Ahad, 3 April 2022 | 3:43pm
Hattan dan adik beradik tetap berkumpul menyambut Ramadan bersama di kampung halamannya di Seri Menanti tanpa arwah ibu. - Foto IG Hattan
Hattan dan adik beradik tetap berkumpul menyambut Ramadan bersama di kampung halamannya di Seri Menanti tanpa arwah ibu. - Foto IG Hattan

Hattan rindu masakan arwah ibu

KUALA LUMPUR: Penyanyi otai, Datuk Hattan sebak mengenangkan kali pertama menyambut Ramadan tanpa ibu tersayang, Allahyarham Hindon Md Sani, 83, yang menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit jantung pada Disember lalu.

Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 57, berkata perkara paling dirindui mengenai arwah ibu setiap kali menjelang bulan puasa adalah masakan air tangannya.

"Ramadan tidak akan sama selepas pemergian arwah ibu pada Disember, tahun lalu. Seperkara mengenai arwah yang membuatkan saya terbayang-bayang apabila menjelang bulan puasa adalah masakannya.

"Meskipun menu disediakan sangat ringkas, seperti masak lemak ayam kampung dan ikan bilis goreng, tetapi kesedapannya sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Saya ada kakak yang boleh menyediakan menu ini, tetapi tidak akan sama dengan air tangan arwah kerana kaedah memasaknya lebih kepada cara lama seperti menggunakan batu giling dan dapur kayu," katanya kepada BH Online.

Hattan bersama Pengarah Muzik, Roza Rio akan bergandingan dalam Konsert Datuk Hattan 35 Years Journey, baru-baru ini. - NSTP/Amirudin Sahib
Hattan bersama Pengarah Muzik, Roza Rio akan bergandingan dalam Konsert Datuk Hattan 35 Years Journey, baru-baru ini. - NSTP/Amirudin Sahib

Perkara lain yang mengusik perasaan penyanyi lagu Memburu Rindu itu adalah apabila terkenang keletah arwah yang memintanya membeli juadah di bazar Ramadan.

"Selalunya menjelang waktu petang, arwah akan kalut bertanyakan apakah kami akan ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa.

"Namun, apabila arwah sudah tiada, tiada lagi orang yang akan kecoh-kecoh mengingatkan atau meminta kami membelikan pelbagai juadah.

"Momen itulah yang amat saya rindukan ketika ini," katanya pada majlis sidang media Konsert Datuk Hattan 35 Years Journey di ibu negara, baru-baru ini.

Walaupun arwah ibu sudah tiada, kata Hattan, dia tetap akan meraikan bulan mulia itu di kampungnya di Seri Menanti, Negeri Sembilan bersama adik-beradiknya.

Berita Harian X