Ahad, 20 March 2022 | 8:30am
Keith sentiasa ada masa untuk bersama buah hati kesayangannya, Skylar. Foto IG Keith Foo
Keith sentiasa ada masa untuk bersama buah hati kesayangannya, Skylar. Foto IG Keith Foo

Keith belum fikir soal jodoh

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah dua tahun bercerai, hubungan Keith Foo dan bekas isteri, Kim Raymond akrab hingga ramai menyangka mereka masih hidup bersama.

Malah, foto mereka bersama anak tunggal kesayangan berusia lima tahun, Skylar Raymond Foo sering dimuat naik di Instagram (IG) masing-masing.

Keith atau nama sebenar, Foo Chuan Chin berkata, biarpun sudah berpisah, mereka tetap ibu bapa Skylar.

"Saya sangat bersyukur selepas bercerai, hubungan kami lebih baik... Jujurnya, sangat baik.

"Apa pun yang kami lakukan, semuanya demi anak. Di mana kami bercuti bersama, tiada masalah untuk bergilir-gilir hantar Skylar ke sekolah dan sebagainya.

"Kalau dia sibuk, saya yang jaga anak. Kalau saya tiada penggambaran, saya luangkan masa di rumah Kim dan jaga anak. Rumah kami jaraknya 10 minit saja.

Keith dan Kim mengekalkan hubungan harmoni selepas berpisah demi masa depan Skylar. Foto IG Keith Foo
Keith dan Kim mengekalkan hubungan harmoni selepas berpisah demi masa depan Skylar. Foto IG Keith Foo

"Bagi saya, ini adalah suatu kebahagiaan dan kebanggaan dapat bersama anak setiap hari. Saya bersyukur saya ada masa bersama Skylar," katanya kepada BH Online.

Apabila ditanya kemungkinan mereka kembali hidup bersama, Keith mengaku mereka lebih selesa berhubung sebagai kawan.

Keith mahu mengekalkan hubungan baik dan enggan merosakkan jalinan sedia ada yang disifatkan sangat sihat dan positif sekarang.

"Untuk bersama kembali, tidak rasanya. Sebagai kawan kami sangat baik. Jadi, kenapa kami mahu rosakkan hubungan dengan cuba kembali bersama?

"Kami sudah cuba sebelum bercerai. Daripada kami bergaduh dan anak membesar tengok hubungan begitu, saya rasa lebih baik tidak.

"Lebih baik anak tengok kami bercerai tetapi gembira. Itu yang penting sebenarnya. Daripada kita memaksa sesuatu yang tidak boleh dan kemudian jadi lebih teruk, saya fikir lebih baik kami berkawan sahaja," katanya.

Keith mendirikan rumah tangga dengan Kim pada November 2015 dan bercerai pada Disember 2019.

Bertanya mengenai teman pengganti, Keith berkata, buat masa sekarang, dia mahu fokus membesarkan Skylar.

"Saya tidak mahu apabila saya ada teman, ia mengganggu hubungan saya dan anak. Jadi, lebih baik saya fokus kepada anak dulu.

"Pada usia Skylar sudah memahami, barulah saya fikir soal itu. Sebenarnya, keputusan saya ini baik untuk kesihatan mental dan pembesaran Skylar. Anak sekarang kita tak tahu apa yang mereka fikir.

"Tetapi saya tidaklah serik. Kalau ada seseorang yang baik untuk saya dan boleh terima, jaga anak termasuk selesa dengan bekas isteri, mengapa tidak?" katanya pada majlis pratonton filem Autumn In Wales, di TGV Cinemas, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Mengulas mengenai filem romantik komedi arahan Rahila Ali itu, Keith seronok melakukan sesuatu yang berbeza dan terbuka menjayakan naskhah komedi lagi.

"Saya sudah beberapa kali bekerja dengan Rahila dan keselesaan itu ada. Walaupun kali pertama bekerja dengan Eyka Farhana, Jaa Suzuran dan Wanna Ali, kami cepat serasi dan semuanya seronok," katanya.

Filem Autumn In Wales terbitan Pencil Pictures boleh ditonton di saluran Astro First bermula Khamis depan.

Berita Harian X