Ahad, 13 March 2022 | 5:17pm
Mawar kini menjalani kuarantin kendiri berikutan risau COVID-19 berjangkit pada ibu dan anak-anaknya. - Foto IG Mawar Rashid
Mawar kini menjalani kuarantin kendiri berikutan risau COVID-19 berjangkit pada ibu dan anak-anaknya. - Foto IG Mawar Rashid

Mawar positif COVID-19 kali kedua

KUALA LUMPUR: Pelakon Mawar Rashid diuji positif COVID-19 kali kedua, Khamis lalu.

Kali pertama, pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Suamiku Paling Sweet positif pada Julai tahun lalu.

Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata, dia bersyukur tidak berdepan dengan gejala teruk seperti positif kali pertama.

"Saya berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami gejala teruk. Cuma, badan terasa sedikit lemah sahaja.

"Saya memang paranoid selepas terkena COVID-19, tahun lalu. Saya sudah berhati-hati, namun, apakan daya, diuji sekali lagi," katanya kepada BH Online.

Mawar yang pernah diangkat Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-33 berkata, dia rasa tidak sedap badan sejak Rabu lalu.

"Saya buat Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) di klinik, keesokan harinya.

"Ketika disahkan positif, saya terus mengasingkan diri daripada anak-anak dan ibu yang kebetulan tinggal bersama buat sementara.

"Apa yang paling merisaukan andai virus ini berjangkit pada ibu dan anak-anak. Sebelum ini, ibu antara paling teruk dan terkesan, jadi saya tak mahu ibu terdedah dengan risiko bahaya ini," katanya.

Mawar terpaksa menjalani kuarantin tanpa kehadiran suami, Raf yang kini sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah. - Foto IG Mawar Rashid
Mawar terpaksa menjalani kuarantin tanpa kehadiran suami, Raf yang kini sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah. - Foto IG Mawar Rashid

Isteri kepada Raf Yaakob itu berkata, dia tetap bersyukur biarpun terpaksa menjalani kuarantin tanpa kehadiran suami yang sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah.

"Raf sentiasa mendoakan saya. Walaupun tidak bersama, sekurang-kurangnya doa dipanjangkannya, itu pun sudah cukup bermakna.

"Bohong jika tiada rasa rindu, tetapi syukur ibu dan anak-anak bersama. Sekurang-kurangnya, saya tidak sunyi di rumah.

"Dalam masa sama, ibu boleh menjaga anak-anak sementara saya menjalani tempoh kuarantin," kata ibu kepada Raden Muhammad Rafael, dan Raden Seri Rosabella Cinta itu.

Berita Harian X