Jumaat, 18 Februari 2022 | 1:00pm
Ali akan menganjurkan majlis makan malam bertujuan mengutip dana membiayai Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith, Klang. - Foto Facebook Ali XPDC
Ali akan menganjurkan majlis makan malam bertujuan mengutip dana membiayai Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith, Klang. - Foto Facebook Ali XPDC

Bantu madrasah cari dana

KUALA LUMPUR: Sayu rasa hati penyanyi Ali XPDC melihat kedaifan Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith, Klang yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

Sebagai pusat pengajian agama pembiayaan sendiri, COVID-19 menyebabkan madrasah berkenaan berdepan masalah kewangan bagi tujuan pengurusan dan perbelanjaan harian.

Justeru, sebagai duta rasmi madrasah berkenaan, Ali bersama beberapa rakan selebriti yang sudah berhijrah berhasrat membantu meringankan beban penghuni madrasah berkenaan menerusi bakat yang dikurniakan.

Memperincikan hasratnya itu, Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail, 53, akan menganjurkan majlis makan malam bagi bertujuan mengutip dana membiayai madrasah itu.

"Sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu, madrasah teruk terjejas. Sebagai pusat pengajian agama yang bergantung sepenuhnya kepada yuran dan sumbangan orang ramai, situasi ini menyebabkan madrasah berdepan masalah kewangan.

"Saya melihat banyak madrasah terpaksa ditutup berikutan alami kesukaran disebabkan masalah kewangan. Saya tak mahu perkara sama menimpa madrasah ini.

"Sebagai duta, saya perlu mencari jalan dan hasil perbincangan dengan rakan-rakan, kami memutuskan menganjurkan majlis makan malam amal. Kami menjual meja kepada individu dan syarikat korporat yang berminat. Untuk program amal kami menyasarkan kutipan sebanyak RM250,000," katanya kepada BH Online.

Bertemakan 'Arabian', majlis makan malam akan berlangsung di Dewan Palembang, Rantau Panjang, Klang, jam 8 malam pada 26 Februari ini.

"Semua persembahan berkonsepkan Islamik. Kami akan menyanyikan lagu bertemakan ketuhanan. Antara artis diundang termasuklah Iwan Syahman dan Ijam Medicine.

"Majlis makan malam akan dikendalikan bekas penyampai radio, Faizal Ismail dan Kieran Marcello yang akan bertindak sebagai pengacara.

"Turut disajikan, persembahan dendangan alunan selawat, zikir, doa dan perkongsian kisah perjalanan hijrah artis jemputan," terang bekas penyanyi utama kumpulan Terra Rossa ini.

Ali bersama rakan selebriti yang sudah berhijrah mahu bantu meringankan beban penghuni Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith, Klang yang berdepan dengan masalah kewangan. - Foto Facebook Ali XPDC
Ali bersama rakan selebriti yang sudah berhijrah mahu bantu meringankan beban penghuni Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith, Klang yang berdepan dengan masalah kewangan. - Foto Facebook Ali XPDC

Ali berharap, usaha murni mereka mendapat sokongan pelbagai pihak demi kelangsungan madrasah berkenaan.

"Dari segi jualan tiket, agak perlahan. Walaupun ada yang membeli, tetapi ia tidak selaris tiket konsert yang dalam sekelip mata habis dijual.

"Justeru, saya harap, mana-mana individu dapat menyokong usaha kami dengan membeli meja. Sambil berhibur dapat juga kita buat amal sebagai bekalan akhirat," ujarnya.

Menerusi cara ini, pihak Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith menawarkan meja memuatkan 10 individu secara pakej Platinum berharga RM3,000, Gold (RM2,000), Silver (RM1,000) dan Bronze (RM500).

Sementara itu, jualan kerusi untuk seorang individu adalah Platinum berharga RM300, Gold (RM200) dan Silver (RM100).

Maklumat lanjut mengenai makan makan amal ini boleh didapati menerusi https://www.facebook.com/MadrasahUlumulquranWalAhadith/.

Berita Harian X