Selasa, 22 Februari 2022 | 11:00am
Barisan pelakon filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa, Bulan (dari kiri), Nelissa, Alicia, Josiah, Shazuwan dan Abbas ketika majlis tayangan filem, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Barisan pelakon filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa, Bulan (dari kiri), Nelissa, Alicia, Josiah, Shazuwan dan Abbas ketika majlis tayangan filem, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Memperkasa dialek Sabah dalam filem

KUALA LUMPUR: Filem suspen thriller, The Dissapearance Of Irdina Adhwa arahan Kyle A Halim menjadi filem tempatan pertama yang menggunakan alatan memanah.

Namun, demi keselamatan, pelakon dan kru, syarikat produksi Kotaki Studios Sdn Bhd menggunakan khidmat pemanah profesional bagi memantau penggunaan peralatan sepanjang penggambaran bagi mengelak berlaku kecederaan.

Malah, barisan pelakon yang mengendalikan alatan memanah itu dikehendaki mengikuti kelas memamah lapan hari demi mempamerkan aksi berkesan.

Mendapat inspirasi filem antarabangsa seperti Friday The 13th dan Tomb Raider, Kyle yang kali pertama terbabit dalam dunia pengarahan berkata, selain penggunaan alatan memanah, kelebihan The Dissapearance Of Irdina Adhwa apabila mengangkat dialek Sabah yang jarang digunakan dalam filem tempatan.

"Saya memilih dialek Sabah bagi memartabatkan negeri kelahiran saya.

"Sebagai pengarah baharu, saya tidak sabar menanti filem ini ditayangkan. Namun, pada masa sama, berdebar kerana akhirnya hasil karya saya akan dinilai.

"Bukan sedikit cabaran dilalui untuk menyiapkan penggambaran filem ini. Cabaran terbesar mencari kru yang berada di Kuala Lumpur.

"Sebagai penerbit dan pengarah yang baru berjinak-jinak dalam bidang perfileman, saya tidak mengenali sesiapa di Semenanjung.

"Namun, saya bersyukur akhirnya dipertemukan dengan pelakon dan kru berwibawa," katanya kepada BH Online.

Kyle terkilan tidak dapat hadir pada majlis tayangan filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa kerana disahkan positif COVID-19, minggu lalu.
Kyle terkilan tidak dapat hadir pada majlis tayangan filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa kerana disahkan positif COVID-19, minggu lalu.

Kyle yang menerima Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM700,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menghasilkan sentuhan pertamanya terkilan apabila tidak dapat hadir pada majlis tayangan The Dissapearance Of Irdina Adhwa kerana disahkan positif COVID-19, minggu lalu.

Katanya, dia hanya menyedari dijangkiti COVID-19 ketika melakukan ujian calitan pagi sebelum majlis tayangan berlangsung.

"Memang sedih dan kecewa memandangkan ini karya pertama sentuhan saya. Sudah tentu, saya mahu menyaksikan tayangan bersama barisan pelakon yang banyak membantu.

"Ini adalah hari cukup bermakna dalam kerjaya saya sebagai pembikin filem. Lagi pula, segala perancangan untuk majlis tayangan sudah direncana lebih awal.

"Namun, kita hanya mampu merancang, Allah juga menentukan segalanya. Saya hanya mampu berharap filem ini dapat diterima penonton," katanya.

Anak kelahiran Sandakan itu berkata, dia berpuas hati karya pertama arahannya, cuma kesal tidak mampu melakukan penggambaran sepenuhnya di Mesilau, Kundasang ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kerajaan mengenakan syarat ketat untuk membawa orang luar masuk ke Sabah. Jadi, saya hanya dapat menjalankan penggambaran 20 peratus di Kundasang, manakala selebihnya di Melaka," katanya.

Menyasarkan penonton muda, filem The Dissapearance Of Irdhina Adhwa dibintangi Alicia Amin, Syazuwan Hassan, Josiah Hogan, Bulan Terry, Nafiz Muaz, Melanie Tan, Nelissa Nizam, Hasmira Azmi dan Abbas Mahmoud. Ia bakal ditayangkan di platform Astro First esok.

Berita Harian X