Isnin, 21 Februari 2022 | 11:00am
Dolla tampil dalam ‘showcase’ istimewa kira-kira sejam mendendangkan lima lagu, malam kelmarin. Foto NSTP Saifullizan Tamadi
Dolla tampil dalam ‘showcase’ istimewa kira-kira sejam mendendangkan lima lagu, malam kelmarin. Foto NSTP Saifullizan Tamadi

Dolla titis air mata di pentas 'showcase'

KUALA LUMPUR: Melangkah ke pentas muzik ketika dunia berperang dengan COVID-19, dua tahun lalu, air mata empat gadis menggelarkan diri Dolla yang tumpah pada akhir showcase sulung, Dolla Mini Showcase di Petaling Jaya Performance Art Centre (PJPAC), Petaling Jaya, malam kelmarin, cukup bererti.

Sejurus mendendangkan lagu terakhir berjudul Berani, Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angel masing-masing menitiskan air mata tanda tersentuh dengan sokongan kumpulan peminat tegar dikenali sebagai iDolla yang menyaksikan 'showcase' istimewa itu.

Mewakili teman-teman, Syasya mengaku perasaan mereka tersentuh kerana momen itu adalah paling dinantikan selepas penubuhan Dolla, dua tahun lalu.

"Dolla muncul ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu. Sebaik melihat iDolla di depan mata, kami tersentuh kerana inilah momen paling dinantikan.

"Peminat adalah kunci kejayaan kami selama ini. Kalau diikutkan, kami tidak mahu menangis kerana jurusolek awal-awal lagi sudah pesan nanti mekap rosak.

"Tetapi, hendak buat macam mana. Perasaan kami sangat sensitif terutama membabitkan peminat.

Kejayaan awal Dolla Mini Showcase adalah apabila tiket laris dijual dalam tempoh lima minit selepas dilancarkan pada 30 Januari lalu. Foto NSTP Saifullizan Tamadi
Kejayaan awal Dolla Mini Showcase adalah apabila tiket laris dijual dalam tempoh lima minit selepas dilancarkan pada 30 Januari lalu. Foto NSTP Saifullizan Tamadi

"Bukan itu sahaja, kehadiran keluarga membuatkan kami sangat terharu. Mereka memberi motivasi buat kami semua," katanya kepada BH Online.

Biarpun persembahan berlangsung kira-kira sejam dan mereka mendendangkan lima lagu, namun, kumpulan yang baru muncul dengan single berjudul Bad ini bersungguh-sungguh membuat persiapan.

"Kami berlatih sejak sebulan lalu. Untuk tarian sahaja kami berlatih enam jam manakala latihan vokal mengambil masa dua hingga tiga jam sehari," kata Sabronzo.

Menyifatkan showcase itu sebagai ujian pertama, pemenang kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 ini sudah bersedia untuk membuat persembahan skala besar.

"Apabila mendapat tahu ramai peminat tidak dapat untuk bersama-sama kerana lokasi agak kecil, dari situ timbul keinginan mengadakan persembahan di lokasi yang lebih besar.

"Kami harap hasrat itu dapat ditunaikan secepat mungkin," kata Tabby.

Antara lagu didendangkan adalah Berani, Watch Me Glow, Dolla Make You Wanna, Bad dan Cold Blooded yang dipopularkan penyanyi Korea Selatan, Jessi.

Tampil mengenakan baju rona senada hitam dengan potongan ranggi, Dolla mempamerkan persembahan penuh bertenaga menerusi koreografi memukau.

Dolla Mini Showcase turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi baharu, Juki yang menghiburkan penonton menerusi single pertama, Pacu yang bakal dilancarkan pada 11 Mac depan.

Kejayaan awal showcase ini adalah apabila tiket laris dijual dalam tempoh lima minit selepas dilancarkan pada 30 Januari lalu.

Dolla sebelum ini pernah meraih perhatian di peringkat antarabangsa apabila terpilih sebagai artis wanita berkumpulan pertama negara yang ditampilkan di papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat (AS).

Berita Harian X