Ahad, 20 Februari 2022 | 5:42pm
Aina dan Khai yang mempertaruhkan single duet Nafas Cinta pada AJL36, masing-masing teruja beraksi di depan penonton biarpun jumlah mereka terhad. Foto Ihsan TV3
Aina dan Khai yang mempertaruhkan single duet Nafas Cinta pada AJL36, masing-masing teruja beraksi di depan penonton biarpun jumlah mereka terhad. Foto Ihsan TV3

AJL36 : 200 penonton sahaja

KUALA LUMPUR: Mengehadkan penonton menjadi antara langkah diambil Primeworks Studios (PWS) bagi memastikan Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang akan disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 6 Mac depan, selamat dan lancar, namun, meriah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima dan PWS, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya membuat sedikit perubahan berbanding AJL35 tanpa penonton bagi memberikan kelebihan kepada finalis bertanding kali ini.

"Untuk tahun ini, kita terpaksa mementaskan AJL dengan jumlah penonton terhad.

"Kalau sebelum ini, langsung tiada penonton, kali ini, kita benarkan kehadiran penonton. Namun, dengan jumlah yang sangat terhad berikutan kes jangkitan COVID-19 makin tinggi.

"Kita perlukan penonton di AJL. Tanpa penonton, saya secara peribadi kasihan dengan peserta yang membuat persembahan.

"Mereka perlukan tenaga daripada penonton bagi membantu persembahan.

"Saya juga terkilan kerana tahun lalu kita tidak mempunyai penonton. Jadi tahun ini, kita benarkan penonton dengan jumlah yang terhad.

Barisan finalis yang akan bersaing di pentas AJL36 yang bakal disiarkan secara langsung TV3 pada 6 Mac depan jam 9 malam. Foto Ihsan TV3
Barisan finalis yang akan bersaing di pentas AJL36 yang bakal disiarkan secara langsung TV3 pada 6 Mac depan jam 9 malam. Foto Ihsan TV3

"Kami juga akan benarkan beberapa kelab peminat hadir," katanya pada sidang media virtual pengumuman AJL36, hari ini.

Melalui program Muzik-Muzik dan Melodi, TV3 mengumumkan AJL36 yang akan disiarkan secara langsung TV3 mulai jam 9 malam 6 Mac depan, membenarkan audiens terhad di Dewan Merdeka.

Khairul Anwar turut menasihatkan peserta menjaga kesihatan sebaik mungkin dan melindungi diri agar dapat tampil membuat persembahan pada 6 Mac depan.

Sementara itu, Pengurus Projek AJL36, Russell Mark Rodrigues berkata, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), AJL36 bakal dihadiri 200 penonton yang dijemput khas.

Tambahnya, semua penonton perlu akur SOP terutama diwajibkan menjalani ujian calitan Rapid Test Kit (RTK).

"Kita ambil langkah yang sangat teliti untuk menjaga kesihatan masing-masing.

"Maksudnya, kita akan pastikan semua yang terbabit menyerahkan keputusan ujian calitan. Bagi penerbit, kru dan pemuzik, setiap individu akan melakukan ujian calitan kendiri setiap hari.

"Penonton yang hadir adalah jemputan. Mereka wajib menjalani ujian calitan. Hanya individu yang mempunyai keputusan RTK yang disahkan klinik dibenarkan masuk," katanya.

Bagaimanapun, Russell berkata, sekiranya kes jangkitan COVID-19 meningkat, penonton tidak akan dibenarkan hadir.

"Jika keadaan tidak mengizinkan, hanya finalis yang akan berada di pentas dan hos ditempatkan di studio," katanya.

Sementara itu, Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu Sepi dan single duet bersama Khai Bahar, Nafas Cinta pada AJL36 memberitahu, dia membuat persediaan dalam semua aspek dan sangat teruja untuk beraksi.

Malah, Aina dan Khai berharap AJL36 dimeriahkan dengan kehadiran penonton biarpun tidak ramai.

"Sekurang-kurangnya, biarlah ada penonton sedikit. Kehadiran mereka membantu kami membuat persembahan.

"Bukan saya cakap tak seronok buat persembahan sebelum ini, tetapi, saya fikir kalau ada penonton, aura AJL akan lebih terasa," katanya.

Khai berkata, kehadiran penonton dapat mengurangkan debaran dan menjadi pemangkin semangat.

"Apabila ada penonton, semangat akan jadi lain macam. Kita hendak menyampaikan sesebuah lagu dengan hati kita, jadi apabila ada penonton, insya-Allah, persembahan lebih baik," katanya.

AJL36 bertemakan Ini Rentak Kita yang menyatukan 12 lagu daripada genre muzik berbeza menerusi gabungan rentak.

Pemenang Juara Lagu akan membawa pulang RM100,000 dan trofi manakala naib juara RM50,000 serta trofi.

AJL36 bakal dihoskan Nabila Huda dan Alif Satar manakala Sissy Imann serta Sean Lee mengendalikan segmen karpet merah.

Berita Harian X