Isnin, 7 March 2022 | 6:00pm
Kemesraan Ruhainies dan Fadlan dalam drama Sayang Tak Dikenang menjadi bualan ramai. - Foto IG Ruhainies
Kemesraan Ruhainies dan Fadlan dalam drama Sayang Tak Dikenang menjadi bualan ramai. - Foto IG Ruhainies

Aksi mesra hanya ikut skrip

KUALA LUMPUR: Biarpun sering dikaitkan gosip bersama hero gandingan, namun, pelakon Ruhainies hanya mengikut tuntutan watak dan skrip.

Sebelum ini, pelakon kecil molek itu pernah terima kecaman ekoran lakonan bersama pelakon, Zul Ariffin dikatakan terlalu intim. Kali ini, Ruhainies dikaitkan dengan aktor, Fadlan Hazim selepas bergandingan dalam drama bersiri, Sayang Tak Dikenang.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 29, dia adalah pelakon, jadi perlu mengikut kehendak skrip.

"Kalau skrip minta saya bermesra dengan pelakon, saya ikut. Dan, saya juga akan meminta pandangan pengarah.

"Setakat ini, tiada pula kelakuan saya melampaui batas. Semuanya biasa sahaja.

"Kalau diminta berlakon sebagai isteri, saya buat seperti watak isteri, sama juga watak kekasih," katanya kepada BH Online.

Tambah Ruhainies, begitu juga pembawaan wataknya sebagai isteri kepada Fadlan menerusi drama Sayang Tak Dikenang.

"Jangan risau, kemesraan saya dengan Fadlan hanya dalam drama. Tak boleh lawan kemesraan Fadlan bersama Ezzanie yang juga pelakon utama dalam drama ini.

"Jujurnya, saya hormat Ezzanie kerana dapat menjayakan wataknya dengan baik. Jika saya diberikan karakter wanita 'gersang', saya tidak boleh bawa dan akan banyak ketawa," katanya.

Ruhainies membawa watak isteri Fadlan dalam dalam drama bersiri, Sayang Tak Dikenang. - Foto IG Ruhainies
Ruhainies membawa watak isteri Fadlan dalam dalam drama bersiri, Sayang Tak Dikenang. - Foto IG Ruhainies

Ruhainies mengulas isu mesra dengan hero gandingan dalam sidang media drama Sayang Tak Dikenang yang menampilkan Fadlan sebagai watak utama.

Drama adaptasi novel karya Wazrul Shah ini diarahkan oleh Feroz Kadir. Ia mula bersiaran menerusi slot Akasia di TV3 sejak 4 Mac lalu.

Selain Ruhainies dan Fadhlan, drama ini turut menampilkan bakat baharu, Ezzanie Jasny sebagai pelakon utama.

Sementara itu, ditanya watak yang ingin dibawa bagi memaparkan sisi lakonannya berbeza, Ruhainies berkata, dia inginkan watak lebih lasak.

"Saya teringin nak bawa watak ganas. Sebelum ini, saya ada menjayakan watak dipukul dan saya suka menerima watak seseorang didera suami.

"Bagi saya, ia sangat mencabar dan satu lagi membabitkan watak aksi. Ada kala, orang selalu 'stereotaip' untuk menjayakan watak aksi. Mesti perempuan gagah perkasa dan tinggi.

"Walaupun kecil, saya juga boleh membawakan watak aksi. Ia adalah satu kelainan.

"Saya rasa menarik sekiranya saya membawakan watak lebih lasak. Muka baik, tetapi lasak," katanya.

Berita Harian X