Rabu, 30 March 2022 | 11:00am
Sharifah Azwana menemani Ali di hospital sejak dirawat, seminggu lalu. Foto Ihsan Sharifah Azwan Syed Joned
Sharifah Azwana menemani Ali di hospital sejak dirawat, seminggu lalu. Foto Ihsan Sharifah Azwan Syed Joned

Diserang angin ahmar, Ali XPDC perlu bantuan

KUALA LUMPUR: Keluarga vokalis XPDC, Ali, 53, yang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini akibat serangan angin ahmar merayu bantuan kewangan serta barangan berikutan terputus sumber pendapatan sejak hampir sebulan lalu.

Isteri penyanyi itu, Sharifah Azwana Syed Joned, 50, berkata sejak suami jatuh sakit, mereka hilang sumber rezeki dengan lima anak yang masih belajar.

"Kami memang memerlukan bantuan tidak kira dari sudut kewangan atau lampin pakai buang dan susu.

"Suami perlu menggunakan satu pek lampin pakai buang sehari kerana belum mampu menguruskan diri sendiri.

"Alhamdulillah, sejak hantaran dimuat naik sahabat suami iaitu Fuad Shahrin tular, kami menerima kira-kira lapan pek lampin pakai buang dan tongkat.

Keadaan Ali yang diserang angin ahmar, seminggu lalu, kini hampir pulih 50 peratus. Foto Ihsan Official XPDC
Keadaan Ali yang diserang angin ahmar, seminggu lalu, kini hampir pulih 50 peratus. Foto Ihsan Official XPDC

"Semua bekalan cukup untuk digunakan dalam seminggu," katanya kepada BH Online.

Namun, Sharifah Azwana berkata, jika ada pihak yang bermurah hati menyumbang, dia amat mengalu-alukan berikutan kos membeli lampin pakai buang bukan sedikit.

"Selain perlu membeli lampin pakai buang dan susu, kami juga perlukan wang untuk membeli makanan. Selain itu, kos anak berulang-alik ke hospital untuk menghantar makanan setiap hari.

"Buat masa ini, kami sekeluarga menumpang di rumah sewa anak kedua saya di Sungai Besi. Ini bagi memudahkan anak berulang-alik menghantar keperluan suami dan saya di hospital.

"Jika tidak, rumah kami di Klang," katanya.

Sharifah Azwana berkata, dalam keadaan sekarang, suaminya memerlukan perhatian rapi.

"Dia masih belum mampu menguruskan diri sendiri. Jadi, saya perlu sentiasa berada di sisinya bagi membantu memakaikan lampin dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, Sharifah Azwana lega kos rawatan ditanggung Baitumal. Jika tidak, dia runsing memikirkan bagaimana hendak menjelaskan kos rawatan di Hospital Ampang selama tiga minggu RM12,000, sebelum ini.

Sementara itu, Sharifah Azwana bersyukur Ali menunjukkan perubahan positif.

Tambahnya, Ali sudah boleh bercakap dengan jelas biarpun agak lambat.

"Selain itu, kaki dan tangan kanan boleh digerakkan. Namun, suami perlu menjalani rawatan fisioterapi setiap hari.

"Mengikut jangkaan doktor, jika suami menunjukkan perkembangan baik mungkin dia perlu dirawat selama sebulan. Sekarang, keadaan suami hampir 50 peratus pulih, kakinya semakin kuat cuma masih kebas.

"Suami sudah boleh melangkah tetapi perlu dibantu. Aktiviti paling digemarinya ketika sesi fisioterapi adalah mengayuh basikal.

"Namun, disebabkan badannya masih kebas, suami sukar mengawal membuang air kecil dan besar. Sebab itulah dia perlu menggunakan lampin pakai buang.

"Doktor juga memeriksa tekak suami kerana dia belum boleh menikmati makanan seperti biasa. Jadi, untuk tempoh dua bulan ini, suami hanya minum susu melalui tiub," katanya.

Jumaat lalu, Ali atau nama sebenar, Mohd Ali Ismail, dikejarkan ke Hospital Ampang apabila didapati tidak bermaya ketika mahu makan selesai berlatih di studio pemain bes XPDC, Eddie di Pandan Indah, di sini.

Ali dan XPDC giat berlatih sebagai persiapan Konsert Jualan Hitam 2022 di Warisan Hall Studio, Banting, semalam.

Pada 10 Mac lalu, Ali pernah ditidurkan kerana mengalami sesak nafas, sebelum sedar kira-kira jam 7 pagi keesokannya.

Berita Harian X