Khamis, 24 March 2022 | 1:00pm
Kira-kira 4,500 bakul makanan dan barang keperluan asas seperti kit penjagaan kebersihan diri dan makanan kering diagihkan kepada gelandangan di lokasi pilihan di ibu negara. Foto Ihsan PAKAT
Kira-kira 4,500 bakul makanan dan barang keperluan asas seperti kit penjagaan kebersihan diri dan makanan kering diagihkan kepada gelandangan di lokasi pilihan di ibu negara. Foto Ihsan PAKAT

Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan cipta sejarah

KUALA LUMPUR: Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan membabitkan 115 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diterajui Persatuan Muafakat Darul Ehsan (PAKAT) yang dianjurkan di ibu negara selama 21 hari mulai 2 Mac lalu, diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai program amal gelandangan terbesar di Malaysia.

Mendapat sokongan artis dan selebriti, kira-kira 4,500 bakul makanan dan barang keperluan asas seperti kit penjagaan kebersihan diri dan makanan kering diagihkan kepada gelandangan di lokasi pilihan.

Ketua Pengarah Program Kasih 21 hari Mesra Gelandangan, Datuk Seri Nor Hasnal Hashmi berkata, program itu adalah hasil kerjasama NGO dan agensi kerajaan lain bagi mendekati kumpulan gelandangan.

"Pada mulanya, kami merancang menganjurkan program ini bagi tempoh sehari atau dua hari sahaja seperti kebiasaannya.

"Entah macam mana, apabila kami fikir mahu buat kelainan, datang idea untuk menjayakan program ini selama 21 hari.

"Ramai yang bertanya, betulkah hendak buat program selama 21 hari dan siapa mahu menanggungnya.

MBR mengiktiraf Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan membabitkan 115 NGO sebagai program amal gelandangan terbesar di Malaysia, baru-baru ini. Foto Ihsan PAKAT
MBR mengiktiraf Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan membabitkan 115 NGO sebagai program amal gelandangan terbesar di Malaysia, baru-baru ini. Foto Ihsan PAKAT

"Namun, bagi saya, apabila sudah ada niat, teruskan sahaja, dana kita fikir kemudian," katanya.

Nor Hasnal berkata, urusan menjayakan Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan dipermudahkan Tuhan.

"Allah mempermudahkan urusan. Ada sahaja pihak tampil menghulurkan bantuan. Malah, sampai sekarang, masih ada lagi NGO yang menyertai program ini menjadikan jumlah keseluruhan 115 badan," katanya pada majlis penutup Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara, kelmarin.

Sepanjang program berlangsung, setiap hari, 40 peserta dari setiap NGO bergerak menyantuni gelandangan di Kuala Lumpur.

Antara lokasi bekalan bantuan diagihkan adalah Masjid Jamek, Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Chow Kit dan Jalan Ipoh.

Nor Hasnal berkata, Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan bertujuan membantu golongan gelandangan dan insan terjejas akibat pandemik COVID-19 dan mendedahkan realiti kehidupan insan kurang bernasib baik.

"Program ini bertujuan memastikan aktiviti positif dijalankan dalam membentuk peserta berilmu, berketerampilan, mapan dan bertakwa sebagai persediaan membentuk generasi pelapis dalam masyarakat.

"Melalui program ini, kita dapat mendekati masyarakat gelandangan bagi mengetahui punca sebenar mereka begitu dan menghindarkan persepsi negatif dalam minda masyarakat," katanya.

Tambah Nor Hasnal, data komuniti gelandangan akan dikemukakan kepada agensi kerajaan agar latihan dan kemahiran dapat diberi kepada mereka dalam usaha memperkasakan jati diri kelompok sasaran.

"Hajat saya hendak bawa NGO lain atau badan korporat turun padang memberi rezeki kepada gelandangan. Kita memang ada perancangan hendak anjurkan program sama di luar Kuala Lumpur," katanya yang sedang mengumpul data bagi memudahkan usaha mendekati komuniti gelandangan.

Sementara itu, penyanyi, Lan Solo teruja apabila menerima panggilan menyertai Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan.

Lan berharap lebih ramai NGO dapat menyertai usaha murni itu.

"Usaha ini perlu agar lebih ramai dapat berkongsi rezeki dengan kumpulan gelandangan. Sebelum ini, saya pernah anjur projek amal di sini, tidaklah secara besar-besaran.

"Dengan kehadiran Ramadan, saya fikir program sebegini sedikit sebanyak memberi semangat kepada komuniti gelandangan," katanya.

Penyanyi Ayu Damit yang turut menyertai program amal itu juga lega melihat semua pihak patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) terutama dalam mengagihkan bantuan.

"Rata-rata saya lihat ramai menjaga SOP ditetapkan. Ketika ini, saya percaya kita semua perlu patuh kerana risau perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Ayu mengaku teringat detik di mana kehidupannya sukar sebelum bergelar penyanyi.

"Melihat gelandangan, saya teringat ketika hidup saya susah. Namun, biarpun susah, saya ada rumah. Kumpulan gelandangan ini tiada rumah sendiri.

"Bagi saya, rakyat Malaysia sangat prihatin dengan nasib gelandangan. Bukan hanya pada Ramadan, malah, setiap hari ada sahaja NGO atau organisasi lain yang mengagihkan makanan.

"Jadi sedikit sebanyak saya gembira kerana dapat menjayakan program ini bersama 115 NGO yang lain," katanya.

Selain Lan Solo dan Ayu, rakan artis yang turut memeriahkan Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan adalah Syura, Sheeda, Zur Eda, Daqmie, Afee Utopia, Ani Mayuni, Abon dan ramai lagi.

Setiap hari, 200 pek makanan dan barang keperluan asas seperti kit penjagaan kebersihan diri dan makanan kering

diagihkan sepanjang program.

Berita Harian X