X
Selasa, 8 March 2022 | 3:00pm
Video nyanyian Syawal tular dalam laman Twitter dan TikTok sebelum dilamar syarikat rakaman, Xanadu Records. - Foto Syawal Iqbal
Video nyanyian Syawal tular dalam laman Twitter dan TikTok sebelum dilamar syarikat rakaman, Xanadu Records. - Foto Syawal Iqbal

Pemain golf bergelar penyanyi

KUALA LUMPUR: Antara sukan golf dan bidang nyanyian, ia berbeza bagaikan langit dengan bumi. Namun, ia tidak menghalang pemain golf remaja, Syawal Iqbal, 22, untuk melebarkan sayap dalam dunia nyanyian.

Selepas lebih 11 tahun menimba pengalaman dalam sukan golf dengan menyertai pelbagai pertandingan, kini Syawal mahu merealisasikan impiannya bergelar penyanyi.

"Sejujurnya, saya meminati bidang nyanyian sejak kecil dan pernah berhasrat menyertai program realiti kanak-kanak, Idola Kecil, namun bapa tidak mengizinkannya.

"Ini disebabkan saya belum mahir mengawal nyanyian. Bapa minta saya belajar vokal dahulu dan menamatkan persekolahan.

"Saya juga dibenarkan menyertai program realiti, Akademi Fantasia (AF), namun sayangnya AF sudah tiada apabila saya tamat persekolahan.

"Saya pendam sahaja impian dan hanya merakamkan lagu saduran, kemudian memuat naik dalam laman sosial," katanya kepada BH Online.

Namun, tanpa disangka videonya menyanyikan lagu Sumpah dendangan Naim Daniel yang dimuat naik dalam laman Twitter menjadi tular dan mendapat maklum balas positif.

"Awalnya, saya hanya muat naik video ini dalam status aplikasi WhatsApp. Bagaimanapun, ada rakan mencadangkan saya muat naik dalam Twitter.

"Jujurnya, saya tak letak apa-apa harapan, tetapi tidak sangka pula menjadi perhatian sehingga tular.

"Sejak itu, saya banyak muat naik lagu saduran dalam aplikasi TikTok. Daripada situlah, saya dilamar syarikat Xanadu Records untuk merakamkan single," katanya.

Selepas lebih 11 tahun menimba pengalaman dalam sukan golf dengan menyertai pelbagai pertandingan, kini Syawal mahu merealisasikan impiannya bergelar penyanyi. - Foto Syawal Iqbal
Selepas lebih 11 tahun menimba pengalaman dalam sukan golf dengan menyertai pelbagai pertandingan, kini Syawal mahu merealisasikan impiannya bergelar penyanyi. - Foto Syawal Iqbal

Penyanyi kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu berkata, lamaran Xanadu Records bagaikan bulan jatuh ke riba dan peluang yang ditunggu-tunggu selama ini.

"Peluang ini tidak datang selalu, jadi saya cuba memberanikan diri. Alhamdulillah, kini saya tampil dengan single pertama berjudul Insaf," katanya.

Single Insaf dimuat naik di semua platform digital sejak 3 Februari lalu.

Mengulas mengenai Insaf, pelajar tahun kedua jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata, tidak meletakkan harapan tinggi kerana menyedari masih hijau dalam dunia nyanyian.

Justeru, katanya, dia mohon diberikan masa untuk mendalami ilmu muzik.

"Setakat ini, saya menerima komen positif selepas single Insaf diperdengarkan. Ada yang mengatakan saya boleh pergi jauh. Namun, biar saya menapak secara perlahan-lahan.

"Saya bukan mahu bersaing dengan penyanyi sedia ada," katanya.

Mengulas sukan golf, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia sudah didedahkan dengan sukan berkenaan sejak kecil dan banyak menyertai pertandingan mewakili negeri.

Namun, katanya sukan golf hanya hobi, apatah lagi kini mahu fokus dalam mengetengahkan diri dalam bidang nyanyian.

"Golf adalah salah satu sukan keluarga yang disertai kerana saya dan keluarga memang aktif bermain golf.

"Saya juga aktif dalam sukan lain seperti lompat tinggi, futsal, bola tampar dan bola sepak ketika di sekolah.

"Buat masa ini, saya mahu fokus menyanyi kerana minat sejak kecil lagi.

"Saya mahu membuat persembahan di khalayak memandangkan belum ada pengalaman tampil di pentas besar," katanya.

Berita Harian X