Khamis, 10 March 2022 | 5:00pm
Lia belum bersedia mendedahkan identiti jejaka yang kini menjalinkan hubungan dengannya, keluarga beri restu. - Foto Ihsan Rusa Music
Lia belum bersedia mendedahkan identiti jejaka yang kini menjalinkan hubungan dengannya, keluarga beri restu. - Foto Ihsan Rusa Music

Lia enggan dedah identiti kekasih

KUALA LUMPUR: Ketika sebahagian rakan artis suka merahsiakan soal peribadi, lain pula penyanyi yang menempa populariti menerusi lagu Kucu Kuca, Lia Aziz, 19.

Meskipun pada awalnya teragak-agak membuat pengakuan, Lia atau nama sebenarnya, Nuraliah Farzana Abd Aziz akhirnya tidak mampu berselindung dirinya sedang berkawan dengan seorang jejaka.

"Nak kata 'single' tak juga. Nak kata, milik seseorang pun tak juga. Apa yang boleh dikatakan, status saya 'single but not available'.

"Ya, saya akui sedang berkawan dengan seorang jejaka. Kami kenal sebelum saya bergelar penyanyi lagi.

"Si dia merestui minat saya dalam bidang nyanyian," katanya kepada BH Online.

Diasak siapakah jejaka bertuah yang berjaya mencuri hatinya, anak jati Kuala Lumpur itu berkata, dia belum bersedia mendedahkan identiti sang jejaka.

"Biarlah ia menjadi kejutan. Apa yang boleh dikatakan, si dia lebih berusia daripada saya dan hubungan ini sudah diketahui keluarga.

"Bagi saya, jika mahu berkawan dengan seseorang, tak kisahlah lelaki atau perempuan, keluarga perlu tahu," ungkap Lia yang bakat nyanyiannya dicungkil menerusi Instagram (IG).

Diusik pertanyaan apakah tidak risau jika muncul orang ketiga cuba merebut cinta memandangkan statusnya sebagai selebriti, Lia yakin perkara itu tidak akan berlaku sekiranya mempertahankan kesetiaan.

"Saya tidak takut jika perkara ini terjadi. Ini kerana saya akan menjaga hati agar tidak diberikan kepada orang lain. Saya seorang yang setia," ujar Lia malu-malu.

Lia tak berkecil hati belum cukup dikenali, malah, mempertahankan prinsip tidak terjebak dalam kontroversi memualkan. - Foto Ihsan Rusa Music
Lia tak berkecil hati belum cukup dikenali, malah, mempertahankan prinsip tidak terjebak dalam kontroversi memualkan. - Foto Ihsan Rusa Music

Meskipun lagu Kucu Kuca meraih jumlah tontonan 13 juta di laman YouTube, namun, graduan jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) tidak malu mengatakan namanya belum dikenali ramai.

Pun begitu, Lia berkata, dia langsung tidak berkecil hati dan akan terus mempertahankan prinsip tidak terjebak dalam kontroversi memualkan semata-mata memburu populariti.

"Saya sedar nama saya tidak sepopular lagu nyanyian. Tetapi, tidak tak mengapa, saya lebih rela dikenali kerana bakat walaupun terpaksa mengambil masa agak lama untuk mencipta nama.

"Sebolehnya saya mahu menjaga tingkah laku dan tutur bicara dalam media sosial agar imej berhijab tidak tercalar disebabkan kontroversi," luahnya.

Walaupun baru tiga tahun berada dalam belantara seni, Lia cukup bertuah kerana dua single terpilih menjadi lagu runut bunyi drama bersiri.

"Untuk single ketiga, saya akan berduet dengan penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU). Dia lebih senior daripada saya.

"Namun, buat masa ini, siapakah gerangan dan judul lagu belum boleh dikongsi.

"Single baharu berentak balada ini akan dilancarkan pada April depan sempena bulan Ramadan. Ini kerana drama bersiri juga akan ditayangkan pada bulan yang sama," ujar Lia yang juga peserta program realiti, Big Stage musim ketiga.

Selain menyanyi, Lia juga berkecimpung dalam bidang lakonan dengan membintangi drama web, Rusa After Class yang ditayangkan menerusi saluran YouTube Rusa Music.

Single Kucu Kuca terpilih menghiasi drama rantaian, Rindu Awak Separuh Nyawa, manakala single Pergilah Derita hasil paduan suara dengan Asfan Shah melatari drama Cukup Derita Itu.

Berita Harian X