Khamis, 17 Februari 2022 | 8:30am
Majlis makan malam Star Nite 2022 dimulakan dengan persembahan tarian singa oleh kumpulan Tarian Singa Wan Seng Hang. Foto Ihsan redONE
Majlis makan malam Star Nite 2022 dimulakan dengan persembahan tarian singa oleh kumpulan Tarian Singa Wan Seng Hang. Foto Ihsan redONE

redONE tunjuk apresiasi

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan ulang tahun ke-10, penyedia perkhidmatan pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO), Red ONE Network Sdn Bhd (redONE) memberi ganjaran kepada rakan niaga di seluruh negara pada majlis makan malam Star Nite 2022 pada 22 Januari lalu.

Selain menghargai rakan niaga jualan, makan malam tahunan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bertujuan meraikan pencapaian dan prestasi cemerlang rakan jualan redONE sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Jualan redONE, Ben Teh berkata, pihaknya sangat menghargai usaha dan semangat dedikasi rakan niaga jualan dalam membawa perkhidmatan redONE ke peringkat lebih tinggi.

"Kami sangat menghargai dedikasi berterusan diberikan rakan niaga jualan terutama sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang mencabar.

Antara rakan niaga yang diraikan pada majlis makan malam Star Nite di ibu negara, bulan lalu. Foto Ihsan redONE
Antara rakan niaga yang diraikan pada majlis makan malam Star Nite di ibu negara, bulan lalu. Foto Ihsan redONE

"Tahun lalu, tidak dinafikan mencabar kita semua. Namun begitu, kita berjaya mencapai banyak sasaran. Saya percaya tahun ini akan menjadi tahun yang lebih hebat untuk kita," katanya.

Pada masa sama, Ben mengumumkan strategi jualan dan sasaran jualan sebanyak RM600 juta bagi tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) redONE, Farid Yunus berkata, redONE bakal melangkah lebih jauh dengan mengembangkan organisasi mereka di pasaran Asia Tenggara.

"Kami berbangga kerana sudah melancarkan perkhidmatan kami di luar Malaysia iaitu ke Singapura dan Thailand dalam tempoh 10 tahun pertama penubuhan.

"Terus melangkah ke hadapan, kami sedang berusaha untuk memulakan perniagaan di Filipina dan Indonesia, tahun ini, diikuti negara anggota ASEAN lai dalam masa terdekat," katanya.

Acara yang dihadiri lebih 1,100 rakan niaga jualan dan strategik serta pengurusan kanan redONE itu dimulakan dengan persembahan tarian singa oleh kumpulan Tarian Singa Wan Seng Hang.

Kemudian, sambil menjamu sembilan hidangan makan malam, lebih RM500,000 insentif tunai diberi kepada 53 rakan jualan atas prestasi cemerlang mereka dalam 12 kategori termasuk jualan tertinggi nasional dan serantau serta pengambilan penasihat jualan tertinggi.

Beberapa pusingan cabutan bertuah turut diadakan dengan 120 pemenang bertuah membawa pulang gajet, baucar dan kredit eWallet bernilai RM120,000.

Malah, redONE turut menyampaikan tajaan kepada dua kelab bola sepak tempatan iaitu PDRM FC dan Sabah FC.

Kemuncak acara adalah pemberian bonanza kereta di mana sebanyak 20 kereta baharu diberi kepada rakan jualan yang berjaya dalam cabutan bertuah.

Satu tiket cabutan bertuah kereta bonanza diberikan kepada setiap rakan jualan bagi setiap 100 talian pascabayar yang diaktifkan sepanjang tahun lalu.

Kereta yang dihadiahkan adalah dua buah kereta bagi setiap jenis iaitu BMW X1, Mitsubishi Triton, Proton X70, Proton X50, Perodua Ativa serta 10 buah kereta Perodua Bezza.

RedONE ditubuhkan pada 2012 dan menyediakan perkhidmatan pascabayar yang berpatutan dengan pelan bermula serendah RM8 sebulan.

Melalui penggunaan infrastruktur 4G LTE, pelanggan redONE boleh menikmati sambungan internet yang lancar dan panggilan suara tanpa gangguan di seluruh Malaysia pada harga mesra bajet.

Berita Harian X