Khamis, 10 March 2022 | 3:00pm
Komik Budak Takraw yang diikuti 50,000 pembaca kini diangkat ke drama bersiri dengan menampilkan wajah-wajah baharu.
Komik Budak Takraw yang diikuti 50,000 pembaca kini diangkat ke drama bersiri dengan menampilkan wajah-wajah baharu.

Komik Budak Takraw diangkat ke drama bersiri

KUALA LUMPUR: Selepas 18 tahun menceburi dunia penerbitan, pelakon dan penerbit, Darling Ngasri buat kali pertama mencabar diri menghasilkan drama Budak Takraw adaptasi komik yang menggunakan judul sama.

Komik popular tulisan dan lakaran Mohd Anshari Mohd Rahizan atau Anshari terbitan Komik M mula diterbitkan sejak 2007.

Selaku penerbit penyelaras, Darling berkata, bukan mudah menghasilkan drama bergenre sukan yang diangkat dan diterjemah dalam konteks aksi langsung untuk drama bersiri 13 episod siaran TV Okey RTM itu.

Tambahan pula, katanya, ia perlu menampilkan pelakon muda sebagai watak penting. Begitu juga watak utama dilakonkan pemain kebangsaan dalam sukan sepak takraw, Redwan Hakim yang kali pertama terjun ke arena lakonan.

"Jika komik Anak Anak Sidek yang mengetengahkan adik-beradik pemain badminton terkenal. Ia juga sama dengan komik Budak Takraw yang digilai ramai hingga diulang cetak tiga kali dan dibaca 50,000 pembaca.

"Hingga kini, permintaannya masih tinggi. Itu juga antara sebab saya memilih komik ini untuk diangkat ke kaca televisyen untuk versi drama.

"Secara peribadi, saya puas hati melihat drama Budak Takraw yang boleh dianggap sebagai anjakan bagi drama tempatan. Kita tahu, bidang sukan juga mempunyai kelompok peminat.

"Jika di luar negara, drama bersiri seperti Cobra Kai adaptasi filem The Karate Kid mempunyai jumlah penonton yang tinggi ketika disiarkan di platform Netflix. Jadi, kita boleh tengok drama Budak Takraw penghujung tahun ini," katanya kepada BH Online.

Drama Budak Takraw arahan Wan Saiful Shahrizan mengambil masa penggambaran selama 36 hari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Penggambaran sudah berakhir pada 2 Februari lalu.

Darling berkata, sebanyak lima gelanggang sepak takraw digunakan menjadi latar pelbagai perlawanan diadakan.

"Menghasilkan drama Budak Takraw bukannya semudah disangka. Saya pernah menguruskan pasukan besar ketika menghasilkan drama beruniform Bomba, jadi, kali ini cabarannya pula berbeza.

"Saya sedar ramai penerbit takut menghasilkan drama bergenre sukan. Saya tahu ia sukar dan membabitkan kos yang tinggi. Kerja suntingan pula membabitkan banyak kamera.

"Babak setiap perlawanan mengambil masa dua hari dengan penambahan banyak kamera.

"Bajet pun boleh tahan tinggi kerana pelakon memerlukan 'double body' dan kos minuman kesihatan.

"Namun, saya berterima kasih kepada pengarah kerana pandai mengawal pasukan dan sudut kamera. Penulis skrip juga menghasilkan jalan cerita penuh aura positif, aksi dan berkesan di hati," katanya.

Darling bersama teraju utama drama Budak Takraw yang bakal disiarkan di TV Okey, RTM pada penghujung tahun ini.
Darling bersama teraju utama drama Budak Takraw yang bakal disiarkan di TV Okey, RTM pada penghujung tahun ini.

Darling atau nama sebenarnya, Nasreen Ngasri berkata, cabaran utama menghasilkan drama bergenre sukan adalah kepenatan yang maksimum.

"Ini dapat dilihat kepada barisan pelakon yang merangkap sebagai pemain takraw. Tambahan pula, kena buat pelbagai skil seperti rejam, gulung dan pelbagai lagi. Sampai muntah-muntah pelakon.

"Namun, pujian harus diberi kerana mereka tetap bersemangat meneruskannya dan kekal positif.

"Redwan yang kali pertama berlakon memberikan 100 peratus komitmen. Baru mereka tahu bagaimana penatnya menjadi pelakon. Bayangkan, pelakon 'double body' pun penat sekali.

"Barisan pelakon bertuah dibantu bekas pemain kebangsaan seperti Idham Maulana. Malah, beliau turut berlakon memegang watak sebagai Coach Azlan.

"Jadi, isu membabitkan teknikal berkaitan sukan sepak takraw terutama babak perlawanan tidak menjadi halangan," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan pelakon baharu, Darling optimis dan percaya, bakat muda perlu dibuka ruang untuk berkongsi kebolehan mereka.

"Ia bersesuaian dengan jalan cerita. Malah, pada sesi uji bakat bagi watak utama memerlukan mereka memenuhi syarat utama iaitu pandai bermain sepak takraw.

"Wajah baharu ini sesuai dengan cita rasa penonton, hari ini. Mereka ada tarikan tersendiri," katanya yang mula menerbit pada 2003.

Selain Redwan dan Idham Maulana, drama ini turut dilakonkan Firdaus Ghufron, Wan Zarul, Taufik Hanafi, Diana Rusli, Boy Ngasri dan ramai lagi.

Selain itu, Darling berkata, dia bakal menerbitkan filem 'psiko thriller' diarahkan Amor Rizan pada Mei depan yang diterajui pelakon, Janna Nick.

"Saya cukuplah berada dalam dunia di sebalik tabir dan bergelar penerbit. Tiada siapa nak tengok saya berlakon pun," katanya.

Berita Harian X