Jumaat, 11 March 2022 | 6:00pm
Khai lebih berkeyakinan berada di sisi teman duetnya, Aina ketika muncul dalam malam kemuncak AJL 36, Ahad lalu. - NSTP/Aziah Azmee
Khai lebih berkeyakinan berada di sisi teman duetnya, Aina ketika muncul dalam malam kemuncak AJL 36, Ahad lalu. - NSTP/Aziah Azmee

Khai hormat 'keghairahan' Aina berfesyen

KUALA LUMPUR: Menjadi rakan duet Aina Abdul, penyanyi Khai Bahar sudah terbiasa eksperimen fesyen 'pelik' penyanyi bersuara lunak itu.

Aina sekali lagi mencetuskan 'trending' apabila busana persis taman bunga bergerak rekaan Melinda Looi digayakan ketika mendendangkan lagu duet, Nafas Cinta bersama Khai.

Begitu juga busana berwarna keemasan berbentuk trofi rekaan T Syahmi yang digayakan Aina bagi persembahan solo menerusi lagu Sepi pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL 36) yang disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menerusi TV3, Ahad lalu.

Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin berkata, ia bukanlah satu kejutan buatnya.

"Saya tak terkejut fesyen pelik digayakan Aina. Sememangnya, dia suka bereksprimentasi.

"Jadi, saya menghormati minat dan keghairahan Aina dalam berfesyen. Namun, lebih utama persembahan ketika mendendangkan lagu Nafas Cinta tidak terjejas.

"Jujurnya, berduet dengan Aina membuatkan saya lebih yakin. Perasaan gementar mulai berkurangan apabila Aina berada di sebelah saya.

"Saya memang belajar banyak perkara dengan Aina," katanya kepada BH Online.

Khai sudah terbiasa dengan eksperimen fesyen pelik Aina ketika melakukan persembahan. - NSTP/Aziah Azmee
Khai sudah terbiasa dengan eksperimen fesyen pelik Aina ketika melakukan persembahan. - NSTP/Aziah Azmee

Penyanyi lagu Luluh dan Damba itu berkata, lagu Nafas Cinta nampak seakan mudah, tetapi sebenarnya amat sukar dinyanyikan.

"Lagu ini memang nampak mudah dan bersahaja. Kalau dengar pun, kita akan fikir ia adalah karya santai dan ringan.

"Namun, ia tidak seperti difikirkan. Susunan muzik baharu dilakukan ketika persembahan dalam AJL 36.

"Kami terpaksa berlatih berulang kali untuk mendapatkan keharmonian," katanya.

Lagu Nafas Cinta sekali lagi membawa tuah kepada Khai dan Aina apabila diumumkan pemenang kategori Anugerah Penyanyi Popular AJL tajaan jenama telefon bimbit OPPO. Mereka membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM5,000.

Menerusi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, lagu Nafas Cinta ciptaan sepenuhnya Aina dan Khai itu turut melayakkan mereka menggenggam trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

"Seperti Aina yang sentiasa terbuka menjalinkan kerjasama, saya juga bersedia.

"Lagu duet seterusnya mungkin akan lebih berat dan matang," katanya.

Berita Harian X