Sabtu, 26 Februari 2022 | 3:00pm
Salah satu babak lakonan Alicia dalam filem The Dissaperance Of Irdina Adhwa yang ditayangkan di Astro First. Foto Ihsan Alicia Amin
Salah satu babak lakonan Alicia dalam filem The Dissaperance Of Irdina Adhwa yang ditayangkan di Astro First. Foto Ihsan Alicia Amin

Saya tak kacau hidup orang - Alicia Amin

KUALA LUMPUR: Mengaku masih hijau dalam dunia lakonan, model tinggi lampai, Alicia Amin mengelak sikap memilih watak demi memacu karier seni.

Alicia yang melangkah ke dunia lakonan pada 2017 menerusi drama Meh Sandar Lagi disiarkan TV3, mengaku belum masanya dia mengambil pendekatan selektif dalam menimbang tawaran.

Sebaliknya, pada fasa pandemik COVID-19, Alicia atau nama sebenar, Raja Alicia Raja Amin ingin mencuba apa sahaja watak bagi mencabar kemampuan diri.

Malah, pelakon berusia 26 tahun itu merancang mendapatkan khidmat guru lakonan sebagai persediaan membawa watak berat.

"Walaupun sudah hampir lima tahun mencuba bidang lakonan, saya masih rasa baharu dalam bidang ini. Jadi, saya ingin cuba apa sahaja watak dan belum masanya bersikap selektif.

"Malah, saya tidak kisah diberi peranan kecil. Bagi saya, setiap karakter ada kekuatan tersendiri. Peranan pelakon itulah untuk mencorakkan watak diberi.

Alicia mahu fokus kepada karier seni dan sanggup menerima apa sahaja watak demi meningkatkan skil lakonan. Foto Ihsan Alicia Amin
Alicia mahu fokus kepada karier seni dan sanggup menerima apa sahaja watak demi meningkatkan skil lakonan. Foto Ihsan Alicia Amin

"Jadi, bagi memantapkan lagi mutu lakonan, saya merancang mendapatkan khidmat pengajar. Saya ingin membuktikan diri ini serius dalam bidang lakonan," katanya yang menyimpan hasrat membawakan watak gadis kampung dan 'psiko'.

Biarpun semakin rancak menerima tawaran berlakon, bekas peserta musim kelima program realiti, Asia Next Top Model ini tidak pernah melupakan kerjaya sebagai model.

Alicia berkata, dia masih melakukan kerja peragaan jika diundang.

Namun, menyedari kerjaya sebagai model 'cat walk' tidak mungkin bertahan lama, Alicia harus mencari alternatif sebagai persediaan masa depan.

"Tidak ramai model mampu bertahan lama terutama apabila usia makin meningkat. Jika ada sekalipun, mungkin jumlahnya tidak ramai.

"Saya tidak boleh jangka apa yang akan berlaku kepada saya pada masa akan datang. Masih mampukah saya mengekalkan imej, susuk tubuh dan wajah sama?

"Sehubungan itu, saya harus bersikap realistik dengan mencari alternatif menceburi bidang lakonan," katanya.

Berkongsi perkembangan terbaru, Alicia muncul dengan filem 'thriller', The Dissaperance Of Irdina Adhwa yang menemui penonton menerusi saluran Astro First sejak kelmarin.

Mengakui filem itu agak mencabar, Alicia cedera ringan iaitu bengkak buku lali ketika melakonkan babak pergelutan dengan Josiah Hogan.

Bagaimanapun, insiden itu tidak mematahkan semangat wanita ini untuk terus memberi persembahan terbaik dalam filem arahan Kyle A Halim itu.

"Kami tidak perasan lantai berhampiran bilik air licin hingga Josiah terjatuh. Tanpa disengajakan, dia terpijak kaki saya.

"Penggambaran terpaksa dihentikan buat seketika kerana buku lali saya membengkak.

"Saya tidak salahkan Josiah. Sebagai pelakon, kita kena sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Cuma saya bersyukur kaki tidak patah. Saya hubungi suami untuk mengadu dan menangis kerana kesakitan," katanya.

Menyentuh mengenai tatu yang dicacah pada tangannya, Alicia berkata, perkara itu tidak perlu disensasikan.

Malah, Alicia sudah muak kerana tidak henti-henti isu tatu di tangan diperkatakan sejak 10 tahun lalu.

Tambah Alicia, dia tidak mengganggu hidup sesiapa dan ingin menjadi diri sendiri. Tambahan pula, tindakan mencacah tatu adalah pilihan peribadinya.

Bagaimanapun, kata Alicia, dia tiada masalah menyembunyikan tatu bagi memenuhi undangan lakonan.

"Saya tidak tahu kenapa perlu dijadikan isu sedangkan tatu boleh ditutup. Jika ada produksi meminta saya melakonkan watak bertudung dan bertutup sepanjang masa, saya tiada masalah melakukannya.

"Saya sanggup memenuhi apa sahaja permintaan demi tuntutan watak. Tetapi jika ada pihak yang masih tidak berpuas hati, saya tidak boleh buat apa-apa.

"Saya sertai bidang lakonan untuk menunjukkan bakat. Walaupun bertatu, saya tidak kacau hidup sesiapa," katanya.

Berita Harian X