Khamis, 3 March 2022 | 3:00pm
Aina lebih bersemangat menghasilkan lebih banyak lagu Inggeris selepas melihat kejayaan lagu Fool yang diputarkan di corong radio di Jepun. - Foto IG Aina Abdul
Aina lebih bersemangat menghasilkan lebih banyak lagu Inggeris selepas melihat kejayaan lagu Fool yang diputarkan di corong radio di Jepun. - Foto IG Aina Abdul

Lagu Fool tembusi corong radio Jepun

KUALA LUMPUR: Kejayaan lagu berbahasa Inggeris, Fool dendangan penyanyi bervokal hebat, Aina Abdul, 28, berjaya menembusi corong radio di Jepun, baru-baru ini.

Ia sekali gus menguatkan semangat penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu menghasilkan karya yang dapat menembusi pasaran global.

Aina berkata, dia hanya mengetahui lagu Fool dimainkan di corong radio di negara Matahari Terbit itu menerusi peminat.

Tidak menafikan terkejut, Aina juga terharu dengan berita gembira yang dikongsi peminatnya itu.

"Saya memang tidak tahu lagu Fool diputarkan di corong radio di Jepun. Sebaliknya, diberitahu peminat kerana mereka selalu menggunakan media sosial.

"Selepas diselidik, ada seorang hamba Allah berkongsi menerusi laman Twitter mengenai perkara ini.

"Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana lagu Fool boleh diputarkan di sana, namun, apa pun saya tetap bersyukur.

"Walaupun sekali imbas sahaja lagu Fool dimainkan, hanya dalam tempoh lebih tiga minit, itu pun sudah memadai. Saya tentunya bersyukur memperoleh peluang tidak disangka-sangka," katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Sembah dan Sepi itu berkata, ini adalah satu daripada impian mengetengahkan karya ke peringkat global.

"Ada sedikit kejayaan diperoleh, walaupun hanya pencapaian kecil. Saya terharu dengan rezeki yang tidak nampak, namun, sentiasa dikurniakan Allah.

"Apapun, saya tidak akan berhenti berdoa. Saya sentiasa berharap ada peminat yang akan membuat permintaan agar lagu Fool diputarkan lagi di mana-mana corong radio," katanya.

Aina meletakkan harapan tinggi apabila berjaya membolosi pentas AJL 36 menerusi dua lagu, Sepi dan Nafas Cinta berduet bersama Khai. - Foto IG Muzik Muzik
Aina meletakkan harapan tinggi apabila berjaya membolosi pentas AJL 36 menerusi dua lagu, Sepi dan Nafas Cinta berduet bersama Khai. - Foto IG Muzik Muzik

Katanya, pengiktirafan kecil diterima sedikit sebanyak membakar semangat menghasilkan lebih banyak lagu Inggeris pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu terburu-buru menghasilkan terlalu banyak lagu Inggeris, sebaliknya lebih gemar mengatur langkah demi langkah.

"Saya melihat lagu Fool dimainkan di corong radio di luar negara, saya lebih bersemangat menghasilkan lebih banyak lagu Inggeris. Namun, bukanlah bermaksud saya terburu-buru menghasilkan banyak lagu dalam masa terdekat.

"Saya juga perlu fokus kepada lagu lain seperti lagu ketuhanan untuk Ramadan, diikuti lagu Aidilfitri.

"Saya mempunyai perancangan menghasilkan lagu berentak balada. Selepas itu, barulah saya akan memberikan tumpuan kepada lagu Inggeris.

"Jika boleh, saya mahu peminat mengenali Aina Abdul bukan sebagai penyanyi lagu Melayu sahaja, tetapi diingati sebagai penyanyi bahasa lain, termasuk Inggeris," katanya.

Mengulas persaingannya dalam Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL 36) yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Ahad ini, Aina mengakui, dia meletakkan harapan tinggi apabila berjaya membolosi pentas AJL 36 menerusi dua lagu, Sepi dan Nafas Cinta berduet bersama Khai Bahar.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani berkata, dia bukan membawa harapan seorang diri, tetapi seluruh pasukan yang bertungkus-lumus memberikan hasil kerja yang terbaik pada malam kemuncak.

"Harapan saya tentu tinggi dan besar. Ia bukannya impian saya seorang, tetapi seluruh pasukan yang bekerja keras memikirkan keseluruhan konsep persembahan.

"Pasukan bertungkus-lumus merealisasikan impian saya dalam setiap projek. Saya sentiasa mempunyai impian besar dan inginkan yang terbaik. Jadi, sudah tentu saya berharap penat lelah berbaloi.

"Pada masa sama, saya ingin menyanyikan dengan sehabis baik dengan sempurna. Saya berharap, penonton AJL 36 dapat menyelami perasaan saya menerusi lagu Sepi dan Nafas Cinta.

"Jadi, paling penting, doakan kesihatan saya berada dalam tahap baik," katanya.

Berita Harian X