Ahad, 6 March 2022 | 10:20pm
Syamel risau aksi ‘pose’ persis Madonna ketika mendendangkan lagu Boneka di pentas AJL36 malam tadi, dikecam peminat. Foto NSTP Aziah Azmee
Syamel risau aksi ‘pose’ persis Madonna ketika mendendangkan lagu Boneka di pentas AJL36 malam tadi, dikecam peminat. Foto NSTP Aziah Azmee

Syamel ganti Ernie nyanyi Boneka

KUALA LUMPUR: Tanda-tanya siapa menggantikan Ernie Zakri mendendangkan lagu Boneka pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam tadi terjawab apabila suaminya, Syamel tampil di pentas.

Mengulas aksinya itu, Syamel atau nama sebenar, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, berkata Ernie yang sedang berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka, membuat permintaan agar menggantikannya di pentas AJL36.

"Apabila Ernie minta menggantikannya, saya tanya apakah keputusannya itu sudah mendapat persetujuan pihak pengurusan.

Syamel penuhi permintaan Ernie agar menggantikannya mempersembahkan lagu Boneka di pentas AJL36, malam tadi. Foto NSTP Aziah Azmee
Syamel penuhi permintaan Ernie agar menggantikannya mempersembahkan lagu Boneka di pentas AJL36, malam tadi. Foto NSTP Aziah Azmee

"Namun, jawapan diberi Ernie adalah apabila dia pilih saya sebagai penyanyi gantian, ia memudahkan kerjanya untuk memantau latihan dan persiapan lain," katanya kepada BH Online.

Syamel mengaku terkejut ramai menawarkan diri mendendangkan lagu Boneka termasuk penyanyi nama besar.

"Ramai yang tawar diri. Apabila melihat senarai nama diberi, saya terkejut. Segan pula apabila ada nama-nama besar yang menunjukkan minat menyanyikan lagu itu," katanya.

Biarpun teruja beraksi, jauh di sudut hati Syamel timbul rasa bimbang jika ada pihak tidak suka dengan persembahannya,

"Risau jika ada yang tidak suka atau cuba buat perbandingan. Paling membimbangkan adalah apabila memikirkan konsep persembahan diketengahkan.

"Buat julung kali, saya kena buat aksi 'pose' macam dalam video muzik lagu Vogue oleh Madonna. Saya takut kena kecam," kata penyanyi lagu Kau Pun Sama ini.

Januari lalu, Ernie yang sedang sarat hamil anak sulung, mengesahkan tidak beraksi mendendangkan lagu Boneka pada AJL36.

Sehubungan itu, penyanyi bervokal mantap itu mencari penyanyi gantian yang dapat memberi justifikasi kepada karya ciptaan Omar K, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh itu.

Ernie sedang berpantang selepas melahirkan bayi perempuan diberi nama Nur Khawla Solehah hasil perkongsian hidup dengan Syamel pada 22 Februari lalu.

Berita Harian X