS
Md Nasir menegaskan, FINAS tetap melakukan pemantauan agar syarikat produksi tidak sambil lewa bagi memastikan COVID-19 tidak menular dalam kalangan pekerja filem. - Foto FINAS

Menerusi buku log itu, katanya, pihak syarikat bertanggungjawab sekiranya berlaku kluster COVID-19 sepanjang tempoh penggambaran dijalankan.

"FINAS membantu mempermudahkan produser, cuma kita minta produser menyediakan buku log aktiviti supaya sekiranya ada dalam kalangan artis atau kru yang positif, ia akan memudahkan FINAS memperketatkan lagi pemantauan.

"Kami tidak mahu syarikat produksi bersikap sambil lewa dan ingin memastikan setiap orang mempunyai kesedaran demi kebaikan semua pihak.

"FINAS pun tidak mewajibkan sanitasi dilakukan di lokasi penggambaran seperti dahulu sekiranya tiada keperluan.

"Jadi, ini dapat meringankan beban produser kerana mereka tidak perlu mengeluarkan bajet untuk sanitasi dan ujian calitan yang menelan kos tinggi," katanya.

Bagaimanapun, Md Nasir berkata, pemansuhan PPP menyebabkan timbul perasaan kurang senang dalam kalangan 60 pegawai PPP akibat hilang punca pendapatan.

Namun, katanya, dia tidak memandang mudah keluhan pegawai PPP, sebaliknya akan berbincang dengan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh berhubung perkara itu.

"Khidmat pegawai PPP digunakan sepanjang pandemik, tetapi selepas fasa peralihan ke endemik, kita memansuhkan perkhidmatan menyebabkan mereka kehilangan kerja.

"Saya ada menghubungi Khalil untuk bertanyakan perancangan bagi membantu pegawai PPP. Mungkin kita boleh bantu dalam konteks menjadikan mereka profesional dengan menaik taraf kerja.

"Antara lain memberi latihan berkaitan keselamatan di tempat kerja," katanya.

Berita Harian X