Selasa, 1 March 2022 | 11:00am
Md Nasir menjelaskan FINAS akan menyertai tiga acara pasaran filem tahun ini iaitu Marche Du Film di Festival Filem Cannes, Perancis dan American Film Market disusuli European Film Market pada Februari 2023. Foto Ihsan FINAS
Md Nasir menjelaskan FINAS akan menyertai tiga acara pasaran filem tahun ini iaitu Marche Du Film di Festival Filem Cannes, Perancis dan American Film Market disusuli European Film Market pada Februari 2023. Foto Ihsan FINAS

Lebih RM10 juta kandungan dijual

KUALA LUMPUR: Usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memasarkan kandungan termasuk filem tempatan ke luar negara sejak tahun lalu kembali rancak selepas pandemik COVID-19 melanda dunia pada 2020.

Penyertaan FINAS dalam pasaran kandungan kreatif atas talian ternyata membuahkan hasil apabila nilai jualan produk tempatan mencecah RM10.93 juta berdasarkan data agensi itu.

Angka itu diperoleh melalui penyertaan dalam lima pasaran antarabangsa membabitkan 74 syarikat pembekal kandungan, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata pandemik COVID-19 pada 2020 menyebabkan kebanyakan pasaran kandungan kreatif antarabangsa utama tertangguh atau tertunda.

"Bagi syarikat tempatan, faktor risiko dan kerisauan mereka terhadap penularan virus COVID-19 menyebabkan tiada penyertaan dalam pasaran kandungan kreatif antarabangsa.

"Kita memang tidak sertai atau menghantar sebarang kandungan atau filem untuk pasaran antarabangsa pada 2020. Kita bimbang dengan penularan COVID-19 yang memuncak ketika itu.

"Sehubungan itu, tiada sebarang jualan kandungan kreatif dibuat pada 2020," katanya kepada BH Online.

Md Nasir berkata, pada tahun lalu, FINAS berhubung dengan beberapa penganjur pasaran kandungan kreatif utama yang mula mengambil inisiatif melaksanakan acara sama atas talian.

"Ternyata usaha itu berhasil apabila kita berjaya meraih jualan RM10.93 juta berbanding tiada langsung jualan pada 2020.

"Walaupun jumlah itu tidak mencapai sasaran FINAS, namun, dalam keadaan pandemik COVID-19, kita akur.

"Namun, kita akan memperbanyakkan lagi usaha menjual filem di peringkat antarabangsa.

Upin & Ipin antara karakter animasi ciptaan anak tempatan yang menarik perhatian pasaran kandungan antarabangsa. Foto IG Upin & Ipin Official
Upin & Ipin antara karakter animasi ciptaan anak tempatan yang menarik perhatian pasaran kandungan antarabangsa. Foto IG Upin & Ipin Official

"FINAS akan kenal pasti penerbit yang ada trek rekod baik dan mempelawa mereka menyertai pasukan FINAS ke pasaran filem yang bakal kami sertai," katanya.

Bagi tahun ini dan 2023, FINAS akan menyertai tiga acara pasaran filem iaitu Marche Du Film di Festival Filem Cannes, Perancis pada 17 Mei hingga 25 Mei depan, American Film Market (mulai 1 November depan) dan European Film Market pada Februari 2023.

Md Nasir berkata, FINAS akan bergabung dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Iskandar Malaysia Studio (IMS) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk berkongsi pavilion atau ruang pameran Malaysia dalam tiga acara pasaran filem terbabit.

"Ketiga-tiga agensi sudah bersetuju bergabung dengan FINAS supaya Paviilion Malaysia lebih menonjol dan besar. Persiapan rapi untuk menyertai pasaran filem di luar negara akan dilakukan seperti penyediaan 'footage' video berkaitan filem kita dan lokasi menarik untuk penggambaran.

"Malah, budaya kita juga akan diperkenalkan bagi menarik penerbit filem luar negara untuk datang ke Malaysia," katanya.

Md Nasir berkata, FINAS juga akan memberi rebat 35 peratus melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) untuk menggalak kemasukan produksi antarabangsa ke Malaysia.

"Setakat ini, rebat kita adalah yang tertinggi berbanding negara lain sebanyak 30 peratus. Ini sebagai daya tarikan kita untuk penerbit luar datang ke Malaysia.

"Selain itu, penerbit tempatan yang menyertai FINAS ke acara pasaran filem itu akan diberi pendedahan bagaimana hendak menarik penerbit luar bekerjasama dengan mereka.

"Pegawai FINAS juga diwajibkan turut-serta dalam perbincangan antara penerbit tempatan dan syarikat antarabangsa bagi memberi keyakinan kepada penerbit luar," katanya.

Md Nasir berkata, FINAS turut bekerjasama dengan Kementerian Luar melalui kedutaan Malaysia di luar negara bagi mempromosi dan memasarkan filem serta kandungan kreatif Malaysia.

"Setiap tahun, kebanyakan pejabat kedutaan Malaysia sering mengadakan program dan siri tayangan filem tempatan di luar negara.

"Hasil daripada program itu mewujudkan kesedaran dan peluang jualan bagi produk kandung kreatif tempatan.

"Selain itu, FINAS turut bekerjasama dengan Pelancongan Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mempromosi serta memasarkan filem dan kandungan kreatif.

"Pejabat Pelancongan Malaysia kerap mengadakan program atau siri tayangan filem Malaysia di negara asing sebagai tarikan kepada aktiviti pelancongan," katanya.

Md Nasir berkata, selain penyertaan dalam bentuk jualan dan tayangan, FINAS menghantar filem dan kandungan kreatif Malaysia bagi penyertaan di festival filem antarabangsa seperti Anugerah Akademi, Anugerah Golden Globe dan sebagainya dalam usaha mempromosi serta memperkenalkan produk kandungan kreatif Malaysia.

Penyertaan FINAS ke pasaran kandungan kreatif antarabangsa bermula sejak 2000 dengan menyertai pasaran utama

seperti International Market of Communications Programmes (MIPCOM) di Cannes, Perancis, American Film Market

(AFM) di Los Angeles, USA, Asia TV Film Market & Forum (ATF) di Singapura secara tahunan.

Penyertaan FINAS sebagai penyediaan fasiliti atau Pavilion Malaysia disertai bersama 10 syarikat produksi Malaysia bagi memasarkan produk kandungan kreatif mereka ke pasaran kandungan antarabangsa.

Penyertaan FINAS bersama syarikat produksi Malaysia adalah bersifat fizikal di mana aktiviti promosi dan pemasaran

dilaksanakan di Pavilion Malaysia, aktiviti B2B (syarikat Malaysia dengan syarikat antarabangsa), tayangan produk kreatif, acara resepsi bersama syarikat antarabangsa dan lain-lain.

Berita Harian X