Khamis, 3 March 2022 | 7:10pm
Josiah bersama isteri dan empat cahaya matanya. - Foto IG Josiah Hogan
Josiah bersama isteri dan empat cahaya matanya. - Foto IG Josiah Hogan

Josiah elak anak jadi mangsa pedofilia

KUALA LUMPUR: Populariti bukan lagi keutamaan dan perkara yang dikejar, sebaliknya pelakon berpengalaman, Josiah Hogan, 35, lebih mementingkan nilai bayaran sejak 12 tahun bergelar anak seni.

Nyata, pelakon kelahiran Kingsville, Texas, Amerika Syarikat itu tidak kisah sekiranya wajahnya jarang menghiasi slot perdana di kaca televisyen (TV), asalkan tawaran kerja tidak pernah putus.

Ditemui pada majlis tayangan filem The Dissaperance of Irdina Adhwa arahan Kyle A Halim, Josiah berkata, ramai pelakon baharu tumbuh bak cendawan selepas hujan, namun, dirinya bersyukur kerjaya lakonannya belum terjejas.

Malah, Josiah atau nama sebenarnya, Josiah Padilla Hogan berbesar hati apabila masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah hingga saat ini.

Namun, Josiah tidak menafikan, wajahnya lebih banyak muncul dalam drama terbitan RTM hingga disangka lagi tidak aktif dalam dunia lakonan.

"Selepas 12 tahun membina nama sebagai pelakon, saya kini lebih mengutamakan produksi yang menawarkan upah lebih tinggi. Biarlah wajah tidak kelihatan di stesen TV, asalkan masih ada penerbit sudi mengambil saya berlakon.

"Ada masanya saya terkejut kerana bayaran diberi memuaskan. Jika diukur jumlah pengikut dalam laman sosial dan populariti, siapalah saya.

"Alhamdulillah, masih ada penerbit yang masih mempercayai bakat saya. Biasanya, jika dua tawaran datang serentak, antara watak sampingan dan utama, tentunya saya akan memilih watak utama kerana bayarannya lebih tinggi.

"Apa yang membuatkan saya terkejut, harga ditawarkan lebih tinggi daripada apa yang diminta," katanya kepada BH Online.

Josiah atau nama Islamnya, Mohamad Musleh berkata, dia bersyukur tidak terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.

Josiah lebih mementingkan nilai bayaran berbanding kejar populariti. - Foto IG Josiah Hogan
Josiah lebih mementingkan nilai bayaran berbanding kejar populariti. - Foto IG Josiah Hogan

Barangkali, kata pelakon berdarah Mexico itu, nasibnya agak baik baru selesai menjalani penggambaran ketika pelaksanaan PKP dan PPN.

Malah, katanya, lebih membuatkannya tambah bersyukur masih banyak tawaran watak utama.

"Alhamdulillah, selalunya saya selesai menjalani penggambaran setiap kali PKP dan PPN. Jadi, dapatlah saya menampung keperluan saya dan keluarga.

"Saya beruntung menjadi antara penggiat seni yang terselamat. Namun, saya tetap bersimpati dengan kru produksi yang terjejas.

"Saya akui, ada yang menghubungi saya meminta bantuan. Jika ada lebih, saya akan berkongsi apa yang termampu. Namun, jangka masa cukup menakutkan sehingga ada ketikanya, saya merasakan seolah-olah baru hendak merangkak semula dalam dunia seni," katanya.

Menyentuh kehidupan peribadi, Josiah yang memiliki satu cahaya mata lelaki dan tiga perempuan yang berusia antara 2 hingga 16 tahun mendedahkannya, tidak suka terlalu berkongsi foto anak-anaknya dalam laman Instagram.

Katanya, dia berbuat demikian bagi menjaga keselamatan anak-anak, lebih lagi, tiga cahaya matanya perempuan. Justeru, ia bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa pedofilia.

"Saya jarang berkongsi gambar anak-anak dalam media sosial. Ini kerana saya tidak mahu gambar mereka diambil oleh pedofilia dan diletakkan pada laman web yang tidak sepatutnya seperti dihadapi seorang rakan artis, tidak lama dulu.

"Saya akui memang takut dan sangat berhati-hati dalam perkara ini. Sebab itu, saya hanya memuat naik gambar mereka sekali sekala sahaja," katanya.

Mengulas lakonannya menerusi filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa terbitan Kotaki Studios Sdn Bhd, Josiah berkata, dia menawarkan diri untuk melakukan aksi lagak ngeri, memandangkan tidak terlalu ekstrim.

Lagipun, ujar Josiah, pengalaman membintangi filem KL Vampire dan Wira banyak membantu menjayakan watak dalam filem bergenre seram thriller itu.

Josiah bersama pengarah, Kyle ketika di loksi penggambaran filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa.
Josiah bersama pengarah, Kyle ketika di loksi penggambaran filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa.

Katanya, dia menggunakan pengalaman dua filem terdahulu untuk filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa yang bakal ditayangkan di Astro First pada 24 Februari ini.

"Saya minta kebenaran pengarah melakukan babak aksi lagak ngeri kerana saya tidak mahu penonton nampak perbezaan pada susuk tubuh sekiranya saya menggunakan khidmat pelakon pengganti untuk babak bertopeng dan tidak bertopeng.

"Sebenarnya, babak aksi dalam filem ini tidaklah terlalu berat. Saya aplikasi cara melompat dan jatuh yang dipelajari dalam dalam filem ini.

"Jadi, sebenarnya tidaklah sukar membawa watak pembunuh ini.

"Babak paling sukar sudah tentu membabitkan adegan memanah. Saya tidak mahu penonton melihat kekurangan saya ketika memanah. Jadi, saya dan Alicia Amin dihantar mengikuti kelas memanah selama lapan hari di Wangsa Maju," katanya.

Selain Josiah dan Alicia, filem pertama arahan dan terbitan pengarah muda dari Sabah itu turut dibintangi Syazuwan Hassan, Bulan Terry, Nafiz Muaz, Melanie Tan, Nelissa Nizam, Hasmira Azmi dan Abbas Mahmoud.

Josiah mula mencipta nama apabila membintangi drama biopik Natrah pada 2010. Membintangi drama popular seperti Cinta Jangan Pergi, Kata Hati, Mimpi Sabrina, Adellea Sofea dan banyak lagi.

Pada 2016, Josiah pernah mendedahkan impiannya melebarkan sayap lakonan ke Amerika Syarikat tidak menjadi kenyataan apabila ditipu sebuah syarikat penerbitan Hollywood.

Berita Harian X