Selasa, 22 March 2022 | 8:30am
Ahmad Fedtri membuka tirai Ramadan dengan tayangan program travelog, Jejak Rasul : Ulama Pewaris Rasul II di TV3. Foto Ihsan TV3
Ahmad Fedtri membuka tirai Ramadan dengan tayangan program travelog, Jejak Rasul : Ulama Pewaris Rasul II di TV3. Foto Ihsan TV3

Seikhlas Hati suburkan Ramadan, Syawal

KUALA LUMPUR: Meneruskan elemen kasih sayang, hormat, ikhlas dan membantu seperti disemai dalam kempen terdahulu, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) melancarkan kempen Ramadan Raya 2022 bertemakan Seikhlas Hati.

Pelancaran kempen membabitkan dua saluran utama iaitu TV3 dan TV9 ini dibuat menerusi siaran langsung program Melodi yang dihoskan Nabila Huda dan Haziq Hussni, kelmarin.

MPTN dalam kenyataan menyebut, selain menyemarak kempen Ramadan Raya, tema Seikhlas Hati dipilih sebagai peringatan untuk semua pihak agar bersyukur dan reda dengan ujian diberi.

"Tema ini ibarat suatu peringatan kepada kita agar sentiasa bersyukur dan reda dengan ujian dihadapi. Setiap ujian itu menjadikan kita lebih kuat dan tabah.

"Ramadan khususnya adalah bulan untuk kita meningkatkan amal ibadat dan memperoleh pelbagai ganjaran dengan sentiasa bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan balasan," kata kenyataan itu.

Majlis pelancaran kempen Ramadan Raya 2022 dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular tanah air iaitu Datuk Rosyam Nor, Sharifah Rose, Fedtri Yahya, Mark Adam, Aprena Manrose, Yana Samsudin, Fadzil Zahari dan Kim Hassan.

Sejajar tema diketengahkan, TV3 dan TV9 menyajikan program yang bukan sahaja memberi hiburan, malah, informasi dan pengisian rohani.

Masih kekal sebagai program yang ditunggu-tunggu, TV3 membuka tirai Ramadan dengan tayangan program travelog, Jejak Rasul : Ulama Pewaris Rasul II .

Pengacaranya, Ahmad Fedtri Yahya membawa penonton ke era Tanah Melayu di mana Raja-Raja Melayu dikuasai imperialis Inggeris dan menyaksikan pemimpin alim ulama sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan kedaulatan serta maruah agama dan bangsa.

Turut disiarkan adalah program Tanyalah Ustaz Seikhlas Hati yang antara lain memaparkan kompilasi episod terbaik termasuk perkongsian menarik mengenai amalan hebat oleh Dai Haziq dan Jalal Zaki.

Program bual bicara yang menjadi tradisi setiap kali Ramadan iaitu Sembang Sahur diteruskan bersama hos, Haziq Hussni, Fatin Hamimah, Fadzly Fuad dan Dayah Bakar.

Untuk peminat drama, TV3 menyajikan barisan drama rantaian popular seperti 7 Hari Mencintaiku, Do You Love Me, Captain?, Khilaf Asmara, Menanti Mek Barber dan Mem & Bibik-bibik.

Sesuai dengan 'mood' Ramadan yang terkenal dengan pesta juadah, penonton disajikan tiga program menarik iaitu Pesan Makan yang dikendalikan Izzue Islam dan Fizo Omar; Jalan-Jalan Cari Makan serta Apa Nak Masak Ni yang menyaksikan selebriti popular berkongsi resipi juadah berbuka puasa.

Hiburan diteruskan dengan program Akustika Ramadan, musim baharu sitkom, Pak Kodi 5G serta animasi Papa Zola.

Sementara itu, melalui TV9, penonton dibawa mengupas isu yang pernah tular dan dibahaskan dengan penuh ilmu mengikut perspektif Islam menerusi program Sembang Viral Mega kendalian Rosyam.

Program lain yang turut mengisi saluran berkenaan adalah Jalan-Jalan Ramadan yang mengisahkan pengembaraan menarik Harris Alif di serata negeri untuk mempelajari tradisi dan keunikan kebudayaan di kampung yang dijelajahi.

Turut disajikan adalah program Pandai Masak Ke Tu? iaitu pertandingan memasak yang disertai selebriti popular seperti Ara Johari, Khai Bahar, Wany Hasrita, Nabila Razali, Noki K-Clique dan dihoskan oleh Amy Mastura serta ditemani juri Datuk Chef Ismail dan Yatie Kitchen.

Drama 30 Hari Sebelum Raya bakal menemui penonton TV9, Ramadan ini. Foto Ihsan TV3
Drama 30 Hari Sebelum Raya bakal menemui penonton TV9, Ramadan ini. Foto Ihsan TV3

Dua drama iaitu 30 Hari Sebelum Raya dan Jiwa Wanita juga menjadi antara tarikan TV9.

Menerusi slot Skrin Di 9, empat telefilem bertema Ramadan bakal menemui penonton iaitu Ramadan Tunggu Aku

Datang, Seutas Tasbih Dari Madu, Calon Bini Pak Bilal dan Mengejar Lailatulqadar.

Berita Harian X