Rabu, 30 March 2022 | 1:00pm
Zed mendakwa nasib penggiat seni masih terkontang-kanting berhubung isu pembelaan terhadap tangga gaji. Foto Ihsan SENIMAN
Zed mendakwa nasib penggiat seni masih terkontang-kanting berhubung isu pembelaan terhadap tangga gaji. Foto Ihsan SENIMAN

Selaras gaji pekerja seni

KUALA LUMPUR: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei ini di seluruh negara, membuka perbincangan terhadap had penyelarasan upah bagi penggiat industri kreatif terutama kru dan petugas belakang tabir.

Menyedari pelaksanaan gaji minimum seperti disarankan kerajaan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri kreatif, persatuan mewakili kru dan pekerja belakang tabir bagaimanapun sedar kepentingan untuk semua pihak berkepentingan mengkaji semula kadar gaji dan upah yang dilaksanakan sekarang.

Langkah ini perlu bagi mengimbangi kenaikan harga pasaran dan kedudukan ekonomi, selain sektor industri kreatif baru dibuka semula selepas terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

Bagi tiga persatuan seni utama iaitu Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), isu penyelarasan gaji kru dan pekerja belakang tabir sentiasa diperjuangkan tanpa lelah demi kepentingan ahli.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim, berkata gaji pekerja seni dibayar mengikut projek, bukan secara tetap iaitu bulanan atau mendapat imbuhan lain saban bulan.

"Pengumuman Perdana Menteri berhubung gaji minimum tidak ada kena-mengena dengan pekerja seni. Hakikatnya, bayaran minimum penggiat seni yang mencari makan secara 'freelance' tertakluk kepada pengalaman dan kemahiran individu terbabit.

"Isu ini harus dibincangkan dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) kerana merekalah majikan kepada pengarah, kru dan pelakon bagi sektor filem.

"Mengikut kelaziman juga, bayaran kepada pekerja dilakukan atas budi bicara penerbit. Pengalaman dan kepakaran juga sepatutnya diambil kira dalam menentukan bayaran.

"Justeru, FDAM, PROFIMA mahupun SENIMAN tidak ada hak atau kuasa mendesak bagi menuntut kenaikan gaji minimum dengan stesen televisyen (TV) atau kementerian berkaitan.

"Perkara ini bukan bidang kuasa persatuan," katanya kepada BH Online.

Ahmad yang lebih dikenali sebagai Mat London bagaimanapun mengakui gaji minimum pekerja seni perlu ditetapkan.

"Pembelaan kami ini terletak kepada perbincangan terperinci dengan majikan iaitu PFM. Dalam hal ini, persatuan harus mengemukakan rayuan tangga gaji kepada PFM supaya pelaksanaannya dapat dipastikan.

"Satu mesyuarat bersama PFM harus diadakan dengan lebih serius. Setakat ini, RTM sudah menaikkan kadar harga urusan belian produk merangkumi karya atau program daripada penggiat seni.

"Namun, stesen TV swasta masih dengan penetapan kadar harga lama," katanya.

Sementara itu, Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata nasib penggiat seni masih terkontang-kanting berhubung pembelaan terhadap tangga gaji.

"Tidak tahu sama ada kita ini industri yang membantu ekonomi negara dilihat sebagai pekerja profesional atau sebaliknya.

"Kami tidak ada badan atau majlis yang mengiktiraf penggiat seni dalam banyak aspek. Sedangkan kami semakin berkembang dan jelas membantu ekonomi negara.

"Gaji minimum penggiat seni ini perlu ada penetapan. Memang perlu ada rate card (kad kadar upah). Kami selalunya di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, tetapi dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia.

"Sehubungan itu, kementerian terbabit perlu ada perancangan dan kategori khusus membabitkan pekerja seni.

"Ini bermakna, kalau kerajaan umum gaji minimum, industri seni akan menerima tempiasnya. Kalau tidak, ia hanya sekadar mimpi di siang hari," katanya.

Zed berpandangan suara dan masalah persatuan perlu didengari kementerian khusus.

