Rabu, 23 Februari 2022 | 1:00pm
Aina mahu memberi persembahan menggembirakan dan memuaskan hati tanpa meletak harapan membawa pulang trofi Vokal Terbaik AJL 36. - Foto IG Aina Abdul
Aina mahu memberi persembahan menggembirakan dan memuaskan hati tanpa meletak harapan membawa pulang trofi Vokal Terbaik AJL 36. - Foto IG Aina Abdul

Aina Abdul elak busana AJL 36 jadi parodi

KUALA LUMPUR: Saban tahun fesyen 'dramatik' yang ditampilkan penyanyi bervokal mantap ini pada Anugerah Juara Lagu (AJL) mencetuskan perbualan hangat dalam laman sosial.

Untuk edisi ke-36 AJL, penyanyi Aina Abdul yang mempertaruhkan dua lagu iaitu Sepi dan Nafas Cinta, dendangan duet bersama Khai Bahar, enggan busana digayakan sekali lagi menjadi parodi atau perbandingan berbaur negatif.

Sebaliknya, Aina berkata, busana yang bakal ditampilkan memberi perlambangan kepada lagu yang mahu didendangkan dan diharap sesuai dengan persembahannya kelak.

"Semestinya saya mahu orang bercakap mengenai pakaian saya. Tetapi kali ini, saya tak mahu busana saya menjadi parodi yang membawa kesan buruk atau perbandingan tidak baik.

"Kali ini, pakaian saya adalah perlambangan kepada lagu saya. Saya fikir orang masih akan bercakap mengenai pakaian saya, tetapi dari sudut baik.

"Sebab baju tiada membawa maksud berbeza daripada lagu saya.

"Saya harap orang ramai suka dengan pakaian saya dan doakan semuanya lancar. Tiada apa yang saya mahu selain persiapan dari kepala hingga ke kaki serta penyampaian vokal sesuai dengan busana.

"Saya harap busana itu juga sesuai dengan pengcahayaan dan elemen lain atas pentas kelak," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Aina tidak sabar beraksi di pentas AJL 36 yang bakal disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 6 Mac depan.

Aina mempertaruhkan lagu Nafas Cinta, duet bersama Khai enggan busana digayakan menjadi parodi atau perbandingan berbaur negatif. - Foto IG Aina Abdul
Aina mempertaruhkan lagu Nafas Cinta, duet bersama Khai enggan busana digayakan menjadi parodi atau perbandingan berbaur negatif. - Foto IG Aina Abdul

Aina masih membuat persiapan rapi bagi menjayakan dua persembahan pada malam itu.

"Ada banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan seperti susunan lagu, busana, pencahayaan dan banyak lagi.

"Kalau boleh, saya mahu dua persembahan kelak datang dengan pakej lengkap dan dipersembahkan dengan sehabis baik.

"Saya juga buat persiapan mental. Bagi saya, suara akan ikut mental saya. Kalau mental lemah, suara saya pun boleh jadi lemah.

"Jadi, saya harap semua finalis berada dalam kesihatan yang baik daripada segi fizikal dan mental untuk AJL 36," katanya.

Sementara itu, bertanya mengenai harapan membawa pulang trofi Vokal Terbaik, Aina berkata, dia hanya mahu memberi persembahan yang menggembirakan dan memuaskan hati sendiri, pasukannya dan peminat.

"Saya fikir semua peserta hanya mahu menyanyikan sesedap mungkin. Jadi, saya tiadalah meletakkan harapan dalam mana-mana kategori pun.

"Saya hanya mahu buat terbaik dan rasa puas. Turun saja dari pentas itu nanti saya mahu yakinkan diri saya, saya gembira dan puas dengan persembahan saya.

"Bukan saya sahaja, sebaliknya, pasukan dan peminat puas mendengar," katanya.

Berita Harian X