Sabtu, 5 March 2022 | 5:00pm
Shiha baru pulih daripada jangkitan COVID-19 minggu lalu dan mula memberi tumpuan kepada latihan untuk persembahan malam kemuncak AJL36, esok. Foto IG Shiha Zikir
Shiha baru pulih daripada jangkitan COVID-19 minggu lalu dan mula memberi tumpuan kepada latihan untuk persembahan malam kemuncak AJL36, esok. Foto IG Shiha Zikir

Shiha tak mahu fikir sangat AJL36

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir enggan terlalu memikirkan mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang bakal disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam esok, bagi mengelak tekanan.

Shiha yang mempersembahkan lagu AEWO bersama Noki K-Clique, bagaimanapun mengaku gementar, apatah lagi, ini kali pertama dia beraksi di pentas berprestij itu dengan lagu sendiri.

Penyanyi kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu bimbang tidak cukup persiapan kerana baru sembuh daripada jangkitan COVID-19 hingga menjejaskan jadual latihan.

"Sebenarnya, agak gementar memikirkan AJL36 bakal tiba. Baru-baru ini, saya disahkan positif COVID-19. Jadi, saya tidak berkesempatan membuat latihan di rumah.

"Lagu AEWO membabitkan banyak gerak dan langkah tari. Jadi latihan perlu dilakukan di studio. Agak mustahil untuk dibuat di rumah.

"Jadi, saya terpaksa menunggu sehingga tempoh kuarantin tamat barulah dapat pergi ke studio untuk memulakan latihan.

"Alhamdulillah, minggu lalu, kuarantin tamat. Banyak persiapan yang perlu dibuat terutama susunan muzik. Prosesnya bukan mudah, kami mahu beri susunan muzik terbaik untuk versi AJL36," katanya.

Bagi mengelak tekanan, Shiha enggan terlalu memikirkan soal persembahan pada AJL36, esok. Foto IG Shiha Zikir
Bagi mengelak tekanan, Shiha enggan terlalu memikirkan soal persembahan pada AJL36, esok. Foto IG Shiha Zikir

Selain itu, Shiha berkata, busana dan prop turut diambil kira bagi memastikan persembahan disajikan terbaik dan mampu bersaing dengan 11 finalis lain.

"Kalau boleh, saya tidak mahu terlalu banyak berfikir. Saya hanya mahu naik ke pentas dan buat persembahan sebaik mungkin. Saya tidak mahu menambahkan tekanan kepada diri sendiri," katanya.

Single AEWO dicipta Ezra Kong dengan lirik dihasilkan Ezra bersama Noki. Single ini pernah meraih trofi Pop Asia Terbaik pada Inter Continental Music Awards (ICMA) 2021 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Julai lalu.

Tahun lalu, Shiha muncul di pentas AJL35 menggantikan tempat Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi mendendangkan lagu 7 Nasihat bersama Kmy Kmo dan Lucka Sickta.

Sebelum ini lagu dendangan Shiha berjudul Jagakan Dia pernah mara ke Semi Final Muzik Muzik (SFMM) Ke-33. Namun, gagal menempah tiket ke final.

AJL36 bakal dihoskan Nabila Huda dan Alif Satar, manakala Sissy Imann serta Sean Lee mengendalikan segmen permaidani merah.

Berita Harian X