Ahad, 27 Februari 2022 | 6:00pm
Tia memaklumkannya dan isteri kini sedang menjalani kuarantin kendiri, jadi segala urusan perniagaan agak terbatas. - Foto IG Tia Jinbara
Tia memaklumkannya dan isteri kini sedang menjalani kuarantin kendiri, jadi segala urusan perniagaan agak terbatas. - Foto IG Tia Jinbara

Tia, Suzan positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia mengesahkannya dan isteri, Suzan Ahmad positif COVID-19 selepas melakukan ujian menerusi kaedah Rapid Test Kit (RTK) menunjukkan keputusan positif, semalam.

Berkongsi berita duka menerusi Instagram (IG), Tia atau nama sebenarnya, Shamsul Bakhtiar Zakaria, 51 menyifatkan musibah yang diterima sebagai satu ujian buatnya.

"Assalamualaikum. Allah beri sedikit ujian buat kami. Tetapi, saya bersyukur isteri tidak mengalami gejala serius.

"Cuma, saya sahaja mengalami demam dan batuk disebabkan asma. Anak-anak semua negatif. Syukur kepada Allah," tulisnya.

Finalis program realiti, Gegar Vaganza musim keempat itu memaklumkan, dia dan Suzan kini sedang menjalani kuarantin kendiri, jadi, segala urusan perniagaan agak terbatas.

Tia memuat naik keputusan ujian RTK yang menunjukkannya dan isteri positif COVID-19. - Foto IG Tia Jinbara
Tia memuat naik keputusan ujian RTK yang menunjukkannya dan isteri positif COVID-19. - Foto IG Tia Jinbara

Namun, katanya, pelanggan tidak perlu gusar kerana urusan penghantaran barang yang ditempah awal tetap dilaksanakan.

"Kami sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah dan tidak boleh bergerak ke mana-mana.

"Jadi, urusan bisnes agak terhad. Kepada mereka yang sudah membuat tempahan awal, kami akan minta tolong kepada mana-mana pihak untuk urusan penghantaran.

"Bagaimanapun, kami terpaksa menghentikan untuk kaedah 'Cash On Delivery' buat sementara sehingga tempoh kuarantin kendiri selesai.

"Maafkan kami. Semoga Allah beri kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan kita semua," tulis Tia yang mengusahakan perniagaan acar buah dan sambal hitam nanas.

Sementara itu, menerusi ruangan komen ramai rakan artis mendoakan semoga pasangan itu segera sembuh.

Antaranya, Datuk Aishah, Haiza, Shamsul Ghau Ghau, Datin Salwa Abdul Rahman dan Sharifah Zarina.

Berita Harian X