Ahad, 20 March 2022 | 11:00am
Andi mengaku banyak cabaran dilalui dalam menghasilkan single baharu, Du. Foto IG Andi Bernadee
Andi mengaku banyak cabaran dilalui dalam menghasilkan single baharu, Du. Foto IG Andi Bernadee

Andi ubat rindu dengan Du

KUALA LUMPUR: Selepas setahun tidak menghasilkan lagu baharu, penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee kembali mengubat rindu peminat dengan single Du.

Andi atau nama sebenar, Andi Azrul Andi Mapangile, 30, berkata pelancaran Du dianggap bukti dia tidak pernah membelakangkan karier nyanyian.

"Saya tidaklah menyepi selepas melancarkan single Kais Pagi Kais Petang, tahun lalu. Sebaliknya, saya masih lagi berkarya tetapi menerusi bidang lakonan.

"Saya juga tampil dalam program Master In The House. Insya-Allah, tahun ini saya mahu cuba imbang antara tiga bidang iaitu nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

Andi menganggap pelancaran single Du membuktikan dia tidak pernah melupakan dunia nyanyian. Foto IG Andi Bernadee
Andi menganggap pelancaran single Du membuktikan dia tidak pernah melupakan dunia nyanyian. Foto IG Andi Bernadee

"Jadi, untuk bidang nyanyian, saya hasilkan lagu Du sebagai hadiah istimewa buat peminat saya yang sudah lama merindukan buah tangan terbaharu saya," katanya pada sidang media pelancaran single Du di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai lagu Du ciptaan komposer berasal dari Singapura, Alyph, Andi mengaku banyak cabaran dalam merealisasikan projek itu.

"Bagi saya, lagu ini antara yang menghadapi paling banyak cabaran dan halangan. Hendak melancarkannya pun kena tunggu hampir dua tahun.

"Banyak perkara tidak kena. Selepas menghasilkan video muzik lirik, ada masalah lagi. Kita terpaksa padamkan dan muat naik semula selepas 12 jam.

"Bagaimanapun, semua yang terjadi bukanlah salah sesiapa. Saya pun tidak salahkan sesiapa. Bagi saya ia adalah pengalaman dan asam garam," katanya.

Andi berkata, Du adalah singkatan daripada perkataan rindu yang menjadi signifikasi kepada 'kerinduan yang berbalas' yang diangkat sebagai tema dendangan berkenaan.

"Pada asalnya, kami bercadang guna judul Du Du Du. Tetapi sudah ada yang melakukannya. Jadi, untuk mengelak keliru, kami pilih Du," katanya.

Sempena pelancaran video muzik Du, Andi menganjurkan 'livestream' di saluran YouTube Andi Bernadee selama 24 jam mulai jam 9 malam tadi.

Sepanjang program itu, Andi melakukan pelbagai aktiviti dan sesiapa sahaja dapat menyaksikan Andi secara langsung selama 24 jam.

Du boleh dimuat turun di iTunes dan didengari melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music sejak 11 Mac lalu.

Berita Harian X