Ahad, 6 March 2022 | 10:43am
Ayda bersama puteri sulungnya, Ana Nayla yang dilahirkan, September lalu. Foto IG Ayda Jebat
Ayda bersama puteri sulungnya, Ana Nayla yang dilahirkan, September lalu. Foto IG Ayda Jebat

Ayda Jebat buka tirai AJL36

KUALA LUMPUR: Lebih enam bulan berehat kerana melahirkan anak sulung, Ayda Jebat bakal membuat kemunculan di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.

Meluahkan rasa teruja dipilih menjadi sebahagian artis yang memeriahkan acara anugerah anjuran TV3 itu, Ayda atau nama sebenar, Nur Suhada Jebat berharap persembahannya dapat mengubat rindu peminat yang sekian lama menantikan kemunculannya.

"Terima kasih kepada penganjur kerana mengundang saya menjayakan segmen pembukaan pada malam kemuncak AJL36.

"Sejujurnya, tidak sangka saya terpilih. Saya tanya apa lagu yang mereka mahu saya nyanyikan.

Ayda bakal mengubat rindu peminat apabila membuka tirai malam kemuncak AJL36 yang disiarkan TV3 secara langsung dari WTCKL, malam ini. Foto IG Ayda Jebat
Ayda bakal mengubat rindu peminat apabila membuka tirai malam kemuncak AJL36 yang disiarkan TV3 secara langsung dari WTCKL, malam ini. Foto IG Ayda Jebat

"Mereka beritahu mahukan lagu Pencuri Hati dan pemilihan lagu itu atas permintaan Pengarah Muzik AJL36, Datuk Ramli MS yang sukakannya," katanya kepada BH Online.

Enggan berjanji bulan dan bintang, penyanyi bermata bundar ini bagaimanapun cuba memberi yang terbaik mengikut kemampuan diri.

"Biarpun teruja tetapi saya enggan berjanji lebih. Cukup sekadar persembahan itu dapat membuat peminat terhibur serta menjadi penawar kerinduan mereka.

"Lagipun, tempoh latihan tidak banyak. Saya hanya sempat berlatih tiga hari sahaja. Selain itu, saya takut hendak keluar rumah dengan keadaan kes jangkitan COVID-19 yang cukup tinggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, isteri kepada pengacara dan pelakon, Nabil Mahir ini mengaku sedang menunggu masa sesuai untuk melancarkan single baharu.

"Saya ada banyak lagu yang sudah dirakamkan. Cuma masih menanti masa yang sesuai. Seperti yang dinyatakan, dalam keadaan sekarang, saya cukup takut jumpa orang,

"Hendak buat majlis atau rakam video muzik, semuanya memerlukan saya bertemu ramai orang. Tidak seronok kalau nak buat secara maya.

"Untuk single akan datang, semua genre ada iaitu rancak dan balada," katanya yang membahasakan dirinya adik.

September lalu, Ayda selamat melahirkan zuriat sulung diberi nama Ana Nayla secara pembedahan.

Aya dan Nabil diijabkabulkan pada 1 Januari 2021 selepas sembilan bulan bertunang.

Berita Harian X