Sabtu, 12 March 2022 | 8:30am
Iqram dan Mona hanya bergaduh dalam drama, sebaliknya teman baik dan tidak pernah bersengketa di luar lokasi penggambaran. - Foto Ihsan Iqram Dinzly
Iqram dan Mona hanya bergaduh dalam drama, sebaliknya teman baik dan tidak pernah bersengketa di luar lokasi penggambaran. - Foto Ihsan Iqram Dinzly

Perang 'psikologi' Iqram, Mona

KUALA LUMPUR: Bukan sengaja mahu mencetuskan kontroversi, sebaliknya itulah perang 'psikologi' dua pelakon sensasi, Iqram Dinzly, 41, dan Mona Allen, 36, dalam membuktikan skil lakonan.

Tidak keterlaluan, Iqram dan Mona mampu 'memperdayakan' netizen apabila video babak mencekik Mona dalam drama bersiri, Hati Yang Dikhianati tular, dianggap benar-benar berlaku.

Insiden pergaduhan dua pelakon 'method' itu dipanjangkan dengan drama demi drama yang dicipta sehingga di luar lokasi

penggambaran.

Namun, akhirnya, Iqram dan Mona meleraikan segala-galanya selepas membiarkan isu pergaduhan berlanjutan dan menjadi bualan netizen selama seminggu.

Tanpa berselindung, Iqram dan Mona mengakui, apa yang dilakukan bukan sekadar gimik, sebaliknya 'perang psikologi' dalam membuktikan skil lakonan watak psiko yang dimainkan dalam drama adaptasi daripada telenovela popular Venezuela, Mis Tres Hermanas arahan Bade Azmi dan MP Roslin itu.

Iqram berkata, dia dan Mona hanya bergaduh dalam drama, sebaliknya mereka adalah teman baik dan tidak pernah bersengketa di luar lokasi penggambaran.

"Sejujurnya, watak Azran dan Maria belum berdamai dalam drama Hati Yang Dikhianati. Di luar lokasi, kami tidak pernah bermusuh, sebaliknya hubungan baik-baik sahaja.

"Mona adalah isteri kepada rakan seperjuangan, Pekin Ibrahim yang sudah lama saya kenal. Jika suaminya pelakon 'method', takkan isterinya tidak 'method'?

"Jadi, babak cekik yang tular itu hanya lakonan. Dan, ia sengaja dipanjangkan di luar lokasi untuk 'menghangatkan' lagi pertelingkahan antara Azran dan Maria.

"Saya dan Mona mencipta keserasian yang baik, jadi tiada sebab untuk kami bermusuhan," kata Iqram yang membuat pengakuan secara eksklusif kepada BH Online.

Iqram menyifatkan Mona sebagai pelakon profesional ketika berada di lokasi penggambaran.

"Jujurnya, nama pun Mona Allen. Jika Mona seorang pemarah atau tidak profesional, mungkin bukan cekik tetapi perkara lebih teruk saya lakukan kepadanya (berseloroh).

"Mona sangat profesional dalam menjayakan karakternya. Watak Maria, bagaikan langit dengan bumi jika dibandingkan karakter sebenar Mona.

"Saya percaya Mona pelakon berpotensi untuk menggantikan pelakon kacukan yang hebat, sebelum ini. Dia sangat versatil dan jenis berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara.

"Sepanjang setahun dua bulan penggambaran drama, tidak pernah timbul persengketaan antara kami. Malah, saya terlebih dahulu meminta kebenaran Pekin bergandingan dengan isterinya," kata Iqram.

Nyata 'perang psikologi' yang dilakukan menjadi apabila Iqram dan Mona menjadi perhatian penggiat seni dan warga netizen, sejak minggu lalu.

Iqram dan Mona mengakui apa yang dilakukan bukan sekadar gimik, sebaliknya ‘perang psikologi’ dalam membuktikan lakonan sebagai watak psiko dalam drama Hati Yang Dikhianati. - Foto Ihsan Iqram Dinzly
Iqram dan Mona mengakui apa yang dilakukan bukan sekadar gimik, sebaliknya ‘perang psikologi’ dalam membuktikan lakonan sebagai watak psiko dalam drama Hati Yang Dikhianati. - Foto Ihsan Iqram Dinzly

Iqram berkata, dia mohon netizen tidak menyalahkan Mona kerana gimik berkenaan datang daripadanya drama Hati Yang Dikhianati sebanyak 146 episod sentiasa menjadi bualan.

Bagi Iqram, tidak salah melakukan gimik bagi memanfaatkan platform media sosial, lagipun, ia menjadi 'trend' masa kini.

"Tujuan kami hanya sekadar suka-suka, namun terpulang kepada warga netizen untuk menilainya.

"Lagipun, gimik sudah menjadi 'trend' dunia digital. Jika bercakap pasal drama sahaja, mungkin orang tidak ambil tahu.

"Apabila adanya gimik, barulah drama ini menjadi bualan," kata Iqram.

Disebabkan kejayaan melakukan gimik sehingga menjadi tular, Iqram berkata, mereka berhasrat mengadakan kelas lakonan 'psiko method' jika diizinkan Tuhan.

"Bercakap soal perancangan masa depan, kami ingin mengadakan kelas lakonan 'psiko method' memandangkan peminat melabelkan kami sebagai pelakon psiko dan method.

"Apa pun, sekali lagi saya mohon maaf atas gimik yang dilakukan.

"Sekali lagi, saya ingin menjelaskan, perancang utama di sebalik babak pergaduhan ini adalah saya. Jadi, jangan marah kepada Mona kerana dia memberikan kerjasama yang baik," tambah Iqram lagi.

Bagi Mona, dia bersyukur digandingkan bersama Iqram selepas sekian lama pelakon berpengalaman itu 'bertapa'.

Katanya, gandingan berdua berjaya memberikan aura yang sangat positif.

"Saya memang impikan bergandingan dengan Iqram selepas sekian lama dia bertapa. Saya sangat teruja kerana kami berjaya mendapatkan keserasian biarpun berdepan dengan watak lelaki psiko.

"Kami tidak terlalu mengikut skrip dalam drama ini. Sebaliknya, kebanyakan dialog dilontarkan terjadi secara spontan," kata Mona.

Terdahulu, Mona melabelkan Iqram sebagai lelaki 'psiko' menerusi luahan kemarahan dalam laman Instagram (IG) apabila tidak puas hati apabila mendakwa Iqram terlalu 'method' ketika menjiwai watak hingga mencekiknya beberapa kali ketika menjayakan satu babak.

Menerusi hantaran dalam IG Story dimuat naik, Mona meluahkan kekecewaan, malah, hilang sabar disebabkan sudah beberapa kali menegur Iqram agar tidak mencekik dengan kuat, namun, permintaannya tidak dipedulikan.

Video adegan pertengkaran turut dikongsi Mona menerusi IG Story yang sempat dirakam pelakon, Mia Nasir. Gara-gara pergaduhan itu, Iqram dan Mona menjadi buruan media, namun, mereka mengambil sikap mengunci mulut.

Berita Harian X