Rabu, 2 March 2022 | 3:00pm
Aisha tidak kisah mendaki perlahan demi perlahan kerana percaya akan tiba masa bakat diterima. - Foto IG Aisha Retno
Aisha tidak kisah mendaki perlahan demi perlahan kerana percaya akan tiba masa bakat diterima. - Foto IG Aisha Retno

Bintang Aisha makin menyinar

KUALA LUMPUR: Selama empat tahun kewujudan penyanyi Aisha Retno, 22, bagaikan ada dalam tiada. Bakat besarnya dalam persada seni suara boleh diumpamakan 'lambat panas'.

Bukan tiada rupa dan suara, namun, tuah seolah-olah masih belum berpihak kepadanya.

Pernah muncul dengan single pertama berjudul Mengikat Jiwa pada 2018 dan single duet, Terima Kasih bersama Yuka Kharisma, namun, ia belum mampu memahat kukuh namanya dalam industri muzik.

Hanya selepas menjuarai program realiti, Vokal Mania pada 2020, Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam perlahan-lahan mampu menonjolkan bakat.

Tidak sesekali berhenti berharap, anak bongsu kepada penyanyi veteran Indonesia, Jean Retno Aryani itu terus menyandar harapan agar 'bintang' menerangi hidupnya.

Secara jujurnya, Aisha mengakui, kemenangan dalam pertandingan belum mampu meninggalkan impak dalam kerjaya seni.

"Sifat putus asa tidak akan membawa kepada matlamat kejayaan. Saya tidak kisah mendaki perlahan demi perlahan kerana percaya akan tiba masa bakat diterima.

"Liku perjalanan perkara biasa dalam kehidupan. Saya akan terus melangkah demi mengejar impian.

"Istilah putus asa memang tidak pernah terbit dalam diri. Dunia nyanyian dan penciptaan lagu adalah minat saya.

"Ini kerana saya sudah mula menyanyi dan menyertai pelbagai pertandingan sejak berusia lima tahun. Jadi, dunia muzik sudah sebati dalam diri walaupun sesukar mana laluan untuk menempa nama," katanya kepada BH Online.

Aisha tidak putus asa mengejar impiannya bergelar penyanyi disukai ramai. - Foto IG Aisha Retno
Aisha tidak putus asa mengejar impiannya bergelar penyanyi disukai ramai. - Foto IG Aisha Retno

Gadis kacukan Melayu-Indonesia itu berkata, dia pernah gagal berkali-kali, namun, tidak pernah mengalah.

"Gagal berkali-kali bukan bermakna saya tiada ruang untuk maju ke hadapan. Saya percaya jika tidak berputus asa dan sentiasa konsisten, pasti ada jalan.

"Saya sentiasa cari ruang memperbaiki kelemahan dan tidak boleh selesa dengan apa dimiliki," katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu bersyukur, lagu Inggeris berjudul W.H.U.T meledak dalam aplikasi TikTok, selain meraih penstriman lebih tujuh juta di Spotify, baru-baru ini.

"Saya tidak terfikir lagu W.H.U.T meraih sokongan hebat. Saya menghasilkan lagu ini hanya suka-suka pada tahun lalu.

"Saya memperdengarkan kepada pengikut dalam TikTok. Tak sangka, lagu ini 'trending' dan mendapat lebih satu juta tontonan dalam tempoh lima hari.

"Kemudiannya, syarikat rakaman, Sony Music memutuskan melancarkannya secara rasmi pada penghujung, tahun lalu. Saya sekali lagi terkejut apabila sokongan peminat di Malaysia dan Indonesia.

"Paling menggembirakan, lagu W.H.U.T buat kali pertama memasuki Carta RIM dan mendapat penstriman tertinggi dan tersenarai dalam Carta Top 50 Playlist Spotify di Indonesia," katanya.

Selain itu, keampuhan bakat, vokal dan pakej dimiliki semakin mendapat perhatian apabila menyertai program realiti, Big Stage 2020.

Minggu lalu, persembahan Aisha menerusi lagu Kesetiaan dendangan asal Allahyarham Siti Sarah Raissuddin mengundang sebak dan membuai emosi termasuk jurinya, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ajai.

Graduan tahun akhir Ijazah Sarjana Ekonomi, Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia sempat terserempak dengan Siti Nurhaliza dalam satu pertemuan singkat.

"Dalam kesibukan, Siti Nurhaliza sempat mengucapkan tahniah. Malah, beliau memberi semangat untuk saya terus menunjukkan prestasi terbaik.

"Secara jujur, saya terharu apabila penyanyi legenda sangat menghargai bakat muda," katanya.

Berita Harian X