Ahad, 27 Februari 2022 | 11:00am
Pak Nil sedar tidak selamanya disanjung dan dipuja, namun, jatuh bukan bererti tidak boleh bangkit semula. - Foto IG Aznil Nawawi
Pak Nil sedar tidak selamanya disanjung dan dipuja, namun, jatuh bukan bererti tidak boleh bangkit semula. - Foto IG Aznil Nawawi

'Genggam bara api sampai jadi arang'

KUALA LUMPUR: Selama tiga dekad bergelar pejuang seni, kerjaya Datuk Aznil Nawawi terus ampuh sehingga hari ini.

Namun, tanpa pengalaman tidak mungkin selebriti yang pernah mendapat jolokan pengacara nombor satu Malaysia itu mampu bertahan dan kekal relevan.

Bakal menginjak usia 60 tahun pada 6 November depan, Aznil atau lebih mesra membahasakan dirinya dengan panggilan Pak Nil bersyukur, menghabiskan usia mudanya dengan pelbagai pengalaman kerja.

Malah, pemenang 10 kali trofi Pengacara TV Lelaki Popular sejak 2003 hingga 2010, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu terus diberi kepercayaan mengendalikan program televisyen, lakonan dan duta produk.

Mengimbas pengalaman sepanjang 30 tahun, figura kelahiran Kampung Datuk Keramat itu mendedahkan, dia pernah menimba pengalaman sebagai penyanyi kelab selama empat tahun.

"Saya mengambil pengajian dalam bidang ekonomi, namun, hala tuju dan pengakhiran tidak terduga selepas tamat pengajian. Selepas tamat belajar, saya pernah bekerja dalam bidang perkapalan sebagai pegawai.

"Dalam masa yang sama, saya mencari pengalaman sebagai penyanyi kelab secara sambilan pada usia 27 tahun. Masa itu, saya memulakan memerhatikan ada penyanyi kelab mula membina kerjaya sebagai artis rakaman.

"Saya hanya bekerja pegawai syarikat perkapalan selama enam tahun. Saya rasa tiada jiwa dengan kerjaya ini.

"Barangkali, saya sudah menjadi menteri kewangan jika apa yang saya belajar dalam bidang ekonomi dimanfaat betul-betul," katanya pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya itu kepada BH Online.

Pak Nil mendekati dan menelusuri perjalanan bintang legenda menerusi program Yang Dulu dengan mengorek rahsia 19 artis veteran. - Foto IG Aznil Nawawi
Pak Nil mendekati dan menelusuri perjalanan bintang legenda menerusi program Yang Dulu dengan mengorek rahsia 19 artis veteran. - Foto IG Aznil Nawawi

Selebriti yang pernah diiktiraf oleh Malaysian Book of Records bagi kategori Pengacara Paling Lama Berkhidmat itu berkata, pintu rezekinya terbuka luas apabila mencuba nasib dalam dunia penyiaran di TV3 pada era 1990-an.

"Dahulu saya pernah terdetik, apakah penghujung kehidupan saya. Jika tahu manis dan bersulam pahit, saya semestinya orang paling bertuah dapat menggenggam sesuatu hingga penghujung usia.

"Saya sendiri tidak pernah menyangka perjalanan hidup tersusun cantik sekalipun apa yang dipelajari di universiti tidak sama seperti alam realiti.

"Namun, saya bersyukur menjadi insan terpilih. Jujurnya, saya tidak pernah puas, masih ada impian belum tercapai.

"Saya akui, berbangga menjadi perintis yang membuka jalan mewujudkan terma wajah eksklusif hingga mengikat kontrak selama 20 tahun dengan stesen Astro," katanya.

Pak Nil berkata, jatuh bangun sudah menjadi lumrah dalam perjuangan kerana hidup bagaikan putaran roda.

"Tak pernah wujud istilah saya tidak mempercayai pepatah Melayu, patah tumbuh, hilang berganti. Hakikatnya, saya sudah bersedia melihat generasi baharu menyambung legasi saya dalam dunia pengacaraan.

"Selepas 10 tahun menggenggam trofi Pengacara TV Lelaki Popular ABPBH, ia pernah itu bertukar tangan kepada Zizan Razak. Kemudiannya, kembali ke tangan saya.

"Seterusnya, trofi ini bertukar tangan kepada Datuk AC Mizal pada 2013. Namun, rezeki kembali memihak saya pada 2014.

"Saya sedar tidak selamanya saya akan disanjung dan dipuja. Namun, jatuh bukan bererti saya tidak boleh bingkas bangun.

"Apabila berdepan kekalahan ia memberi isyarat perlu melakukan sesuatu agar tidak boleh berada di takuk lama," katanya.

Pak Nil ketika membintangi watak ‘villian’ popular,
Pak Nil ketika membintangi watak ‘villian’ popular,

Mengintai sisi peribadi, pelakon filem Aku No 1 dan Cicak Man yang sudah 25 tahun bergelar bapa tunggal akui, dirinya sudah terbiasa dengan kehidupan tanpa seorang isteri.

Baginya, apa yang lebih utama meneruskan survival hidup yang dimulakan sejak meletakkan kerjaya seni dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Namun, tanggungjawab sebagai bapa kepada tiga cahaya mata, Fildza Haifa, 32, Fariq Haizen, 27, dan Firdaus Hariz, 13, tetap menjadi keutamaan.

Cuma, katanya, prinsipnya memilih untuk menjaga privasi anak-anaknya sejak dahulu lagi.

"Anak-anak juga tidak pernah soal jodoh. Mereka tahu dan selalu nampak saya sentiasa sibuk dengan kerja, bagaikan tiada penghujung.

"Anak sulung saya juga mengikut jejak langkah saya mendahulukan kerjaya, soal jodoh bukan keutamaannya.

"Namun, hubungan anak-anak dengan saya tetap baik biarpun mereka tinggal bersama bekas isteri," katanya.

Penyanyi lagu Apo itu berkata, dia menggunakan pendekatan sama seperti ibu bapa lain dalam mendidik anak-anak.

"Paling penting, saya didik mereka menghormati orang tua. Saya sentiasa berpesan agar mereka kena pandai membuat keputusan yang betul.

"Saya dan anak-anak hidup dalam era yang berbeza. Ada benda yang mereka tempuhi, saya tidak melaluinya, begitu juga sebaliknya.

"Dalam setiap langkah, saya selalu ingatkan anak-anak berfikir panjang sebelum buat keputusan atau bertindak," katanya.

Terdahulu, Pak Nil terbabit berlakon iklan pada usia 23 tahun dan mula mengenal kamera menggunakan filem.

Pernah berdepan pengalaman lucu iklan yang dibintangi mengguna suara orang lain, malah, babak tangan pun diganti dengan tangan orang lain.

Berita Harian X