Isnin, 21 Februari 2022 | 5:39pm
Fazeera memberikan kejutan kepada Fizo apabila menunjuk alat ujian kehamilan bertanda dua garisan membawa maksud berbadan dua. - Foto IG Fazeera Nazri
Fazeera memberikan kejutan kepada Fizo apabila menunjuk alat ujian kehamilan bertanda dua garisan membawa maksud berbadan dua. - Foto IG Fazeera Nazri

Isteri Fizo 'bunting pelamin'

KUALA LUMPUR: Isteri pelakon Fizo Omar iaitu Fazeera Nazri menamatkan spekulasi apabila mengesahkan dirinya kini berbadan dua.

Mula diperkatakan ramai sejak Januari lalu, Fazeera membuat pendedahan kehamilan selepas hampir dua bulan mendirikan rumah tangga dalam laman sosial, Instagram (IG) dan TikTok.

Menerusi satu perkongsian video dalam laman sosial, Fazeera dilihat memberikan kejutan alat ujian kehamilan bertanda dua atau membawa maksud positif kepada Fizo.

"Video ini diambil ketika bulan pertama perkahwinan kami, ia kejutan besar dilakukan buat suami apabila saya memberitahu hamil.

"Alhamdulillah, hadiah paling bermakna buat kami. Doakan segala-galanya berjalan lancar," tulisnya dalam IG.

Rakaman video berdurasi 50 saat itu turut memperlihatkan wajah Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar kelihatan terkejut mendengar pengakuan isterinya.

Fizo sedang berehat sambil berbaring di katil memberi reaksi seperti tidak percaya, namun, tersenyum gembira.

"Maksudnya awak hamil? Serius? Saya cintakan awak.

"Biar betul sayang? So 'made in' Janda Baik la ni? Ya, saya sangat gembira," kata Fizo dalam video terbabit.

Fazeera memuat naik foto ‘baby bump’ yang kelihatan semakin membesar, namun tidak menyatakan usia kandungan. - Foto IG Fazeera Nazri
Fazeera memuat naik foto ‘baby bump’ yang kelihatan semakin membesar, namun tidak menyatakan usia kandungan. - Foto IG Fazeera Nazri

Kegembiraan bakal menyambut orang baharu turut dikongsi Fizo dalam laman IG.

"Alhamdulillah. Syukur, Cik Yam nak dapat adik. Muka abang Joe terkejut, terkedu, campur 'super excited.

"Iyalah, baru lebih sebulan kahwin tiba-tiba isteri tunjuk ujian kehamilan dan cakap positif'. Positif apa ni sayang? Alhamdulillah, rezeki 2022 datang satu persatu dengan izin Allah.

"Semoga Allah pelihara bayi dalam kandungan, dilahirkan menjadi anak soleh dan solehah yang akan bawa daddy dan ummi ke syurga," tulisnya.

Menerusi hantaran berasingan, Fazeera turut memuat naik foto 'baby bump' yang kelihatan semakin membesar, namun tidak menyatakan usia kandungan.

Namun, rata-rata peminat meneka Fazeera bunting pelamin dan baru memasuki trimester kedua.

Fizo mendirikan rumah tangga dengan bekas pramugari itu pada 21 Oktober, tahun lalu dalam satu majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Sebelum itu, Fizo pernah berkahwin dengan usahawan, Mawar Karim pada 2013, namun, bercerai pada Julai 2019.

Mereka dikurniakan anak perempuan, Wan Maryam Wan Hafizol yang kini berusia usia lima tahun.

Berita Harian X