Ahad, 20 Februari 2022 | 11:00am
Lufya memegang watak sebagai warden penjara bernama Hafizah dalam drama Zuriat Dari Penjara. Foto Ihsan Lufya Omar
Lufya memegang watak sebagai warden penjara bernama Hafizah dalam drama Zuriat Dari Penjara. Foto Ihsan Lufya Omar

Lufya teruja sarung baju warden penjara

KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun tidak berlakon kerana memberi tumpuan kepada kehidupan peribadi dan anak, Lufya Omar teruja kembali aktif di pentas seni.

Baru-baru ini, Lufya atau nama sebenar, Lutfyah Sheikh Omar, 36, memuat naik video pendek memaparkan dirinya mengenakan pakaian seragam Jabatan Penjara Malaysia di lokasi penggambaran drama 26 episod, Zuriat Dari Penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Melalui drama terbitan Double Channel Sdn Bhd arahan Sham Jr itu, Lufya yang kini bergelar ibu tunggal, diberi watak pembantu iaitu pegawai warden bernama Hafizah.

"Tentu saya gembira dan teruja menerima peluang berlakon. Tidak sabar asah semula bakat yang lama terperam.

"Saya okay dapat watak pembantu kerana mahu uji semula potensi yang sudah lama tidak diasah. Tawaran ini seperti memanaskan 'enjin'.

Kini bergelar ibu tunggal, Lufya kembali berlakon demi meneruskan kelangsungan hidup dan membesarkan anak. Foto Ihsan Lufya Omar
Kini bergelar ibu tunggal, Lufya kembali berlakon demi meneruskan kelangsungan hidup dan membesarkan anak. Foto Ihsan Lufya Omar

"Saya juga tidak berani hendak terus terima watak utama sekarang," katanya kepada BH Online.

Lufya berkata, drama Zuriat Dari Penjara diterajui Josiah Hogan dan Wafariena Roslan.

"Syarikat produksi yang menghasilkan drama ini milik pasangan pelakon, Diana Rafar dan Syed Aiman. Malah, mereka turut berlakon dalam drama ini," katanya kali terakhir memegang watak heroin dalam drama Umairah di TV3.

Kali pertama menyarung pakaian seragam pegawai penjara atau warden, Lufya menganggap ia pengalaman manis.

"Selama ini, saya hanya lihat pegawai penjara bertugas. Kali ini, saya berpeluang berlakon jadi mereka pula," katanya.

Lufya yang dikenali menerusi drama Mahar Cinta berkata, anak yang kini berusia lima tahun, dijaga ibu tersayang.

"Anak saya sudah mengikuti pengajian prasekolah dan kelas tuisyen. Ikutkan hati, berat hendak tinggalkan dia. Tetapi anak saya kena faham ibunya perlu mencari duit wang untuk meneruskan survival," katanya.

Sebelum ini, ibu kepada Laana Haura ini terpaksa meninggalkan sementara dunia seni bagi memberi tumpuan kepada perkara peribadi termasuk membesarkan anak.

Berita Harian X