Rabu, 6 April 2022 | 6:00pm
Saharul bersyukur dapat menyambut Ramadan di Tanah Suci Makkah.
Saharul bersyukur dapat menyambut Ramadan di Tanah Suci Makkah.

'Tinggalkan anak demi usaha sebar dakwah'

KUALA LUMPUR: Aktor Saharul Ridzwan memilih menyambut Ramadan di Tanah Suci Makkah bersama isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir.

Saharul berangkat menunaikan ibadah umrah pada 2 April lalu itu berkata, ia adalah satu rezeki dan rahmat besar buatnya dapat Tanah Suci buat kali keempat.

"Sebenarnya, saya tidak merancang menunaikan umrah, sebaliknya saya nak buat haji, tahun ini. Namun, apabila melihat giliran jatuh pada 2062, entah saya hidup atau tidak.

"Selepas bertemu Faizal Ismail menerusi sebuah program, dia tanya sama ada saya mahu ke Makkah dan mengajak saya menunaikan umrah. Saya pilih satu tarikh, tetapi ia tertunda disebabkan pandemik.

"Alhamdulillah, kemudiannya saya terima slot kosong pada 2 April. Kalau dahulu, saya pergi dengan harapan untuk berdoa di sana, tetapi kali ini saya pergi membawa cinta saya kepada Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat," katanya kepada BH Online.

Namun, katanya, kunjungannya ke Tanah Suci, tahun ini mempunyai cabaran apabila dia dan isterinya terpaksa meninggalkan anak-anak.

Saharul bersama rakan kongsinya, Nabil Ahmad ketika majlis perasmian restoran mereka, Human Gang.
Saharul bersama rakan kongsinya, Nabil Ahmad ketika majlis perasmian restoran mereka, Human Gang.

Kata Saharul, ia adalah satu proses pembelajaran buatnya dan isteri agar lebih mudah mengikuti usaha menyebarkan dakwah.

"Cabaran kali ini terpaksa berjauhan dengan anak-anak. Saya sentiasa mengingatkan isteri inilah masanya untuk belajar meninggalkan anak-anak sekejap supaya boleh mengikuti usaha menyebarkan dakwah.

"Pada awalnya isteri agak keberatan untuk pergi, tetapi akhirnya bersetuju. Apabila bersetuju, saya terus tempah slot tarikh ini.

"Sebelum ini tidak pernah berpisah dengan anak-anak. Kami pernah cuba berjauhan selama sehari, tetapi Alhamdulillah, semua berjalan dengan baik kerana saya yakin Allah menjaga mereka," katanya.

Saharul dan isteri akan pulang semula ke Malaysia selepas sepuluh hari di Tanah Suci.

Terdahulu, Saharul mendirikan rumah tangga dengan Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir pada September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Luth Ali, 5, dan Fateema Azzahara, 2.

Berkongsi aktiviti sepanjang Ramadan ini, Saharul berkata, tidak banyak sudah dirancang selain memberi fokus kepada perniagaan restoran baharu, Human Gang yang memulakan operasi pada hujung Mac lalu.

"Rasanya saya lebih tertumpu kepada aktiviti perniagaan selain meningkatkan lagi amal ibadah," katanya.

Berita Harian X