"Contohnya, kementerian yang menggabungkan agensi kerajaan seperti RTM, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jabatan Penerangan Malaysia dan sebagainya.

"Daripada situ, perlu wujud satu majlis atau perancangan besar untuk mengatasi masalah asas termasuk gaji.

"Hal begini perlu dilihat daripada skop luas yang membabitkan jaminan undang-undang anak seni. Secara tidak langsung, masalah gaji dapat diselesaikan kerana diletak di bawah satu undang-undang yang digubal demi membela pekerja seni," katanya.

Zed berkata, jika semua itu dilaksanakan secara teratur akan memberi jaminan kepada pelajar fakulti seni di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk lebih serius menyertai industri seni secara profesional dan komersial.

Khalil menjelaskan PROFIMA masih dalam proses penyelarasan dengan persatuan lain bagi meminta penetapan gaji minimum untuk pekerja seni. Foto Ihsan Khalil Salleh
Khalil menjelaskan PROFIMA masih dalam proses penyelarasan dengan persatuan lain bagi meminta penetapan gaji minimum untuk pekerja seni. Foto Ihsan Khalil Salleh

Senada dengan Zed, Presiden PROFIMA, Khalil Salleh mengaku nasib penggiat kreatif belum terbela sepenuhnya.

"Pengumuman gaji minimum tidak membabitkan penggiat seni secara keseluruhannya. Mereka yang terbabit dan menerima faedah, contohnya, hanya studio besar dan stesen TV yang mempunyai pekerja tetap.

"Jadi, pengumuman itu kami sambut baik. Ia memberi rezeki dan impak kepada syarikat produksi yang mempunyai pekerja tetap untuk terus bangkit pada era semasa," katanya.

Khalil berkata, PROFIMA masih dalam proses penyelarasan dengan persatuan lain bagi meminta penetapan gaji minimum untuk pekerja seni.

Tambahnya, PROFIMA mempunyai 'rate card' untuk ahlinya .

"Namun, perkara ini belum diputuskan secara muktamad. Ada 21 kategori yang kami senaraikan bagi penggiat seni.

"Selain itu, bayaran atau gaji berpaksikan cara ketetapan kadar upah pekerja dengan syarikat produksi. Dalam hal ini, kedua-dua pihak perlu bersetuju atas tawaran kerja diberi," katanya.

Sementara itu, mengambil sikap terbuka berhubung syor gaji minimum pekerja seni termasuk keperluan membuat perbincangan khusus mengenai isu terbabit, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bagaimanapun menjelaskan, modul gaji berteraskan kelayakan dan gred penggiat seni selama ini menjadi rujukan dalam menentukan kadar bayaran.

Presiden PFM, Pansha berkata, ketetapan gaji minimum bagi pekerja seni tidak boleh ditetapkan secara mutlak.

"Gaji minimum RM1,500 ditetapkan kerajaan jelas untuk pekerja yang tidak terbabit dengan seni. Malah, saya dapat tahu pekerja kreatif ada yang mendapat gaji lebih daripada RM1,500.

"Hendak buat ketetapan sangat subjektif. Sudah ada modul gaji untuk orang perfileman yang menyatakan bayaran dibuat berdasarkan kelayakan mereka.

Pansha menjelaskan ketetapan gaji minimum bagi pekerja seni tidak boleh ditetapkan secara mutlak. Foto Ihsan PFM
Pansha menjelaskan ketetapan gaji minimum bagi pekerja seni tidak boleh ditetapkan secara mutlak. Foto Ihsan PFM

"Pelakon pun ada kelas atau gred masing-masing," katanya.

Bagaimanapun, Pansha berkata, PFM mengambil sikap terbuka jika ada persatuan mahu bertemu dan berbincang mengenai syor gaji minimum pekerja seni.

"Namun, bagi saya, usaha itu dilihat tidak perlu. Sebelum ini, kami ada bertemu beberapa persatuan. Kami amat terbuka," katanya.

Berita Harian X