Selasa, 5 April 2022 | 1:00pm
Penyanyi Ara Johari sempat berceloteh bersama penyampai radio Hot FM.
Penyanyi Ara Johari sempat berceloteh bersama penyampai radio Hot FM.

Hot FM rai Fasa Peralihan Endemik

KUALA LUMPUR: Bagi meraikan Fasa Peralihan Endemik pada 1 April lalu, stesen radio Hot FM menganjurkan satu persembahan tertutup bersama pendengar bertuah, baru-baru ini.

Hot FM Peralihan Ke Endemik Showcase yang berlangsung di The Paddock, Petaling Jaya dihadiri 200 pendengar bertuah yang berjaya memenangi akses ke persembahan tertutup berkenaan melalui peraduan yang dibuat menerusi laman web Hot FM sejak 23 Mac lalu.

Persembahan istimewa itu dimeriahkan barisan penyanyi seperti Bunkface, 6ixth Sense, Marsha Milan, Ara Johari, Insomniacks, Wani Kayrie, Amsyar Leee & Bunga dan Juki.

Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM & Molek FM, Nik Nor Azura, berkata objektif penganjuran showcase untuk mengembalikan suasana konsert yang sudah dua tahun tidak dirasai sejak penularan pandemik COVID-19.

"Persembahan ini dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk pendengar bertuah perlu melakukan ujian kendiri di lokasi sebelum dibenarkan menonton persembahan.

"Selain itu, persembahan ini juga diadakan secara tertutup dan eksklusif bersama pendengar bertuah sahaja," katanya.

Selain Hot FM Peralihan Ke Endemik Showcase, Hot FM juga menyajikan pelbagai segmen dan pengisian menarik sempena Ramadan.

Kumpulan Insomniacks memeriahkan Hot FM Peralihan Ke Endemik Showcase, baru-baru ini.
Kumpulan Insomniacks memeriahkan Hot FM Peralihan Ke Endemik Showcase, baru-baru ini.

Sempena Ramadan, Hot FM menganjurkan kempen Hot FM 30 Ramadan dibawakan oleh Lotus's Malaysia.

Membawakan mesej sebagai jiran prihatin, didorong semangat #KitakanJiran, Hot FM dan Lotus's akan mengedarkan pelbagai barangan Lotus's kepada mereka yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan ini.

Antara lokasi yang akan disinggahi oleh krew Hot FM 30 Ramadan sekitar Lembah Klang, Seremban, Melaka, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.

Sesi pemberian barangan ini akan dibuat setiap hari bermula jam 3 petang di kawasan stesen transit aliran ringan (LRT) dan kawasan tumpuan orang ramai sebelum diteruskan pada jam 5 petang di bazar Ramadan terpilih.

Pada Jumaat agihan barangan akan dibuat di masjid terpilih. Jadual lokasi Hot FM 30 Ramadan akan diberitahu menerusi media sosial Hot FM.

Orang ramai yang ingin mendapatkan pelbagai barangan Lotus's boleh menantikan kedatangan krew Hot FM 30 Ramadan dan penyampai Hot FM.

Antara pengisian Ramadan lain dianjurkan adalah Booster Ramadan yang mana tiga stesen Media Prima Audio iaitu Hot FM, Buletin FM dan Molek FM bergabung melakukan sesi Tadabbur Al-Quran bersama Ustaz Rozie Rejab.

Booster Ramadan ini boleh ditonton menerusi FB Live tiga stesen berkenaan atau didengari melalui aplikasi Audio+ setiap Khamis bermula jam 1 tengah hari.

Program Booster Ramadan bermula ke udara sejak 31 Mac lalu dan akan menemui pendengar pada 7, 14 dan 21 April ini.

Berita Harian X