Sabtu, 9 April 2022 | 1:00pm
Emma belajar mengawal emosi agar tempias watak Hawa yang dibawakan tidak terkesan pada orang lain di lokasi penggambaran. - Foto IG Emma Maembong
Emma belajar mengawal emosi agar tempias watak Hawa yang dibawakan tidak terkesan pada orang lain di lokasi penggambaran. - Foto IG Emma Maembong

Emma bergelut watak dera suami

KUALA LUMPUR: Bimbang terbawa-bawa karakter lakonan, pelakon Emma Maembong, 30, belajar mengawal emosi setiap kali menjalani penggambaran.

Emma berkata, dia perlu pandai mengawal agar tempias watak yang dibawakan tidak terkesan pada orang lain.

"Saya belajar kawal emosi kerana kita hanya manusia, ada kala sukar mahu mengawal emosi. Jadi, apabila membawakan karakter panas baran dan cepat marah, saya kena pandai mengawal emosi.

"Seperti watak Hawa dalam drama Nusyuz Berkiblat Cinta. Saya akui, ada kala terbawa-bawa dengan emosi watak berkenaan hingga pernah memarahi pengurus saya.

"Kemudiannya, saya fikir, itu bukan diri saya. Jadi, saya kena sentiasa 'happy go lucky' di lokasi penggambaran.

"Jika saya berdiam diri, saya takut terbawa karakter berlebih-lebihan. Sebab ini hanyalah lakonan, bukannya realiti. Jadi, saya sentiasa mencuba yang terbaik untuk menyampaikan rasa pada penonton, namun dalam masa sama, kena pandai mengawal emosi," katanya kepada BH Online.

Emma berkongsi perasaannya pada sidang media drama Nusyuz Berkiblat Cinta, baru-baru ini.

Menerusi drama arahan Hadith Omar ini, Emma bergandingan bersama Fikry Ibrahim dengan membawakan watak isteri yang suka melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap suami.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail mengakui, watak berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya selepas pulang ke rumah.

"Saya mengakui tertekan apabila pulang ke rumah. Jadi lebih tertekan apabila tidak dapat meluangkan masa bersama suami dan anak.

"Jadi, saya lebih kepada rehat, tenangkan fikiran dan kemudiannya, tidur.

"Ini disebabkan saya bergelut membawa karakter ini. Saya tidak pernah dapat watak mendera dan memukul orang. Selalunya saya jadi mangsa keadaan, sayalah yang dipukul," katanya.

Emma bergandingan bersama Fikry Ibrahim membawakan watak isteri yang suka melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap suami. - Foto IG Emma Maembong
Emma bergandingan bersama Fikry Ibrahim membawakan watak isteri yang suka melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap suami. - Foto IG Emma Maembong

Pelakon kacukan Melayu-Scotland itu berkata, jika karakter sedemikian, ia sudah menjadi satu kebiasaan.

"Jadi, tak tengok skrip pun tahu apa yang bakal terjadi. Namun, kali ini, saya bawa suatu kelainan. Untuk kali pertama dalam hidup, saya baca skrip setiap hari.

"Setiap kali waktu rehat untuk makan siang dan malam, saya baca skrip," katanya.

Tambah Emma, ini juga kali pertama meragui penyampaian lakonannya apabila pengarah jarang memujinya selepas menjayakan sesebuah babak.

"Ini juga kali pertama saya merasakan pengarah banyak menegur saya. Biasanya, saya berlakon, rata-rata pengarah selalu memuji, tetapi jarang sekali saya dapat bagus daripada pengarah untuk watak ini," katanya.

Sehubungan itu, Emma mendedahkan, dia mengalami kesukaran mendalami watak Hawa pada awal penggambaran. Namun, Emma berharap, apa yang diterjemahkan dalam lakonan berjaya sampai pada penonton.

"Selama 13 tahun saya dalam industri, inilah kali pertama saya membawakan watak yang berbeza daripada karakter.

"Sebelum terima watak Hawa, saya menolaknya. Saya katakan pada pengarah, saya tidak boleh membawakan watak terlalu ekstrem. Dan, rasanya semua kru tahu bagaimana gugup di lokasi penggambaran.

"Sememangnya, saya bergelut sejak awal masuk lokasi penggambaran. Boleh dikatakan berhari-hari juga saya bersusah payah menghidupkan watak ini.

"Namun, saya sudah cuba yang terbaik. Saya harap penonton nampak kelainan watak Hawa," katanya.

Drama Nusyuz Berkiblat Cinta ditayangkan setiap Ahad, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria sejak 3 April lalu.

Berita Harian X