Rabu, 9 March 2022 | 3:00pm
Lagu Cinta ciptaan Stacy dan Akim dendangan Marsha meraih naib juara pada malam kemuncak AJL 36 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala
Lagu Cinta ciptaan Stacy dan Akim dendangan Marsha meraih naib juara pada malam kemuncak AJL 36 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala

7 kali bertanding baru merasa menang AJL

KUALA LUMPUR: Tujuh kali beraksi atas kapasiti penyanyi pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL), namun, nasib tidak pernah menyebelahi penyanyi Stacy Anam.

Namun, sebaliknya bertanding atas kapasiti komposer. Stacy menggunakan nama pena, Bunga Cantik bekerjasama dengan suaminya, Akim Ahmad (Hang Nadim) dengan mempertaruhkan lagu Cinta nyanyian Marsha Milan Londoh pada malam kemuncak AJL 36 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Ahad lalu.

Lagu Cinta yang dipersembahkan Marsha dijulang sebagai naib juara dan membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Selain trofi naib juara, lagu Cinta diumum pemenang kategori Persembahan Terbaik dengan hadiah trofi, wang tunai RM18,000 sumbangan penaja, NOIR Beauty Essence.

"Sejujurnya, saya terkejut dengan kemenangan ini. Tujuh kali saya masuk bertanding, namun, tida pernah naik pentas menerima trofi.

"Namun, siapa sangka, percaturan pertama saya dengan suami dan diberi justifikasi terbaik oleh Marsha memberikan nyawa kepada karya ini.

"Kemenangan ini bagai aturan cantik Allah, ia sangat tidak terduga," katanya kepada BH Online.

Stacy tidak tahan menahan sebak apabila lagu Cinta ciptaannya bersama Akim yang didendangkan oleh Marsha berjaya mencipta kejayaan. - NSTP/Aziah Azmee
Stacy tidak tahan menahan sebak apabila lagu Cinta ciptaannya bersama Akim yang didendangkan oleh Marsha berjaya mencipta kejayaan. - NSTP/Aziah Azmee

Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam yang baru muncul dengan single Duit berkata, pentas AJL bukan asing buatnya.

Bermula dengan lagu Aku Stacy pada 2009, Pakai Buang (2010), Jahat (2011), Pelangi Senja (2013), Gilalah (2015) dan Not For Sale (2016). Stacy juga sering dikenang dengan persembahan energetik setiap kali berjaya membolosi pentas akhir AJL.

Sementara itu, Akim menyifatkan persembahan Marsha sangat mengujakan.

"Saya seolah-olah melihat pertarungan tinju Mike Tyson dengan lawannya. Setiap tumbukannya seperti lantunan vokal Marsha.

"Marsha sangat profesional dan membuktikan bakatnya yang mungkin selama ini tidak dipandang. Bagai ada sesuatu yang harus diberi perhatian," katanya.

Berita Harian X